Tiga buah rumah di Rumah Julia Iging, Muara Bunut, Bintangor musnah dalam kebakaran hari ini.
BINTANGOR: Tiga buah rumah di Rumah Julia Iging, Muara Bunut, dekat sini musnah dalam kebakaran hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintangor Nicholas Belulin berkata bomba menerima panggilan kecemasan berkaitan kejadian itu jam 9.21 pagi.
“Sejurus menerima panggilan itu, sepasukan anggota bomba dikerahkan ke lokasi kejadian yang terletak 11 kilometer dari balai.
“Ketika sampai di lokasi, pasukan bomba mendapati tiga buah rumah terletak bersebelahan sedang marak terbakar.
“Berdasarkan situasi itu, pasukan bomba bertindak mengawal kebakaran terbabit daripada terus merebak ke rumah-rumah berhampiran dengan menggunakan sumber air dari air terbuka iaitu kolam ikan berhampiran,” katanya di sini hari ini.
Hasil maklumat awal, rumah terbakar itu mempunyai 12 orang penghuni namun ketika kebakaran berlaku semua penghuni ketiga-tiga rumah terbabit tiada di rumah.
“Bomba mengambil masa hampir dua jam mengawal dan seterusnya memadam kebakaran itu.
“Namun demikian, tiada insiden tidak diingini dilaporkan berlaku dalam kejadian tersebut.
“Punca kebakaran dan jumlah kerugian ditanggung mangsa masih dalam siasatan,” jelasnya.
Katanya, terdapat 11 rumah di kawasan berkenaan dan daripada jumlah tersebut lapan berjaya diselamatkan.
|