Edited by JoyahMengayah at 5-7-2025 02:37 AM
KUALA LUMPUR: Sokongan peminat termasuk dalam kalangan generasi muda mendorong kumpulan Elite mewujudkan akaun Instagram (IG) rasmi, @eliteofficialmy, semalam.
Anggota Elite, iaitu Linda Rafar memberitahu, objektif mendaftarkan akaun IG adalah bagi menghebahkan aktiviti kumpulan itu yang semakin aktif selepas diundang beraksi pada Konsert GenKRU yang dijayakan trio adik-beradik, KRU di Axiata Arena, bulan lalu.
Sebelum ini, kami pernah ada akaun IG. Namun, disebabkan masing-masing sibuk dengan kerjaya sendiri, akaun itu tidak lagi aktif.
"Selepas kami terbabit dalam konsert GenKRU, tiba-tiba kami dapat banyak perhatian. Tidak sangka masih ramai yang hendak tahu perkembangan Elite dan apa yang kami buat.
"Hasil perbincangan, kami memutuskan untuk wujudkan akaun rasmi IG baharu. Akaun lama kami ramai pengikut senior. Selepas konsert KRU, kami kumpul peminat remaja.
"Kawan-kawan anak saya pun baru tahu saya penyanyi. Dahulu mereka tidak tahu kewujudan Elite," katanya kepada BH Online.
Mengulas spekulasi kewujudan IG sebagai petunjuk Elite bakal mementaskan konsert besar, Linda memberitahu, mereka bersedia terima apa sahaja peluang.
"Saya tidak boleh ulas kerana setakat ini, kami tiada pengesahan. Namun, kami memang mahu buat konsert sebab ramai peminat tertunggu-tunggu.
"Tidak dinafikan kami terima banyak tawaran agar pentaskan konsert. Cuma, sebelum terima tawaran itu, kami kena buat banyak persediaan, bukan sekadar menyanyi sahaja.
"Kami sudah berusia 40-an. Kena mula jogging untuk kuruskan badan dan masuk kelas vokal. Kalau kita tengok KRU, enam bulan sebelum konsert mereka sudah mula bersenam," katanya.
Selepas sehari dibuka, akaun IG Elite sudah mengumpul hampir 2,000 pengikut.
Pada 3 Mei lalu, kemunculan Elite yang dianggotai Abby Abadi, Sasha Saidin, Watie Sadali, Azza Zawari dan Linda berduet lagu Di Pintu Syurga bersama KRU menggamatkan konsert.
BH
|