Edited by Vellfire at 28-11-2024 07:00 AM
RADZUAN
KUALA LUMPUR: Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (PEMUISI) menyatakan kesal terhadap pihak yang mempertikaikan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melaksanakan pematuhan lesen papan tanda perniagaan di sini.
DBKL sebelum ini menjalankan tinjauan dan mengumpul data kesalahan serta melaksanakan pematuhan lesen papan tanda perniagaan di premis pusat beli belah di sekitar bandaraya.
Presiden PEMUISI, Datuk Dr Radzuan Ibrahim menyifatkan pihak berkenaan tidak bertanggungjawab dan tidak memahami peruntukan undang-undang dan peraturan di bawah DBKL.
Katanya, pihak terbabit tidak faham penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di papan tanda yang terletak di kawasan Pihak Berkuasa Tempatan.
“Sangat menyedihkan apabila tindakan itu dilakukan oleh seseorang yang memegang jawatan tinggi dalam kerajaan, yang sepatutnya faham dengan segala peruntukan yang ada” katanya.
Menurutnya, PEMUISI akan sentiasa menyokong setiap tindakan yang dibuat bagi memartabatkan bahasa kebangsaan, lebih-lebih lagi ia termaktub dalam undang-undang dan peraturan sedia ada.
“Kita tidak harus membenamkan undang-undang dan peraturan sedia ada, hanya semata-mata untuk menjaga hati pelancong-pelancong asing.
“Saya percaya tidak ada negara di dunia ini yang sanggup mengenepikan undang-undang dan peraturan, terutamanya melibatkan soal bahasa kebangsaan demi memuaskan hati pelancong asing,” katanya.
Mengenai alasan kononnya Malaysia akan dianggap sebagai negara perkauman kerana melaksanakan papan tanda dalam bahasa kebangsaan, Radzuan menyifatkan kenyataan itu mengarut dan tidak sepatutnya diucapkan dari mulut rakyat Malaysia.
Katanya, banyak negara di dunia yang menggunakan bahasa negara masing-masing dalam urusan negara, termasuk bahasa di papan tanda perniagaan.
“PEMUISI meminta pihak berkenaan supaya menghentikan kenyataan yang boleh menyakitkan hati, sebaliknya berusaha memulihkan negara dari kemelut ekonomi dan kehidupan rakyat.
“Mari kita sama-sama bekerja dan berusaha dengan sebaiknya bagi memulihkan ekonomi negara, meringankan bebanan rakyat terutamanya dalam kalangan B40,” katanya.
Radzuan menggesa pihak kerajaan menggubal undang-undang khusus bagi membolehkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) diberi kuasa untuk menguatkuasakan undang-undang terhadap pesalah bahasa.
“Ia termasuklah kesalahan di papan-papan tanda perniagaan agar bahasa kebangsaan digunakan dengan betul dan sempurna di kalangan masyarakat.
“DBP seharusnya mempunyai ‘taring atau gigi’ bagi membolehkan kesalahan bahasa ditangani dengan berkesan,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA), Datuk Zainal Abidin Datuk Wira Borhan turut senada dengan menyokong tindakan DBKL itu.
Katanya, tindakan menegur dan menasihat perlu diikuti tindakan undang-undang jika mereka tidak mematuhi semua peruntukan yang ditetapkan.
“DBKL diharap tidak gentar untuk melaksanakan peraturan itu dan jangan beri muka kepada pihak yang cuba campur tangan kononnya kepentingan pelancong.
“Malaysia sebuah negara merdeka dan berdaulat, negara berperlembagaan dan memiliki undang-undang. DBKL dan pihak berkuasa tempatan di seluruh Persekutuan Malaysia adalah instrumen kenegaraan.
“Laksanakan sahaja undang-undang itu dan jangan khuatir dengan pihak yang cuba campur tangan waima orang politik mahupun tokoh korporat,” katanya.
|