Polis berusaha mengesan Nursyasya yang dilaporkan hilang sejak 14 November lalu.
SIBU: Polis kini giat menjalankan usaha mengesan seorang remaja perempuan, Nursyasya Izzati Abdullah, 17 tahun yang dilaporkan hilang sejak 14 November lalu.
Remaja tersebut kali terakhir dilihat di kediamannya di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Rantau Panjang di sini sebelum memaklumkan kepada keluarganya dia ingin membuang sampah.
Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili berkata laporan mengenai kehilangan itu diterima daripada keluarga mangsa pada 17 November lalu dan siasatan kini sedang dijalankan.
“Mangsa pernah keluar rumah tanpa pengetahuan keluarga sebelum ini dan kejadian kali ini amat membimbangkan mereka.
"Kami menyeru orang awam yang mempunyai maklumat mengenai keberadaan remaja ini untuk tampil membantu polis,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, mangsa dilaporkan keluar dari rumah jam 11.30 malam pada 14 November lalu, namun gagal pulang sehingga kini.
Zulkipli berkata, mangsa berketinggian 160cm, berambut hitam panjang, kulit hitam manis dan bertubuh kurus.
"Kali terakhir mangsa dilihat berpakaian kemaja-T berkolar warna merah dan seluar panjang warna gelap," jelasnya.
Zulkipli berkata, usaha pencarian dilakukan di kawasan sekitar namun setakat ini tiada sebarang petunjuk ditemui.
Polis menyeru sesiapa yang mempunyai maklumat segera menghubungi balai polis berhampiran atau terus menghubungi pegawai penyiasat kes Sarjan Buie Mujah di talian 012-7896246.
|