Edited by Vellfire at 2-9-2024 11:00 AM
- KPWKM sedang kaji keperluan pinda akta itu bagi pastikan perlindungan menyeluruh terhadap mangs
Nancy merakam kenangan bersama penerima insentif di bawah Program Insentif Cemerlang NS pada Program Jiwa Komuniti MADANI@Parlimen Peringkat Parlimen Santubong hari ini. - Gambar Roystein Emmor
Oleh Marlinda Mardzuki
KUCHING: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sedang mengkaji keperluan untuk meminda Akta Antigangguan Seksual 2022 bagi memastikan
Menterinya Dato Sri Nancy Shukri berkata, ini kerana akta berkenaan hanya menggariskan tindakan undang-undang terhadap individu sahaja dan bukannya organisasi.
Antara perkara yang perlu dipandang serius untuk pindaan katanya, adalah dengan memasukkan unsur akauntabiliti melibatkan organisasi yang sengaja mengabaikan laporan gangguan seksual kakitangan.
“Perkara ini yang dibincangkan di kementerian kita, kerana peruntukan undang-undang terhadap organisasi yang terbukti mengabaikan kes sedemikian sangat diperlukan.
“Justeru, kita mencadangkan supaya ada pindaan untuk memasukkan unsur-unsur tersebut, ia bukan dilihat dari segi gangguan seksual terhadap organiasi kerana kes berlaku di antara individu dengan individu.
“Ini yang diperlukan untuk memperkemaskan akta berkenaan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Jiwa Komuniti MADANI@Parlimen Peringkat Parlimen Santubong di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas isu kes gangguan seksual terhadap kakitangan sebuah bank di Bercham, Perak yang telah digantung tugas selepas melaporkan kes terhadap pelaku yang merupakan pegawai atasannya.
Kejadian yang tidak bermoral itu dilaporkan berlaku pada 2021 sekali gus mendapat perhatian susulan piket yang diadakan di luar cawangan bank itu atas alasan untuk menuntut keadilan bagi mangsa gangguan seksual.
Piket yang diketuai oleh Persatuan Kakitangan Pekerja Bank (NUBE) itu turut disertai majoriti kakitangan bank cawangan tersebut yang menuntut keadilan untuk mereka yang menjadi mangsa gangguan seksual.
Sehubungan itu, Nancy menasihati agar mangsa tersebut memanfaatkan platform Tribunal Antigangguan Seksual yang sudah beroperasi sejak Mac tahun ini.
"Setakat ini, kita masih menunggu pihak Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE) Perak untuk menghubungi NUBE kebangsaan bagi membolehkan mangsa menggunakan platform Tribunal Antigangguan Seksual itu.
"Mangsa sudah membuat laporan polis, ini bermakna dia sudah bersedia untuk mengambil tindakan jenayah (terhadap pelaku) tetapi prosesnya berbeza, namun kita juga memerlukan laporan polis sebagai proses untuk membawa kes ini ke Tribunal.
"Jadi ketika ini kita masih menunggu dan mengharapkan mangsa untuk datang kepada kita, supaya boleh kita bantu," katanya.
Untuk rekod, setakat ini, Tribunal Antigangguan Seksual menerima lapan kes sejak Mac lalu, dengan dua daripadanya sudah mendapat keputusan rasmi.
|