Edited by maklukpenggoda at 24-12-2024 02:16 AM
Update:
KUALA LUMPUR: Kereta jenama Haval, sofa, peti ais dan pendingin hawa antara barangan milik pelakon sensasi, Rozita Che Wan yang akan dilelong melalui lelongan awam, esok.
Difahamkan, lelongan dijadual bermula pada jam 10.30 pagi di kediamannya di Kota Damansara, Petaling Jaya membabitkan 34 barangan dengan jumlah keseluruhan bernilai RM902,012.46.
Perintah lelongan barangan milik Rozita atau mesra disapa Che Ta dikeluarkan Mahkamah Sesyen Petaling Jaya yang akan dijalankan oleh Auctrade Auctions Solution.
Pada 10 Disember lalu, kediaman Rozita di Kota Damansara, Petaling Jaya dilapor diserbu pegawai Majlis Amanah Rakyat (MARA) bersama peguam dan wakil mahkamah berikutan dakwaan gagal melunaskan pinjaman bernilai hampir RM1 juta.
SEREMBAN, 10 Dis (Bernama) -- Majlis Amanah Rakyat (MARA) mengambil sikap tegas dan adil dalam memastikan peminjam sama ada pinjaman pendidikan atau perniagaan melunaskan hutang mereka dengan institusi itu.
Pengerusi MARA Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata peminjam perlu bertanggungjawab supaya setiap sen duit rakyat itu dipulangkan terutama kerana kontrak yang ditandatangani adalah bersifat pinjaman.
"la berbeza dengan sedekah, ini adalah kontrak pinjaman. MARA mengambil pendekatan berunding kepada sesiapa sahaja yang bermasalah dalam melangsaikan hutang mereka.
"Setiap peminjam perlu membayar balik pinjaman perniagaan atau pendidikan mereka mengikut jadual. Jika ada masalah, MARA akan minta mereka datang berunding supaya penjadualan dan penstrukturan bayaran dapat dilakukan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis Penyerahan Tren SCS Class 92 Projek Penyelenggaraan, Pembaikan dan Operasi serta Perjanjian Kolaborasi Antara M Rail Technics (Railtec) dengan Universiti Kuala Lumpur di Depoh EMU Keretapi Tanah Melayu Berhad di sini hari ini.
Asyraf Wajdi mengulas laporan media mengenai tindakan pegawai MARA menyerbu sebuah rumah dipercayai milik pelakon terkenal di Kota Damansara, Petaling Jaya hari ini susulan kegagalannya membayar pinjaman berjumlah RM1 juta.
Beliau berkata tindakan mahkamah dan perundangan adalah penyelesaian terakhir yang perlu diambil bagi memastikan MARA mendapat semula wang rakyat itu untuk dimanfaatkan kepada peminjam lain.
"la prosedur biasa, peminjam yang culas, tidak mengira siapa... MARA tidak pilih bulu bahkan saya sendiri banyak menerima rayuan. Prinsip saya mudah, rayuan perlu mengikut proses ditetapkan," katanya.
Asyraf Wajdi berkata masalah timbul apabila terdapat segelintir pihak bersikap tidak bertanggungjawab kepada amanah dan komitmen pembayaran balik pinjaman dengan menghilangkan diri.
'Kita terpaksa mengambil tindakan undang-undang, ia berbeza, peminjam yang jelas tidak dapat bayar balik kerana pelbagai faktor dengan peminjam yang disebut procrastinated iaitu sengaja tidak mahu bayar.
Bernama
|