|
Harian Metro
Muhammad Saufi Hassan
[email protected]
1.DIS.2024
MKI pada awal bulan lalu mengesahkan ajaran, pegangan dan fahaman dibawa Nasiruddin dan syarikat GISBH sesat serta menyeleweng daripada ajaran Islam. FOTO Arkib NSTP
Pendedahan demi pendedahan berkaitan rumah amal milik Global Ikhwan & Services Holdings (GISBH) menunjukkan pelbagai kesalahan, manipulasi serta penindasan kepada pihak lain.
Awal bulan lalu, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) mengesahkan ajaran, pegangan dan fahaman yang dibawa Nasiruddin Mohd Ali dan syarikat GISBH sesat serta menyeleweng daripada ajaran Islam.
Ikuti Kafe Ahad bersama pendakwah bebas, USTAZ MAHFUZ MUHAMMAD bersama wartawan MUHAMMAD SAUFI HASSAN.
Susulan keputusan MKI, apakah Ustaz sudah menjangkakan bahawa keputusan 'sesat serta menyeleweng'?
Ya, saya sudah jangkakan bahawa MKI akan memutuskan keputusan seumpama itu apabila melihat sendiri doktrin yang dibawa oleh GISBH ini.
Mereka (GISBH) mempunyai 'roh' pegangan yang sama dengan 'uniform' lama iaitu bermula dengan al-Arqam, berubah kepada Rufaqa dan kini GISBH, ideologi tetap sama.
Sebagai individu yang sudah mengkaji gerakan ini sejak berdekad lalu, saya sangat bersyukur dengan keputusan MKI, pastinya MKI sudah menimbang tara sehabis baik sebelum membuat keputusan.
Jemaah yang menganggotai MKI juga adalah pakar dan keputusan itu sangat bersesuaian serta tepat pada masanya.
Keputusan MKI ini boleh ditafsirkan sebagai noktah kepada GISBH, apakah langkah seterusnya?
Perkara yang paling penting adalah usaha untuk memulihkan akidah pengikut dan bekas pengikut supaya mereka sedar bahawa apa yang dipegang itu bersalahan dengan Islam.
Untuk kategori bekas pengikut, mungkin kaedahnya lebih mudah kerana mereka sudah sedar akan kesilapan serta doktrin menyeleweng yang dipegang, tetapi bagaimana yang masih berpegang?
Jadi, sudah menjadi tanggungjawab kita semua untuk memberi kesedaran kepada mereka dan kembali kepada ajaran Islam, manhaj Ahli Sunnah Wal Jamaah dengan akidah Asyairah Maturidiyah dan tasawuf muktabar.
Ini penting untuk mengelakkan mereka terpengaruh dengan ideologi bertopengkan sunah tetapi lebih keras, ia umpama keluar daripada mulut buaya, masuk ke mulut singa.
Ada pandangan segelintir masyarakat bahawa kenapa perlu disekat 'sistem perniagaan' GISBH yang elok, yang Islamik, komen ustaz?
Pertamanya, kita jangan lihat luaran saja, macam kita tengok nangka, luar nampak elok, dalam belum tentu elok lagi.
Sama juga dalam konteks ini, masyarakat awam perlu faham bahawa sistem perniagaan yang digunakan oleh GISBH ini bukan sekadar bertentangan dengan syarak, bahkan banyak melanggar hal-hal yang bersangkutan dengan undang-undang dunia.
Contohnya, mereka bekerja tetapi tidak ada gaji dan sistem ini berjalan dalam sistem perniagaan mereka, rangkaian sistem perniagaan GISBH ini.
Kakitangan mereka boleh makan, boleh minum, boleh pakai, boleh tidur dan itu saja, kalau orang bawahan tidak bergaji dan orang atas juga tidak bergaji, tidak mengapa jugalah, boleh dimaafkan juga.
Tetapi kita lihat orang atas hidup dengan serba lengkap manakala orang bawah hidupnya umpama melaratlah kita kata begitu.
Kadang-kadang itu, biarpun tidak bergaji tetapi mempunyai ramai isteri, anak sampai 20 orang, anak-anak letak di rumah amal, orang atasan pula duduk di rumah banglo, kenderaan bukan yang biasa-biasa.
Saya ingatkan lagi kata-kata seorang pendakwah iaitu Allahyarham Ustaz Mokhtar Yaakob bahawa golongan ini menggunakan sistem komunis kerana tidak memberi hak.
Sedangkan Islam itu memberikan hak kepada individu yang berkenaan, manakala golongan ini tidak mengamalkan keadaan begitu, jadi di mana hujah yang mereka mengamalkan konsep Islam.
Ini sama sekali bukan konsep Islam, Islam tidak pernah menzalimi pihak lain, setiap yang hak akan mendapat hak mereka.
Apakah fahaman sama turut diterapkan selepas Ashaari Muhammad meninggal dunia?
Ya, ia turut diterapkan selepas ketiadaan Ashaari Muhammad. Saya pada awalnya memang menjangkakan bahawa fahaman atau ideologi sama iaitu pengikut al-Arqam ini tidak akan mempercayai bahawa beliau meninggal dunia dan perkara itu benar-benar terjadi.
Selepas ketiadaan Ashaari Muhammad, pengikut al-Arqam ini mempercayai bahawa beliau tidak meninggal dunia malah mereka beriktikad bahawa Ashaari Muhammad ini akan menjadi penyambut Imam Mahdi, pada kepercayaan mereka adalah Syeikh Suhaimi tadi.
Perkara atau ideologi ini membawa kepada ketaasuban yang melampau apabila orang yang menggantikan Ashaari Muhammad itu tiada langsung dasar pengetahuan agama, kenyataan yang dikeluarkan terlalu karut dan fahaman mereka ini terus menebal.
Apakah Ustaz bersetuju bahawa al-Arqam selepas itu bertukar kepada Rufaqa dan kini GISBH menggunakan doktrin fahaman yang sama, tetapi 'baju' yang berbeza?
Mereka ini menggunakan baju yang berbeza malah ideologi mereka lebih teruk daripada awal.
Terlalu banyak fahaman yang sangat bercanggah, kalau kita lihat semula dalam konteks GISBH ini, dalam aspek perundangan dunia pun sudah banyak yang salah apatah lagi undang-undang syarak.
Manipulasi kanak-kanak, pengabaian anak kecil, pemerasan pekerja dan banyak lagi berlaku pada ketika GISBH ini dan mereka melanggar bukan saja undang dunia, tetapi menyalahi kefahaman Islam mengikut acuan Ahlul Sunnah Wal Jamaah.
Menjawab persoalan itu, memang al-Arqam, Rufaqa dan GISBH ini menggunakan nama yang berbeza, tetapi roh ideologi yang sama malah tidak keterlaluan jika kita katakan, ideologi mereka sudah semakin teruk jika dibandingkan.
Contohnya macam perkahwinan yang ditentukan, zaman al-Arqam sudah berlaku, masuk kepada era Rufaqa semakin teruk dan GISBH, ia berlaku dengan lebih teruk lagi.
Itu yang saya katakan, GISBH ini bukan saja banyak melanggar undang-undang syarak, tetapi banyak bersalahan dengan perundangan dunia.
|
This post contains more resources
You have to Login for download or view attachment(s). No Account? Register
x
|