Penutup lubang dialih dalam cubaan curi kabel punca van sekolah terbalik
Oleh Mohamed Farid Noh - Julai 18, 2025 @ 4:03pm
[email protected]
Van sekolah terbalik selepas melanggar lubang di Jalan Abdul Samad, Johor Bahru, pagi tadi.- Foto PDRM
JOHOR BAHRU: Lubang 'manhole' terbuka yang mengakibatkan kemalangan van sekolah di Jalan Abdul Samad, pagi tadi, dipercayai akibat cubaan mencuri kabel dan bukannya kerja penyelenggaraan oleh mana-mana pihak.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh, berkata semakan mendapati penutup lubang itu milik syarikat Telekom Malaysia (TM), namun tiada kerja dilakukan di lokasi kejadian sejak kebelakangan ini.
Tinjauan dilakukan di kawasan kemalangan mendapati penutup lubang 'manhole' campuran konkrit dan besi itu masih berada di kawasan berkenaan.
"Keadaan penutup 'manhole' yang berada dalam keadaan terbuka dipercayai ada unsur cubaan mencuri.
"Saya memohon bantuan semua pihak yang mempunyai maklumat lanjut atau bukti seperti rakaman video cubaan mencuri penutup lubang 'manhole' di kawasan kemalangan supaya tampil.
"Ini termasuk jika ada yang mempunyai maklumat tindakan mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab membuka penutup dan membiarkan lubang 'manhole' di kawasan kemalangan terbuka, supaya tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan bagi membantu siasatan," katanya dalam kenyataan, di sini.
Keadaaan lubang tepi Jalan Abdul Samad yang menyebabkan kemalangan van sekolah dengan 11 pelajar cedera, pagi tadi.- Foto NSTP/ LAILY HUSSEIN
Terdahulu, Kerajaan Johor dilaporkan mengarahkan siasatan segera dijalankan berhubung insiden kemalangan membabitkan sebuah van sekolah yang terbalik di Jalan Abdul Samad, pagi tadi, dipercayai akibat melanggar lubang 'manhole' yang tidak bertutup.
Mohamad Fazli dilaporkan berkata, siasatan rapi perlu dilakukan bagi mengenal pasti punca sebenar lubang terbuka itu, sama ada akibat kecurian atau kecuaian pihak kontraktor.
Sebelum itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS), Asisten Komisioner Raub Selamat, dilaporkan berkata van sekolah terbabit membawa seramai 17 individu terdiri daripada seorang pemandu, sembilan pelajar lelaki dan tujuh pelajar perempuan berusia antara 9 hingga 15 tahun.
Raub dilaporkan berkata, dalam kejadian kira-kira jam 7.01 pagi itu, van sekolah jenis Nissan Urvan itu terbabas sendiri selepas melanggar sebuah lubang pembetungan di tepi kiri jalan, menyebabkan pemandu hilang kawalan sebelum kenderaan berkenaan terbalik
Seramai 16 murid sekolah dilaporkan cedera termasuk patah tangan dan jari selepas van sekolah yang dinaiki terbalik dalam kemalangan di Jalan Abdul Samad, di sini, kira-kira jam 7 pagi tadi
Bagaimanapun, hanya 11 pelajar yang mengalami kecederaan kini masih menerima rawatan di Zon Kuning HSA, manakala selebihnya dilaporkan tidak mengalami kecederaan serius.
|