MAUT: Mayat mangsa yang ditemukan rentung diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
SANDAKAN: Seorang lelaki maut manakala adiknya melecur selepas rumah mereka musnah dalam kebakaran di Jalan Batu Sapi Karamunting, di sini, pagi tadi.
Mangsa berusia 35 tahun yang juga mengalami penyakit strok itu ditemukan rentung oleh pasukan bomba di ruang tamu rumah berkenaan.
Adik lelaki mangsa berusia lingkungan 20-an, melecur di bahagian belakang badan manakala beberapa ahli keluarga yang lain sempat keluar menyelamatkan diri.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Severinus @ Mohd Nidzam Sainkui berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 8.41 pagi.
Katanya, sepasukan 15 anggota dan pegawai bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak sejauh 12 kilometer.
“Sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba mendapati kebakaran membabitkan sebuah rumah jenis tidak kekal musnah terbakar sepenuhnya.
“Turut terbakar tiga kenderaan jenis lori 10 tan (80 peratus), Proton Saga (100 peratus) dan Nissan sedan (100 peratus),” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, pasukan bomba menggunakan dua aliran tiga pancutan dengan sumber air jentera dalam operasi pemadaman berkenaan.
“Hasil pemeriksaan selepas kebakaran berjaya dikawal mendapati terdapat seorang mangsa rentung yang ditemukan di kawasan ruang tamu.
“Pasukan bomba mengangkat mayat mangsa keluar dari lokasi kebakaran dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Katanya, pasukan bomba menjalankan pemeriksaan akhir bagi memastikan tiada bahaya lain wujud, sebelum operasi ditamatkan pada jam 11.35 pagi.
“Pasukan forensik bomba akan menjalankan siasatan bagi mengetahui punca dan jumlah kerugian dalam kebakaran berkenaan,” katanya.
|