Ditahan APMM Bintulu pada kedudukan 4 batu nautika barat laut Kuala Kemena petang semalam
Bot tunda termasuk kru ditahan atas kesalahan menjalankan kerja di atas bot tunda tanpa nakhoda sah di perairan Bintulu petang semalam. - Gambar APMM
BINTULU: Sebuah bot tunda tanpa nakhoda sah yang leka memunggah kayu balak ke kapal induk ditahan di perairan Bintulu, petang semalam.
Pengarah Zon Maritim Bintulu Muhammad Suffian Eldine Abdullah berkata, bot tunda berada dalam keadaan mencurigakan itu ditahan pasukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Bintulu yang menjalankan rondaan pada kedudukan 4 batu nautika barat laut Kuala Kemena kira-kira jam 3.35 petang.
"Semasa menjalankan Ops Permai, pasukan bot rondaan APMM melakukan pemeriksaan terhadap bot tunda berwarna putih ketika menjalankan kerja-kerja pemunggahan kayu balak ke atas kapal induk yang dipercayai untuk dieksport ke India," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, hasil pemeriksaan dijalankan mendapati bot tunda itu dikendalikan empat kru termasuk nakhoda warganegara Myammar dan seorang kru warga tempatan berumur antara 28 hingga 35 tahun.
Katanya, hasil semakan dijalankan turut mendapati bot tunda terbabit disyaki melakukan kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 iaitu tidak memaklumkan secara bertulis kepada pendaftar kapal berhubung pertukaran nama nakhoda dalam sijil pendaftaran kapal yang memperuntukkan hukuman kompaun sejumlah RM2,500.
"Bot tunda serta dokumen kemudian ditahan dan diiring masuk ke Pusat Tahanan Vesel (PTV) Zon Maritim Bintulu sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut," jelasnya.
Dalam pada itu, Muhammad menasihati individu yang menjalankan pelbagai aktiviti sekitar perairan negara sentiasa mematuhi segala peraturan undang-undang sebelum melakukan sebarang aktiviti di laut.
Katanya, APMM Bintulu mengalu-alukan maklumat serta aduan daripada seluruh komuniti maritim melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan serta kemalangan di laut secara terus ke talian kecemasan NG999 atau Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Bintulu di talian 086-314254.
"Komuniti maritim tempatan juga boleh menghubungi talian Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak di talian 082-432544 beroperasi 24 jam untuk maklum balas segera," katanya.
|