CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 21337|Reply: 0

[Sarawak] Ketidakseimbangan kewangan sejak 1969 halang pembangunan, jejas kesejahteraan rakyat Sarawak

[Copy link]
Post time 21-9-2024 01:09 AM | Show all posts |Read mode


Dr Sim (tengah) ketika melakukan 'flag off' sebagai simbolik perasmian Pesta Kanowit, hari ini.

KANOWIT: Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, ketidakseimbangan kewangan yang berlaku sejak 1969 telah menghalang pembangunan negeri serta menjejaskan kesejahteraan rakyat.

Beliau berkata, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) adalah landasan utama bagi Sarawak untuk menuntut hak-haknya yang telah lama terabai.

Menurutnya, MA63 merupakan dokumen penting yang menjadi asas bagi Sarawak untuk menuntut hak yang sepatutnya.

“Sejak 1969, kita menghadapi ketidakseimbangan kewangan serius yang mengakibatkan banyak masalah dalam infrastruktur seperti sekolah dan klinik yang tidak mencukupi dan dalam keadaan daif,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Pesta Kanowit 2024 dan Tebingan Kanowit (Kanowit 2024) di sini, hari ini.

Dr Sim menekankan semua rakyat Malaysia perlu memahami sejarah dan kepentingan MA63 dalam memulihkan keadilan bagi Sarawak.

Katanya, pemahaman yang mendalam mengenai MA63 akan membantu memperkukuhkan keadilan bagi Sarawak dalam konteks pembangunan negara.

Tegas beliau, ini bukan sekadar tuntutan, tetapi hak yang termaktub dalam perjanjian yang perlu dihormati oleh semua pihak.

Dalam konteks sokongan kewangan daripada kerajaan persekutuan, Dr Sim mengucapkan terima kasih atas perhatian yang diberikan melalui peruntukan khas interim yang meningkat daripada RM300 juta kepada RM600 juta.

“Sokongan seperti ini merupakan langkah positif yang perlu diteruskan untuk memenuhi keperluan pembangunan negeri keseluruhannya,” katanya.

Berkenaan projek Tebingan Kanowit bernilai RM5.3 juta, Dr Sim memuji pembinaannya sebagai simbol kemajuan dan perpaduan masyarakat.

Tambah beliau, dengan reka bentuk unik dua tingkat, Tebingan Kanowit akan menjadi tempat berkumpul bagi masyarakat, serta membolehkan mereka mengadakan acara dan menikmati suasana yang lebih harmoni.

Beliau juga berharap projek itu dapat menyokong aktiviti pelancongan di kawasan tersebut, sekali gus memberikan manfaat kepada ekonomi tempatan.

“Pesta Kanowit yang meriah ini bukan sahaja menghimpunkan masyarakat tempatan, tetapi juga menonjolkan warisan budaya serta aktiviti ekonomi.

“Acara ini turut menyaksikan penyertaan penduduk dari seluruh Sarawak dan negara luar seperti Brunei, menggambarkan semangat perpaduan yang kukuh di kalangan masyarakat,” tambahnya.

Justeru, beliau berharap acara itu akan terus diadakan pada masa akan datang sebagai cara mengeratkan hubungan antara penduduk dan mempromosikan pembangunan di kawasan luar bandar.

“Dengan perayaan seperti ini, kita dapat meraikan kekayaan budaya kita sambil memperkuatkan semangat komuniti,” katanya.

Bercakap lanjut, Dr Sim mengajak rakyat negeri ini untuk beradaptasi dan memanfaatkan sumber tenaga yang lebih mampan dalam menghadapi cabaran perubahan iklim.

“Sarawak mempunyai potensi besar dalam tenaga hijau. Kita perlu bergerak pantas ke arah penggunaan sumber tenaga yang lebih bersih dan mampan demi masa depan yang lebih baik untuk semua,” katanya.

Beliau turut menggariskan inisiatif dalam tenaga hijau adalah langkah penting untuk mencapai kesejahteraan berterusan.

Hadir sama pada majlis itu ialah Menteri Perpaduan Negara yang juga Ahli Parlimen Kanowit Dato Sri Aaron Ago Dagang, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemas Anyi Jana dan ADUN Machan Allan Siden Gramong.


Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

29-11-2024 07:24 PM GMT+8 , Processed in 0.870213 second(s), 17 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list