Tugas Qabil Irfan belum selesai
Oleh Khairil S Iswan - September 16, 2025 @ 2:23pm

Qabil Irfan meraikan kejayaan menjuarai kedua-dua perlumbaan di Estoril. - Foto ZK Racing
SEPANG: Pelumba muda sensasi negara, Qabil Irfan Azlan menegaskan misinya masih belum selesai apabila menetapkan sasaran kembali bergelar juara dunia di kejuaraan FIM MiniGP Dunia Final di Sepanyol, hujung tahun ini.
Bakat cilik berusia 13 tahun itu mencipta sejarah apabila mengesahkan gelaran juara keseluruhan ESBK Talent pada Kejuaraan Superbike Sepanyol (ESBK) lebih awal, selepas memenangi kedua-dua perlumbaan di Litar Estoril, Portugal Ahad lalu.
Dan sekalipun gelaran juara sudah digenggam, pelumba kelahiran Terengganu itu berazam melengkapkan musim gemilangnya dengan membolot kemenangan pada baki dua perlumbaan ESBK Talent yang ditawarkan pada pusingan terakhir di Jerez, November ini.
Qabil berkata kejayaan menjuarai ESBK Talent itu menguatkan lagi semangatnya untuk menghadapi saingan sengit di pentas FIM MiniGP Dunia Final yang menyaksikannya menamatkan saingan di tempat kelima tahun lalu.
"Saya rasa tahun ini mungkin kebanyakan pelumba di MiniGP Dunia Final adalah muka baharu tetapi dengan kemenangan ini, saya rasa lebih yakin untuk menghadapi saingan di Sepanyol nanti," kata Qabil ketika tiba di Malaysia dari Portugal, malam tadi.
Selepas enam pusingan ESBK Talent diharungi, Qabil ketika ini mengumpul 252 mata, meninggalkan pencabar terdekat dari Switzerland, Alessio Arnold dengan 191 mata.
"Saya akan berlatih lebih gigih untuk cuba meraih kemenangan sekali lagi di Jerez nanti. Sasaran saya sudah tentu untuk memenangi kedua-dua perlumbaan," katanya.
Mengulas persembahannya di Estoril, Qabil menjelaskan perancangan rapi pasukan serta persediaan awal menjadi kunci kejayaannya menakluki litar berkenaan.
"Memang saya dan pasukan cuba sehabis baik untuk memberikan segala-galanya di Estoril. Kami bekerja keras mencari pelarasan terbaik sejak Jumaat lagi. Jadi berjaya memenangi kedua-dua perlumbaan sangat bermakna," katanya.
https://www.bharian.com.my/sukan/litar/2025/09/1446810/tugas-qabil-irfan-belum-selesai
|