|
UBAIDULLAH (kanan) percaya Perak akan tampil dengan persembahan berbeza pada aksi Piala FA, Jumaat ini. FOTO GHAZALI KORI
Kuala Terengganu: Pertahanan muda Terengganu FC (TFC), Ubaidullah Shamsul Fazili berkeyakinan Perak FC bakal tampil dengan aksi berbeza pada Pusingan 16 Piala FA di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Jumaat ini.
Pemain berusia 21 tahun itu yang lebih mesra dipanggil 'Ubai' berkata, ini kerana format perlawanan berkenaan adalah kalah mati biarpun pada aksi Liga Super, TFC melakar kemenangan selesa 3-1.
Pemain skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara itu percaya ketua jurulatih, Tomislav Steinbruckner sudah mempunyai perancangan tersendiri bagi memastikan skuadnya mampu mara ke suku akhir.
"Perlawanan pada Jumaat ini begitu penting kerana kalah mati dan pertemuan itu nanti adalah kali kedua dengan Perak musim ini.
"Saya berkeyakinan skuad bimbingan Yusri Che Lah itu bakal memperagakan taktikal berbeza berbanding perlawanan pertama mereka pada Mei lalu dan mereka pasti lebih agresif.
"Namun saya percaya barisan kejurulatihan sudah ada ramuan tersendiri untuk menyekat Perak, ditambah kami beraksi di tempat sendiri di depan 'lautan' peminat setia.
"Jika diturunkan, semestinya saya ingin memberikan komitmen penuh untuk membantu pasukan dan menyekat pemain lawan daripada membolosi gawang," katanya.
Pada aksi pertama Liga Super, 11 Mei lalu, TFC yang muncul naib juara Piala Malaysia musim lalu menang 3-1 ke atas Perak FC.
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... al-perak-ubaidullah |
|