Kuala Lumpur: Cadangan pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) semasa Sidang Kemuncak Asean mendapat sokongan Kongres Kesatuan Guru-Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (Kongres).
Setiausaha Agungnya, Mohd Azizee Hasan berkata, langkah itu wajar dipertimbangkan berikutan pengalaman kesesakan lalu lintas yang teruk ketika lawatan Presiden China, Xi Jinping ke Malaysia, baru-baru ini.
"Kongres bersetuju dengan pelaksanaan PdPR ketika sidang kemuncak berkenaan demi mengelakkan kesulitan kepada warga pendidik, ibu bapa dan murid.
"Namun, ia perlu mendapatkan persetujuan dan arahan rasmi daripada Kementerian Pendidikan (KPM) dengan mengambil kira keperluan serta keadaan sebenar setiap sekolah yang berbeza-beza dari segi bilangan murid, lokasi dan kedudukan sekolah dengan laluan yang digunakan," katanya.
Menurutnya, pelaksanaan PdPR tidak seharusnya dibuat secara menyeluruh tanpa mengambil kira realiti di peringkat sekolah.
Sebaliknya, katanya, pihak sekolah boleh diberikan autonomi untuk menentukan pendekatan terbaik seperti menggilirkan kehadiran pelajar mengikut tingkatan atau menyesuaikan waktu persekolahan supaya tidak bertembung dengan waktu puncak lalu lintas.
"Lebih penting adalah memastikan murid tidak tercicir dalam pembelajaran dan pada masa sama memastikan perjalanan sepanjang Sidang Kemuncak Asean berjalan lancar serta mengelakkan kesesakan teruk," katanya.
Terdahulu, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan mencadangkan kepada Kabinet supaya kerja dari rumah dan PdPR dilaksanakan semasa Sidang Kemuncak Asean pada Mei dan Oktober depan. - Harian Metro
|