|
Komposer legenda, Datuk S Atan disahkan meninggal dunia pada usia 75 tahun di kediamannya di Kajang jam 3.35 petang, hari ini.
Berita pemergian S Atan disahkan isterinya, Datin Norizan Yeob. Ya, suami saya sudah tiada. Dia meninggal dunia di rumah,” kata Norizan.
Pada 16 September lalu, S Atan dimasukkan ke sebuah pusat perubatan, di sini, akibat jangkitan kuman dalam paru-paru.
Sebelum ini, S Atan pernah dimasukkan ke hospital pada 2006 kerana menghidap angin ahmar.
Pada Februari 2019, komposer yang banyak menghasilkan lagu raya malar segar itu sekali lagi menerima rawatan di hospital akibat masalah buah pinggang.
S Atan baru-baru ini dipilih sebagai penerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat, Anugerah Bintang Popular Ke-36 atas bakti dan sumbangan dalam bidang penciptaan lagu dan khazanah muzik Melayu. Sepanjang hampir lima dekad dalam dunia muzik.
Allahyarham sudah menghasilkan lebih 1,000 lagu hits nyanyian penyanyi popular seperti Datuk Sharifah Aini, Datuk Sudirman, Datuk Jamal Abdillah, Datuk Sheila Majid, Jay Jay dan ramai lagi.
Berkarya sejak 1976, S Atan juga digelar sebagai Bapa Lagu Raya atas penghasilan 56 judul lagu raya termasuk berstatus ‘evergreen’ seperti Dari Jauh Ku Pohon Maaf (Sudirman), Balik Kampung (Sudirman), Menjelang Hari Raya (Datuk DJ Dave), Cahaya Aidilfitri (Black Dog Bone), Indahnya Beraya Di Desa (Azlina Aziz), Salam Aidilfitri (Jamal Abdillah), Hari Mulia (Sheila Majid) dan banyak lagi.
Sumber - KOSMO! ONLINE |
|