Ling (tiga kiri) ketika simbolik penyerahan buku kepada Kho semasa merasmikan Program Saya Suka Membaca di SJKC Su Lai, semalam.
SIBU: Pusat Khidmat P.212 Sibu telah melancarkan Program Saya Suka Membaca, dengan menyediakan buku cerita kepada lebih 60 sekolah rendah dan menengah dalam kawasan Parlimen P.212 Sibu.
Sekolah pertama yang menerima sumbangan itu adalah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Su Lai, di mana majlis penyerahan buku telah berlangsung semalam. Ini diikuti dengan sekolah-sekolah lain yang akan menerima buku secara berperingkat.
Ahli Parlimen Sibu Oscar Ling berkata, Program Saya Suka Membaca itu bertujuan menggalakkan budaya membaca dalam kalangan pelajar, memupuk tabiat membaca dan memperkaya koleksi perpustakaan sekolah.
"Matlamat utama menyediakan buku kepada sekolah adalah untuk menggalakkan pelajar membina tabiat membaca yang baik.
"Ini penting agar pelajar yang terlalu terikat dengan telefon pintar mereka," ujarnya.
Ling menekankan perlunya untuk pelajar mengubah gaya hidup dan tabiat membaca mereka, di samping mengehadkan masa penggunaan telefon pintar.
Menyentuh lanjut mengenai program Ling berkata, membaca merupakan cara terbaik untuk memperoleh pengetahuan, meluaskan minda dan mengembangkan pemikiran.
"Dengan membaca, kita dapat meningkatkan literasi dan kemahiran menulis.
"Tambahan pula, cerita dalam buku boleh memberi inspirasi kepada pemikiran kanak-kanak dan mengembangkan kebolehan menulis kreatif mereka," jelasnya.
Beliau berharap inisiatif itu akan memperkaya koleksi perpustakaan sekolah, sekali gus memberikan pelajar lebih banyak pilihan buku untuk dibaca.
“Dengan meneroka dunia buku yang luas dan menarik, pelajar boleh memperoleh pengetahuan yang berharga, merangsang pemikiran kreatif dan meningkatkan kemahiran menulis mereka, selain meningkatkan prestasi akademik mereka," katanya.
|