[size=0.8]
Husain Jahit - Jun 8, 2024 @ 12:04pm[email protected]

Mazidah Azmi, 50, dari Miri, Sarawak bersama suaminya Zainal Abidin Sabdin, 53. - Foto BERNAMA
MAKKAH: "Saya mendapat panggilan haji Februari lalu dan diberi tempoh dua minggu untuk memberi jawapan. Ketika itu, saya seperti hilang punca kerana ada masalah kewangan, sedangkan hati membuak-buak hendak pergi," kata Mazidah Azmi, 50.
Biarpun tanpa wang mencukupi, jemaah dari Miri, Sarawak ini memberanikan diri memaklumkan Lembaga Tabung Haji (TH) yang dia menerima tawaran mengerjakan Rukun Islam kelima itu.
Selepas menerima tawaran haji berkenaan, katanya, dia hanya berserah kepada Yang Esa untuk mempermudahkan perjalanannya ke Tanah Suci.
"Sebelum itu, saya tidak sedar menerima makluman mengenai tawaran haji kerana surat dihantar ke alamat rumah di Miri, sedangkan saya sudah berhijrah ke Kuching, manakala e-mel tidak dibuka," katanya.
Isu lain, bekas kakitangan bank itu disyaratkan untuk meminta keizinan suami terlebih dahulu, sedangkan dia sudah lama tidak berhubung dengan suami disebabkan masalah peribadi.
"Pihak TH memberitahu saya kena minta kebenaran suami kerana selagi tidak dapat kebenaran, saya tidak boleh pergi. Ketika itu suami berada di Miri dan saya di Kuching dan hampir setahun kami tidak berjumpa.
"Setiap hari saya berdoa dipermudahkan urusan untuk menunaikan haji. Setiap daripada kita ada masalah tersendiri, jadi saya berfikir positif sebab Allah sebaik-baik perancang yang memberi jawapan untuk setiap persoalan.
"Apabila saya menghubungi suami, dia kata tak boleh pergi. Lagi risau saya dibuatnya hinggalah suami kata, jika nak pergi kena pergi dengan dia, jadi kami buat rayuan mahram dan Alhamdulillah diluluskan, malah suami saya yang bayar semua perbelanjaan," katanya.
Mazidah berkahwin dengan suaminya yang enggan dikenali serta dikurniakan tiga anak berumur antara 13 hingga 25 tahun.
Menurutnya, selepas berhenti kerja, dia pernah menceburi bidang perniagaan, namun gagal diteruskan terutama apabila wabak COVID-19 melanda negara.
Selepas itu, Mazidah mencari semula kerja dan berjaya mendapat pekerjaan di Kuching, lalu membuat keputusan untuk berhijrah, sekali gus berpisah dengan keluarga.
Katanya, berkat doa dan tawakal, dia sangat bersyukur apabila berkesempatan bersama suami menjadi Duyufurrahman dan Tanah Suci menjadi saksi kasih mereka kembali terjalin.
Sementara itu, suaminya yang sudah tiga kali mengerjakan haji dan baru pulang menunaikan umrah, berkata kali ini peluang terbaik untuknya membawa isteri beribadat di Makkah.
"Siapa yang tak sayang isteri. Saya tahu keadaan (Tanah Suci) dengan jemaah yang ramai serta bersesak-sesak. Sebab itulah (mula-mula) saya kata tak boleh pergi, sebab tak sanggup membiarkan isteri berseorangan.
"Kalau nak, pergi dengan saya," katanya yang pandai berjenaka dan pernah bekerja sebagai pengedar kereta jenama terkenal.
**************************************************************************
Kadang tak faham dgn TH ni punya prosedur..ada org yg menunggu berpuluh tahun menunggu x dpt turn gi haji, tapi ni dah tiga kali pergi, dpt pergi lagi atas kapasiti mahram??