CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 6556|Reply: 0

[Sabah] Mengimbau peradaban tamadun budaya

[Copy link]
Post time 1-9-2024 01:07 PM | Show all posts |Read mode
Edited by Vellfire at 1-9-2024 05:08 AM

Pameran di Muzium Guilin mengetengahkan banyak persamaan dari segi sosiobudaya dengan kepelbagaian di Sabah



PERSAMAAN: Penulis bergambar dengan salah satu pakaian dipamerkan di Muzium Guilin.

KOLEKSI pakaian tradisi etnik minoriti China di Muzium Guilin, semacam ada persamaan dengan kita di Sabah.

Corak dan stailnya hampir sama. Motifnya seiras. Kombinasi warna juga serupa -- hitam, merah, kuning dan biru.

Selayang pandang, ia mempunyai banyak persamaan dengan pakaian tradisi pelbagai etnik di Borneo, khususnya negeri Sabah.

Itulah pandangan selepas meninjau pameran koleksi pakaian tradisi etnik minoriti China di Muzium Guilin, sebuah bandar di sebelah selatan negara itu, kira-kira 400 kilometer dari kota besar Guangzhou.


WARISAN BUDAYA: Antara pakaian tradisional etnik minoriti China yang dipamerkan.

Memasuki Muzium Guilin bagaikan kita menyaksi pameran pakaian tradisional masyarakat Kadazan, Dusun, Rungus, Bisaya, Bajau dan seumpamanya.

Ini kerana dalam segmen etnografinya, ia menampilkan koleksi yang memaparkan budaya etnik minoriti yang tinggal di wilayah Guilin, seperti Zhuang, Yao dan Miao -- daripada pakaian tradisional dan perhiasan sehingga kepada barangan harian yang mereka gunakan --  hampir sama seperti yang ada di Sabah.

Begitu juga kraf tangan tradisional seperti ukiran kayu dan tenunan yang dipamerkan, mempunyai banyak ciri persamaan.



KOLEKSI: Sebahagian pakaian tradisional yang mempunyai corak dan motif kumpulan etnik yang mirip dan ada persamaan di Sabah.

Ditubuhkan pada tahun 1963, Muzium Guilin yang letaknya di daerah Xiangshan di tengah bandar itu, merupakan salah satu pusat budaya terpenting sejarah peradaban rakyat China.

Tidak diketahui sama ada kepelbagaian budaya etnik di Sabah mempunyai kaitan dengan pengaruh peradaban itu, susulan proses migrasi ratusan tahun dahulu.
Pengkaji sejarah, budaya dan geologi mungkin boleh mendalami hal ini.


TANJAK: Koleksi tanjak yang menyerupai `sigah' di Sabah.

Baru-baru ini, sekumpulan 11 wartawan Sabah berkesempatan melawat Muzium Guilin ketika kembara media seminggu ke kota Guangzhou dan Guilin, atas inisiatif Pejabat Konsulat Jeneral China di Kota Kinabalu.

Pegawai muzium yang menyambut kami menjelaskan mengenai pelbagai koleksi  yang ada di situ, merangkumi aspek sejarah, seni dan budaya.

Koleksi besar artifaknya bermula dari Zaman Neolitik hingga ke Dinasti Qing, terrmasuk peralatan batu, seramik dan barangan gangsa yang digunakan berkurun lamanya.

Manakala koleksi seramiknya juga dari pelbagai dinasti, termasuk tembikar dan porselin dari Dinasti Tang, Song dan Ming.



INFORMASI: Pegawai muzim yang memberi penerangan kepada rombongan media ketika melawat Muzium Guilin.
Kunjungan singkat ke Muzium Guilin, bukan saja mengimbau sejarah penting peradaban China, tetapi juga memberi kefahaman mendalam mengenai budaya tempatan dan sejarahnya yang panjang.

Seperti muzium lain, ia berfungsi sebagai pusat penyelidikan dan pendidikan serta destinasi pelancongan sejarah Guilin yang memiliki keindahan semula jadi luar biasa.

Indahnya Gua Seruling Buluh

Kembara media Sabah bertuah kerana turut dibawa melawat Gua Seruling Buluh (Reed Flute Cave) di Bukit Guangming, salah satu destinasi pelancongan, kira-kira lima kilometer dari pusat bandar Guilin.

Pengunjung perlu stamina untuk meneroka gua sepanjang 240 meter ini kerana laluannya sedikit mencabar.

Namun, kepenatan hilang dan terubat tatkala menyaksikan keunikan dan keajaiban di dalamnya -- pelbagai bentuk formasi batu kapur -- yang dihiasi lampu berwarna-warni.

Mendapat nama daripada buluh seruling yang tumbuh di luar gua, ia kini menjadi destinasi pelancongan wajib dikunjungi di Guilin.


BERSEJARAH: Replika sebuah bot tradisional yang dipamerkan di muzium berkenaan.
Pegawai pengiring yang melayani kami menyatakan bahawa gua itu asalnya tempat persembunyian semasa peperangan, sebelum ditemui penduduk setempat yang mencari seruling buluh yang tumbuh di luar gua.

Ia kemudian dinamakan Gua Seruling Buluh dan kekal sehingga hari ini, biarpun ada juga yang menamakannya sebagai `Istana Seni Semula Jadi'  lantaran keindahan alam semula jadi di dalamnya.

Gua ini bukan sahaja terkenal dengan formasi batu yang menakjubkan, tetapi juga merupakan saksi bisu kepada sejarah peradaban budaya China.


DESTINASI MENAKJUBKAN: Gua Seruling Buluh yang mempunyai sejarah tersendiri antara destinasi wajib dikunjungi di Guilin.




Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

30-11-2024 05:06 PM GMT+8 , Processed in 0.414290 second(s), 17 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list