MATHEW
KUCHING: Dua lelaki diberkas selepas disyaki terlibat kegiatan penyalahgunaan dadah di Sri Aman pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Sri Aman DSP Mathew Manggie berkata kedua-dua suspek berusia 30an itu ditahan untuk pemeriksaan selepas dilihat mencurigakan sekitar jam 9.45 pagi.
Menurutnya, suspek kemudian dijalankan saringan awal air kencing oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Sri Aman dan telah disahkan positif dadah.
“Susulan itu, kedua-dua suspek kini ditahan di lokap Balai Polis Sri Aman untuk siasatan lanjut,” katanya menerusi satu kenyataan.
Tambahnya, siasatan lanjut kes dijalankan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penyalahgunaan atau pengedaran dadah dimohon tampil membuat laporan di mana-mana balai polis berhampiran.
Pihak polis memberi jaminan identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan.
|