Edited by Vellfire at 28-11-2024 07:42 AM
Pelbagai inisiatif, aktiviti dan program dilaksanakan menyentuh segenap aspek, memastikan tiada komuniti terpinggir
DATO’ SRI AARON AGO DAGANG
KUCHING: Tahun 2024 telah menyaksikan Kementerian Perpaduan Negara (KPN) mencapai kejayaan luar biasa dalam menyemarak, memupuk, mengukuh dan memelihara perpaduan dalam kalangan rakyat.
Menterinya Dato’ Sri Aaron Ago Dagang berkata, berpegang kepada konsep ‘Perpaduan Dalam Kepelbagaian,’ KPN telah melaksanakan program dan inisiatif berdasarkan tiga objektif digariskan dalam Dasar Perpaduan Negara.
“Tiga objektif ini harus diberi perhatian khusus oleh kementerian mahupun agensi-agensi dalam melaksanakan aktiviti dan inisiatif iaitu pertama mengukuhkan perpaduan dan integrasi nasional.
“Kedua, membentuk identiti nasional dan ketiga, melahirkan rakyat Malaysia yang menghargai dan mengamalkan perpaduan,” katanya.
PERPADUAN MELALUI MAKANAN: Dato’ Sri Aaron Ago Dagang ditemani Timbalan Menteri Perpaduan Negara Senator Saraswathy Kandasami (kiri) melawat gerai King Laksa Sarawak pada Program FoodUnites Ini Warisan Kita di Tebingan Kuching. - Gambar Chimon Upon
Bertunjangkan kepada teras dan strategi ‘Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara,’ Dasar Perpaduan Negara (DPN) dibangunkan selaras matlamat digariskan di bawah gagasan Malaysia MADANI.
Bagi mencapai objektif-objektif itu katanya, KPN memberi fokus kepada lima pendekatan atau agenda sepanjang 2024, antaranya Pemerkasaan Jentera Perpaduan seperti Kawasan Rukun Tetangga (KRT), Mediator Komuniti, Skim Rondaan Sukarela (SRS) dan Tabika Perpaduan, Penghayatan terhadap Rukun Negara, Penyuburan minat terhadap Warisan dan Budaya Negara, Melahirkan Pemimpin Sukarelawan Siswa dan Meningkatkan Keharmonian antara Penganut Agama.
“Kementerian melalui kesemua agensi telah berjaya melaksanakan lebih 300 program berimpak tinggi yang berteraskan kluster Semarak Kenegaraan, Semarak Perpaduan dan Komuniti Rahmah.
“Bagi Komuniti Rahmah, antara pencapaian utama KPN tahun ini menerusi usaha Pemerkasaan KRT Progresif, Skim Rondaan Sukarela, Mediator Komuniti, Pusat Mediasi Komuniti, Cilik Perpaduan dan Biasiswa Tunku Abdul Rahman,” jelasnya.
MEMUPUK AMALAN MEMBACA: Dato’ Sri Aaron Ago Dagang semasa mengikuti Program Kembara Ilmu Ini Khazanah Kita menaiki kereta api bermula dari Stesen Keretapi Tanjung Aru ke Papar, Sabah.
Skim Rondaan Sukarela misalnya, KPN telah menyediakan peruntukan khas kepada SRS berjumlah RM3,244,192 melalui pembekalan dan penggantian fasiliti keselamatan SRS dengan anggaran peruntukan RM837,500 yang akan memberi manfaat kepada 119 KRT, katanya.
RM2,175,000 lagi untuk pembekalan 69 kabin SRS baharu serta RM231,692 bagi pembaikan kabin sedia ada di 18 kawasan SRS, tambahnya.
Dato’ Sri Aaron Ago Dagang berkata, di bawah kluster Semarak Perpaduan, KPN berjaya menyemarakkan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia yang pelbagai kaum melalui penganjuran pelbagai program, antaranya Sambutan Minggu Perpaduan, Liga Sukan Uniti, Inisiatif Harmoni MADANI, Misi Sukarelawan Siswa, Citra Nusa Muzium, Pelawat ke Muzium, FoodUnites dan Friends of Unity (FOU).
Bagi Semarak Kenegaraan pula, KPN melaksanakan enam program sepanjang tahun ini iaitu Penghayatan Rukun Negara, Bahasa Kolokial, Negarawan kita, Semarak Muzium, Persidangan Manuskrip Melayu serta Kovensyen Sejarah dan Perpaduan Nasional (KSPN).
PROFESOR DATU MOHD FADZIL ABD RAHMAN
Timbalan Naib Canselor Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) (Kepimpinan dan Pembangunan) Profesor Datu Mohd Fadzil Abd Rahman menyifatkan program dilaksanakan KPN sepanjang 2024 bersifat 360 darjah.
“Saya lihat memang program dan inisiatif dilaksanakan KPN sangat bersifat 360 darjah, iaitu dari setiap aspek dan tiada komuniti terpinggir.
“Maknanya, program dan aktiviti yang dianjurkan adalah dari pelbagai sudut, bermula dengan penghayatan kepada Rukun Negara yang merupakan tunjang kepada perpaduan termasuk dasar-dasar perpaduan negara serta dengan penglibatan semua peringkat masyarakat dari segenap bahagian,” katanya ketika dihubungi Utusan Borneo, baru-baru ini.
Beliau juga katanya, sangat tertarik dengan penekanan terhadap konsep KRT yang pernah popular pada tahun 80-an.
TURUN PADANG: Lawatan kerja Ketua Setiausaha KPN Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad bagi Projek KRT Progresif (tanaman sayuran) di KRT Taman Gemencheh Baru, Tampin Negeri Sembilan.
Menurutnya, KPN menyuburkan semula konsep KRT sebagai salah satu kaedah untuk menyatupadukan masyarakat setempat, selain menjaga kawasan masing-masing tanpa mengira kaum, keturunan dan agama.
Katanya, dengan bantuan yang diberikan kepada KRT dalam pelbagai bentuk diyakini dapat membantu komuniti menjana dan meningkatkan pendapatan isi rumah. Pemilihan 152 KRT sebagai model KRT Progresif katanya, inisiatif penting KPN untuk membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat.
“Pelantikan Mediator Komuniti bertauliah juga dilihat mengurangkan pertikaian dalam komuniti. Saya berkata begitu kerana mereka ini akan berperanan sebagai orang tengah menyelesaikan konflik dalam komuniti menerusi rundingan,” katanya.
Satu lagi elemen yang menarik perhatian Mohd Fadzil ialah penubuhan Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) Malaysia.
Selaku bekas Ahli Lembaga Pengarah YSS katanya, memang menjadi hasrat beliau untuk melihat yayasan itu melakukan kerja-kerja amal, tidak kira di mana sahaja merentasi perbezaan agama, kaum dan bangsa.
Menurutnya, YSS sebelum ini diletakkan di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan kini diserahkan kepada KPN.
Beliau berkata, YSS memupuk kesedaran dalam kalangan pelajar bahawa kerja-kerja sukarelawan begitu penting kepada perpaduan.
SIMBOLIK: Ketua Setiausaha KPN Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad menandatangani plak sebagai simbolik perasmian Pusat Mediasi Putrajaya pada 5 November lalu.
Sejak ditubuhkan pada 2012 katanya, seramai 1,797 pemimpin sukarelawan berjaya dilahirkan dengan 60 misi sukarelawan berimpak tinggi dan lebih 8,000 projek peringkat komuniti dijalankan.
“Apa yang menarik ialah saya difahamkan pelajar universiti dalam YSS terlibat dalam misi sukarelawan di dalam mahupun luar negara, malah sampai ke Vietnam selama sebulan.
“Belum lagi Misi Sukarelawan Siswa dalam negara, yakni baru-baru ini, 100 orang dihantar melakukan kerja-kerja sukarela di enam daerah di Sabah.
“Selain Misi Sukarelawan Siswa ke Sarawak, Labuan, Kedah dan Kelantan, untuk tahun ini sahaja. Pencapaian yang boleh dikatakan membanggakan,” ujarnya.
Melihat kepada program Karnival Baca Perdana dan Program Galakan Membaca, Mohd Fadzil berkata, ia bukan sahaja menyemai rasa cintakan negara dan semangat perpaduan menerusi bahan-bahan bacaan disediakan, malah secara tidak langsung meningkatkan minat suka membaca dalam kalangan rakyat Malaysia.
“Pada pendapat saya, pencapaian KPN menerusi penganjuran pelbagai program dan aktiviti suatu yang membanggakan.
“Namun saya percaya, bagi pihak masyarakat itu sendiri, harus ketepikan sentimen-sentimen yang boleh memporak-perandakan usaha perpaduan yang sedang dilaksanakan.
“Saya harus akui di Malaysia kita tidak boleh menafikan yang kita perlu hidup secara harmoni dan dalam keadaan perpaduan kerana negara kita terbentuk dalam situasi yang sudah sedemikian rupa dari permulaan Malaysia.
“Jadi tidak boleh tidak, jangan ada sedikit pun perasaan yang cuba untuk mengapi-apikan sentimen.
“Kalau ada sentimen itu, tentu api sentimen perkauman dan sebagainya akan mengatasi segala usaha dibuat oleh KPN,” ujarnya.
|