Dalam era kecerdasan buatan atau artificial intelligence (AI) kini sesuatu maklumat itu mampu disalurkan secara terperinci atau dirumuskan secara ringkas dan padat, selain susunan bahasa yang mudah difahami. Pelbagai produk perisian atau platform teknologi AI kini telah dihasilkan sehingga mampu dimanfaatkan oleh ramai pengguna di seluruh dunia.
Terdapat banyak perkongsian menarik yang dikongsikan oleh para pempengaruh media sosial hasil perbualan mereka dengan AI daripada hal-hal duniawi sehinggalah hal-hal agama. Antara yang menarik bagi penulis ialah pertanyaan beberapa pempengaruh mengenai peranan AI sekiranya dia adalah syaitan. Maka, bagaimanakah cara dia akan merosakkan umat manusia di zaman moden ini?
Jawapan berdasarkan maklumat yang dicerap oleh AI tersebut agak memeranjatkan. Ia seakan-akan menggambarkan bagaimana jawapan sebenar syaitan sekiranya dia boleh berkata-kata kepada manusia.
Antara jawapannya yang penulis terjemahkan secara bebas, katanya: "Bagi merosakkan umat manusia pada zaman ini, aku akan mula dengan memesongkan matlamat sebenar hidup mereka sehingga mereka berasa selesa dengan kehidupan yang biasa sahaja. Aku akan menyibukkan mereka dengan pelbagai perkara melalaikan sehingga masa berlalu pergi begitu sahaja tanpa mereka membuat apa-apa perkara yang bermanfaat dan berfaedah dalam hidup. Aku akan mengelirukan kejantanan kaum lelaki sehingga mereka melihat sifat gagah sebagai toksik, kewibawaan memimpin sebagai nafsu menindas dan rasa bertanggungjawab sebagai beban. Sehingga mereka malu untuk menjadi kaum lelaki serta menolak peranan semula jadi mereka sebagai pelindung dan pengurus tadbir. Aku akan membiarkan mereka tiada arah, lemah dan suka bergantung harap. Aku juga akan mempengaruhi manusia agar berasa senang dengan kemajuan dan mendorong mereka untuk terus mengejar kepuasan berbanding matlamat yang sebenar. Aku akan menggoda mereka dengan pornografi, makanan yang tidak sihat dan keuntungan jangka pendek berbanding kejayaan jangka panjang. Aku akan menjadikan mereka menganggap maksiat sebagai tanda kebebasan, manakala peraturan dan disiplin sebagai bentuk pemenjaraan. Aku akan memisahkan mereka daripada sebarang kepercayaan sehingga mereka menganggap agama sebagai ketinggalan zaman, penyerahan diri kepada Tuhan sebagai kelemahan dan nilai moraliti pula hanya bersifat subjektif. Aku akan memenuhkan pemikiran mereka dengan fahaman nihilisme dan hedonisme hingga mereka tenggelam dalam hiburan dan menganggap kehidupan ini sebenarnya tiada mempunyai tujuan sebenar untuk dikejar. Aku akan memastikan mereka dibiar bersendirian, lemah dan terdedah. Ini kerana manusia yang tiada berkumpulan, tidak mempunyai matlamat dan tiada kepercayaan adalah lebih mudah untuk dikawal."
Jawapan di atas seolah-olah merumuskan apa yang telah dijelaskan dalam banyak ayat al-Quran dan hadis tentang bagaimana syaitan berusaha menghasut dan memperdaya manusia. Oleh kerana itu, berwaspadalah dengan tipu daya, godaan dan hasutan syaitan. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan; dan sesiapa yang menurut jejak langkah syaitan, maka sesungguhnya syaitan itu sentiasa menyuruh (pengikut-pengikutnya) melakukan perkara yang keji dan perbuatan yang mungkar." (Surah an-Nur: 21)
Antara cara berkesan untuk mengatasi tipu daya Syaitan ialah jangan mengikuti bisikan dan hasutannya. Daripada Sabrah bin Abi Fakih RA berkata: Aku mendengar Rasulullah SAWbersabda: "Sesungguhnya syaitan menghalangi anak Adam pada banyak jalan. Mulanya, dia duduk menghalanginya di jalan Islam, lalu dia berkata kepadanya: "Apakah engkau mahu masuk Islam dan meninggalkan agamamu serta agama bapa dan nenek moyangmu?" Rasulullah SAW bersabda: "Lalu, orang tersebut tidak menurutinya, lantas dia tetap memeluk Islam." Kemudian, syaitan menghalanginya di jalan hijrah pula, lalu berkata: "Apakah kamu akan berhijrah meninggalkan bumimu dan langitmu? Sesungguhnya perumpamaan orang yang berhijrah adalah seperti mana kuda yang ditambat (kerana tidak bebas berada di tempat orang)." Rasulullah SAW bersabda: "Lalu, dia tidak menurutinya, lantas dia tetap berhijrah." Rasulullah SAW bersabda: "Kemudian, dia menghalanginya lagi di jalan jihad, lalu berkata kepadanya: "Jihad adalah mengorbankan nyawa dan harta, lantas engkau akan berperang, lalu akan terbunuh. Maka, isterimu akan dinikahi orang dan hartamu akan dibahagi-bahagikan?" Rasulullah SAW bersabda: "Lalu, dia tidak menurutinya, lantas dia tetap berjihad." Maka, Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa di antara mereka yang berbuat sedemikian, lalu dia mati, nescaya Allah akan memasukkannya ke syurga. Ataupun dia terbunuh, nescaya Allah akan memasukkannya ke syurga. Ataupun dia lemas tenggelam, nescaya Allah akan memasukkannya ke syurga. Ataupun dia terjatuh daripada kenderaannya, nescaya Allah akan memasukkannya ke syurga." (Riwayat Ahmad dan an-Nasa'i dengan sanad hasan)
Penulis Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis & Akidah (Inhad), Universiti Islam Selangor (UIS)
|