Pasukan pengurusan projek RECODA bersama yang lain semasa mengadakan lawatan projek bagi Bekalan Air Samalaju Fasa 2, baru-baru ini.
KUCHING: Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) mengadakan lawatan projek infrastruktur Bekalan Air Samalaju Fasa 2 di Samalaju, baru-baru ini.
Menurut kenyataan RECODA, projek berkenaan adalah satu inisiatif penting untuk meningkatkan kapasiti bekalan air daripada 80 MLD kepada 200 MLD melalui penaiktarafan Loji Rawatan Air.
“Apabila siap sepenuhnya, loji ini akan menghasilkan 200 MLD air terawat untuk memenuhi keperluan industri di Taman Perindustrian Samalaju (SIP),” menurut kenyataan.
Lawatan Pasukan Pengurusan Projek RECODA itu diketuai oleh Pengarah Bahagian Pengurusan Projek, Mohammad Safri Ibrahim, bersama Bahagian Pelaburan Strategik (SID) Kementerian Kewangan Malaysia (MOF).
Lawatan dimulakan dengan pemeriksaan tapak di lokasi cadangan Muka Sauk berhampiran Rumah Justin Agas, Labang, Batang Kemena, sebelum diteruskan ke Loji Rawatan Air Samalaju.
Sepanjang lawatan, satu taklimat projek telah disampaikan oleh pihak RECODA dan perunding.
Turut hadir dalam lawatan ini ialah Setiausaha Bahagian, Kementerian Kewangan Malaysia (MOF), Dato’ Nor Eni Ismail; Pemangku Ketua Penolong Pengarah (Unit Kewangan), Pejabat Setiausaha Kewangan Negeri Sarawak, Bata Punjab; serta wakil-wakil daripada Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak, LAKU Management dan perunding projek.
|