Saga turut melakukan selaman untuk mencari mangsa yang hilang di Batang Oya, Dalat hari ini.
DALAT: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang warga emas yang dilaporkan hilang selepas bot perahu panjang dinaikinya bertembung dengan sebuah lagi bot di Batang Oya di sini disambung esok.
Ketua Polis Daerah Dalat DSP Saga Chunggat berkata kejadian tersebut berlaku sekitar jam 7.20 pagi di kawasan sungai antara Kampung Sua dan Kampung Klid dekat sini.
Mangsa berusia 81 tahun dilaporkan hilang serta-merta selepas terjatuh ke dalam sungai akibat pertembungan itu.
“Mangsa sedang mengemudi bot perahu panjang seorang diri dalam perjalanan dari Kampung Klid ke Kampung Sua ketika bertembung dengan sebuah lagi bot dikemudi oleh seorang guru dari Sekolah Kebangsaan (SK) San San.
Penduduk kampung turut membantu dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa hilang di Batang Oya, Dalat hari ini.
“Kedua-dua bot terbabit tidak sempat mengelak di satu selekoh di Batang Oya menyebabkan pertembungan dan mangsa terjatuh ke dalam sungai,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, polis menerima laporan kejadian itu kira-kira jam 9.30 pagi dan segera memaklumkan kepada bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Katanya, operasi SAR dimulakan sekitar jam 11.15 pagi dengan bantuan lebih 65 penduduk kampung menggunakan sebanyak 40 bot perahu panjang.
“Usaha pencarian melibatkan penggunaan kaedah tradisional dengan duri onak rotan manakala pasukan penyelam SCUBA dari PDRM IPD Dalat memulakan operasi selaman jam 2 petang.
Penduduk kampung turut membantu dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa hilang di Batang Oya, Dalat hari ini.
“Namun empat kali selaman dilakukan tanpa hasil, berikutan arus sungai yang deras dan tiada penglihatan di dalam air,” jelasnya.
Operasi selaman dihentikan jam 4.30 petang tetapi penduduk kampung meneruskan pencarian menggunakan kaedah onak duri rotan yang ditunda dengan bot perahu panjang.
Saga berkata, operasi SAR akan disambung esok dengan kerjasama PDRM, bomba, APM dan penduduk kampung.
|