CariDotMy

 Forgot password?
 Register
CARI sedang mencari rakan kongsi yang berkongsi matlamat sama untuk meneroka lebih banyak peluang bersama. Untuk maklumat lanjut: Klik sini
Author: Vellfire

[Borneo] Rumah Borak Borneo~Boleh bah, kalau kau

 Close [Copy link]
 Author| Post time 18-11-2025 02:58 PM | Show all posts
Chiew, Ling tinjau keperluan mangsa kebakaran Kampung Wireless
November 17, 2025, Isnin - 3:46pm

MIRI: Setiausaha Pakatan Harapan Alan Ling turut menemani Ahli Parlimen Miri Chiew Choon Man melawat ke Kampung Wireless sejurus balik dari Sabah pagi semalam.

Ling yang juga Setiausaha DAP Sarawak berkata, mereka berada di Kota Kinabalu semalam untuk urusan penamaan bagi calon Pakatan Harapan (PH).

Setelah menerima berita tentang kejadian kebakaran di Kampung Wireless yang melibatkan tujuh buah keluarga dan sebuah premis perniagaan, mereka terus mengatur pergerakan kempen di sana untuk balik ke sini meninjau keadaan dan menghulurkan bantuan.

"Semalam, pasukan Ahli Parlimen telah turun ke tempat kejadian untuk memahami keadaan dan pagi ini kami turut diberi taklimat oleh pihak berkuasa mengenai kejadian tersebut dan diberitahu pihak forensik Bomba dan Penyelamat telah tiba untuk memulakan siasatan terperinci untuk mengenal pasti punca kejadian," tambahnya.

Ling berkata, semasa lawatan tersebut mereka bertemu dengan penduduk sekitar dan difahamkan bekalan elektrik telah diputuskan demi keselamatan dan berharap pihak berkuasa dapat memulihkan bekalan elektrik dengan kadar segera sekiranya aspek keselamatan terjamin.

"Saya berterima kasih kepada Chiew kerana telah memberi bantuan kewangan dan sekiranya mangsa-mangsa (lebih kurang 80 orang) ada keperluan yang lain ataupun menghadapi kerumitan memohon dokumen peribadi seperti MyKad dan sijil kelahiran, kami sedia memberi bantuan untuk memudahkan proses," tegasnya.

Ling turut mengucapkan jutaan terima kasih kepada kesemua barisan hadapan khususnya bomba, polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan orang awam dalam misi penyelamat, termasuk sebuah kapal luar pesisir atas usaha murni mereka dalam memberi bantuan yang telah mendapat pujian daripada semua pihak.

"Semangat saling bantu membantu inilah mencerminkan persefahaman dan sepakat antara satu sama lain tanpa mengambil kira kaum, agama dan latar belakang, ini sesuatu yang menyentuh hati dan bersyukur bahawa tidak terdapat kecerderaan ataupun mangsa terkorban," katanya.

Ling berharap pelan dan jalan keluar masuk kawasan di Kampung Wireless mendapat perhatian daripada pihak berkuasa agar penduduk setempat dapat akses yang mencukupi dan luas untuk keperluan laluan bukan sahaja sebagai haluan harian, tetapi ketika berlaku musibah, akses tidak dihalang untuk memudahkan kerja menyelamat.
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 18-11-2025 02:58 PM | Show all posts
Pertandingan memancing udang SUPP Bawang Assan dapat sambutan
November 17, 2025, Isnin - 3:50pm

SIBU: Pertandingan memancing udang anjuran Sayap Pemuda Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Bawang Assan semalam berjaya menarik penyertaan ramai golongan muda.

Program santai berkenaan bukan sahaja meriah dengan kehadiran belia, malah menyerlahkan semangat kebersamaan dan kerjasama kukuh dalam pasukan.

Pertandingan tersebut dirancang rapi ketua sayap terbabit Kapitan Chew Hoo Kiong bersama ahli jawatankuasa Ling Wan Kiong.

Perancangan teliti mereka memastikan perjalanan program berjalan tanpa sebarang masalah manakala para peserta menikmati pengalaman memancing dalam suasana yang ceria dan menghiburkan.

Lau (dua kanan) menyerahkan hadiah kepada salah seorang pemenang pada pertandingan memancing udang di Sibu semalam.
Lau (dua kanan) menyerahkan hadiah kepada salah seorang pemenang pada pertandingan memancing udang di Sibu semalam.
Aktiviti itu turut menjadi ruang bagi para belia meluangkan masa berkualiti bersama, mengeratkan hubungan dan melepaskan tekanan daripada kesibukan harian.

Pengerusi SUPP Cawangan Bawang Assan Kaunselor Kevin Lau berkata, aktiviti seumpama itu bukan sekadar medan untuk mengumpulkan belia, tetapi juga platform penting dalam memantapkan perpaduan dalam parti.

Menurutnya, golongan muda merupakan aset utama yang akan mewarnai masa depan parti serta memainkan peranan penting dalam memajukan masyarakat.

“Walaupun masing-masing sibuk dengan tuntutan kerja dan komitmen harian, kami berharap para belia terus melibatkan diri dalam aktiviti parti.

"Melalui program seperti ini, mereka dapat saling memberi sokongan, bertukar pandangan dan berkembang bersama.

"Inilah nilai perpaduan, kerjasama dan kemajuan kolektif yang amat kita perlukan,” katanya.

Lau (tiga kiri) bersama peserta lain semasa menyertai pertandingan memancing udang di Sibu semalam.
Lau (tiga kiri) bersama peserta lain semasa menyertai pertandingan memancing udang di Sibu semalam.
Tambahnya lagi, SUPP Cawangan Bawang Assan tetap komited menyediakan lebih banyak program yang bermanfaat untuk menarik penyertaan anak muda.

“Selain menikmati aktiviti santai seperti ini, kami mahu mereka memupuk rasa tanggungjawab untuk berkhidmat kepada masyarakat serta berganding bahu dalam usaha membangunkan Bawang Assan dan Sarawak,” ujarnya.

Beliau turut menggesa para belia agar mengekalkan semangat jitu dan kesatuan demi membina sebuah pasukan yang lebih mantap, sekali gus memperkukuh landasan untuk masa depan parti.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 18-11-2025 02:59 PM | Show all posts
Belia Sarawak digesa kekal bersedia hadapi cabaran digital
November 17, 2025, Isnin - 3:58pm

KUCHING: Golongan belia Sarawak perlu memperkukuhkan kesiapsiagaan digital dan memanfaatkan sepenuhnya peluang baharu seiring usaha negeri membangunkan ekosistem inovasi yang lebih berdaya tahan, kata Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh.

Berucap pada Program Keselamatan Digital dan Pemerkasaan Belia di TEGAS Digital Village (TDV) semalam, beliau menzahirkan penghargaan terhadap komitmen para peserta yang meluangkan masa hujung minggu mereka mengikuti aktiviti berkaitan keselamatan siber.

“Sejak pagi sehingga malam anda berada di sini, dan semangat yang ditunjukkan benar-benar mengagumkan saya.

“Ini membuktikan kesungguhan anak muda kita dalam mempersiapkan diri menghadapi dunia digital,” katanya.

Beliau turut menekankan mengenai perkembangan TEGAS sejak penubuhannya pada 2012, yang bermula dengan inisiatif pendidikan teknikal sebelum berkembang kepada pembangunan ekonomi digital.

Selain itu, Len Talif turut berkongsi mengenai pelan pembangunan TEGAS Lodge Sarawak (TLS), fasa baharu yang akan dibangunkan di tanah seluas 15 ekar bersebelahan TDV, sebagai pusat inovasi sehenti untuk bakat tempatan dan digital nomad antarabangsa yang dijangka siap antara tahun 2027 hingga 2028.

Beliau menggalakkan golongan belia untuk terus terlibat dalam inisiatif digital di bawah ekosistem TEGAS.

"Ini baru permulaan. Kami ingin mewujudkan persekitaran di mana anda boleh belajar, membina, malah mengembangkan syarikat baharu anda sendiri," tambah beliau yang juga pengerusi TEGAS.

Pada masa yang sama, beliau berharap golongan belia terus menyertai program-program akan datang sebagai usaha berterusan melahirkan generasi yang yakin serta berkemahiran digital.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada penganjur, rakan kolaboratif serta sukarelawan, selain mengumumkan sumbangan RM500 daripada TEGAS kepada setiap pemenang yang menerima pengiktirafan pada segmen penyampaian anugerah program berkenaan.

Reply

Use magic Report

 Author| Post time 18-11-2025 03:01 PM | Show all posts
Golongan muda diseru aktif sertai, pimpin KRT
November 17, 2025, Isnin - 4:06pm

Ia bagi memastikan kesinambungan perpaduan dan keharmonian masyarakat pada masa depan, kata Rosey

MIRI: Golongan muda diseru tampil lebih aktif menyertai serta memimpin Kawasan Rukun Tetangga (KRT) bagi memastikan kesinambungan perpaduan dan keharmonian masyarakat pada masa depan, tegas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak Datuk Rosey Yunus.

Menurutnya, penyertaan belia amat penting kerana mereka membawa idea baharu, tenaga segar dan elemen inovasi yang mampu memperkukuh peranan KRT sebagai penggerak perpaduan di peringkat komuniti.

Beliau berkata, generasi muda perlu dibimbing sejak awal agar memahami nilai toleransi, hormat menghormati dan tanggungjawab sosial, sekali gus memastikan perpaduan masyarakat pelbagai kaum di Sarawak kekal utuh dan tidak dipandang ringan.

Rosey menegaskan bahawa penglibatan belia dalam KRT bukan sahaja memperkasa gerakan komuniti, malah memberi jaminan terhadap usaha mengekalkan keharmonian dan keselamatan kawasan setempat.

"Jadi pastikan kita menggalak generasi belia kita untuk ikut serta sebab dengan mendidik daripada generasi muda ini maka kita akan terus memastikan perpaduan kita terjaga.

"Sebab kita tidak boleh lihat aspek perpaduan dengan sambil lewa.

"Jadi kita perlu memberi ruang kepada tenaga muda untuk memberi idea yang baharu, supaya juga ada berlaku inovasi kepada apa yang sedia ada dan tenaga segar dalam memperkukuhkan perpaduan komuniti," jelasnya ketika merasmikan Majlis Malam Solidariti Jubli Emas 50 Tahun Rukun Tetangga Peringkat Bahagian Miri semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu itu turut menegaskan, sejarah penubuhan KRT 50 tahun lalu berasaskan keperluan keselamatan dan hubungan antara kaum.

Selama lima dekad, KRT telah berkembang daripada platform keselamatan komuniti kepada gerakan sosial dinamik yang melaksanakan pelbagai program pembangunan insan, ekonomi, keselamatan dan perpaduan.

Beliau turut berbangga dengan pencapaian KRT di Bahagian Miri melalui pelaksanaan aktiviti seperti program komuniti, projek ekonomi, kesihatan dan penglibatan aktif Skim Rondaan Sukarela (SRS).

SRS disifatkan memainkan peranan besar dalam memastikan keselamatan setempat dan memberi rasa selamat kepada penduduk.

Rosey turut menyeru agar lebih banyak KRT ditubuhkan termasuk di rumah panjang bagi memperkukuh keselamatan akar umbi selain menyokong usaha pihak polis.

KRT juga diingatkan tentang peranan penting sebagai penggerak perpaduan, pelindung komuniti, pendidik generasi muda serta penghubung antara rakyat dan kerajaan.

Dalam era yang penuh cabaran seperti perubahan ekonomi, penyebaran maklumat tidak sahih dan sentimen perkauman di media sosial, KRT perlu bertindak sebagai 'penapis sosial' yang menyejukkan suasana dan mengeratkan hubungan antara kaum.

"Rukun Tetangga harus berperanan sebagai penapis sosial yang menyejukkan suasana.

"Ini penting, menyejukkan bukan hendak mengapi-apikan suasana, merapatkan jurang dan mengharmonikan masyarakat yang pelbagai kaum dan agama.

"Jadi kita menjadi pelengkap kepada perpaduan," jelasnya.

Dalam pada itu, majlis menyaksikan pelancaran logo KRT yang baharu serta persembahan kebudayaan melibatkan pelbagai KRT termasuk persembahan sape oleh Nakita Sarna, tarian Jatti Miriek dan nyanyian oleh guru-guru Tabika Perpaduan Miri.

Selain itu, beberapa anugerah penghargaan turut disampaikan kepada individu dan KRT yang menunjukkan kecemerlangan, antaranya Anugerah Pengurusan RT Cemerlang, Anugerah Jiran Wanita Terbaik, Anugerah SRS Paling Aktif, Anugerah KRT Progresif Terbaik serta Anugerah Jasa Emas Pengerusi RT.

Pengiktirafan turut diberikan kepada rakan strategik atas sokongan mereka dalam usaha memperkukuh perpaduan komuniti.

Majlis anjuran Pejabat Perpaduan Bahagian Miri itu turut dihadiri Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Piasau Datuk Sebastian Ting,  Ahli Dewan Undangan Negeri Pujut merangkap Datuk Bandaraya Miri Adam Yii, Timbalan Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri Sarawak Giri Nyareng, Ketua Polis Daerah Miri ACP Mohd Farhan Lee Abdullah serta Pegawai Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Bahagian Miri Wilfred Ugap.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 18-11-2025 03:01 PM | Show all posts
Tiada geran sah, mangsa kebakaran Kampung Wireless bakal dipindah
November 17, 2025, Isnin - 4:13pm

MIRI: Mangsa kebakaran Kampung Wireless mungkin tidak dapat membina semula rumah mereka di tapak asal berikutan ketiadaan geran tanah yang sah dan kini perlu menunggu keputusan pemindahan daripada pihak berkuasa berkaitan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut merangkap Datuk Bandar Miri Adam Yii berkata, penentuan masa depan keluarga terjejas bergantung kepada penilaian yang sedang dijalankan Pejabat Residen Miri serta Jabatan Tanah dan Survei (JTS).

Menurutnya, jika rumah yang musnah itu dibina di atas tanah tanpa geran sah, pembinaan semula tidak akan dibenarkan.
   
"Kami perlu menunggu pengesahan berhubung status tanah tersebut.

"Jika tiada geran yang sah, pembinaan semula memang sukar untuk dilaksanakan," katanya selepas melawat mangsa di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) Miri di sini, semalam.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan I Datuk Sebastian Ting memberi jaminan bahawa kerajaan dan agensi berkaitan akan terus menyalurkan bantuan sepanjang proses pemulihan termasuk menyediakan tempat tinggal sementara, keperluan asas serta sokongan jangka panjang seperti bantuan perumahan atau pemindahan.

Ting menegaskan bahawa kerajaan negeri komited memastikan tiada keluarga terjejas yang tercicir, selain menumpukan usaha jangka panjang untuk membantu mereka memulihkan kehidupan, mendapatkan kestabilan dan meneruskan kehidupan selepas tragedi itu.

Beliau berkata, siasatan lanjut berhubung punca kebakaran masih dijalankan manakala penilaian kerugian akan menentukan bentuk bantuan selanjutnya.

Turut serta dalam lawatan yang diketuai Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki itu, Residen Miri Galong Luang dan Ketua Polis Daerah Miri ACP Mohd Farhan Lee Abdullah.

Sementara itu, menurut maklumat yang diperoleh daripada JTS Miri, kebanyakan rumah yang dibina di Kampung Wireless tidak mempunyai geran sah dan ini bermakna penduduk yang terjejas tidak dibenarkan membina semula rumah di tapak asal.

"Semua rumah yang musnah dalam kebakaran petang Sabtu lalu dibina di atas tapak tanah yang tidak mempunyai geran sah.

"Oleh itu, pembinaan semula di tapak sama tidak dibenarkan.

"Bagaimanapun, dalam situasi seperti ini, mangsa akan dibantu oleh agensi berkaitan untuk dipindahkan ke lokasi alternatif yang sesuai," kata jabatan itu ketika dihubungi semalam.

Ketua Kampung Rushdi Abdul Rani berkata, penduduk kini menunggu panduan serta bantuan yang akan diselaraskan menerusi Pejabat Residen.

Katanya, walaupun keputusan pemindahan itu sukar diterima namun mereka akur asalkan diberikan peluang adil untuk membina semula kehidupan sambil mengingati insiden serupa pernah berlaku kepada penduduk lain pada 2023.

Rushdi menambah, selain bantuan segera, sokongan jangka panjang amat diperlukan bagi memastikan keluarga terjejas agar dapat memulihkan maruah dan kestabilan hidup mereka.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 18-11-2025 03:02 PM | Show all posts
Yayasan SOP sumbang cermin mata kepada 56 penduduk Rumah Edwin
November 17, 2025, Isnin - 4:21pm

MIRI: Yayasan SOP meneruskan program tanggungjawab sosialnya dengan menyumbang 56 cermin mata berpreskripsi kepada penduduk Rumah Edwin di Sungai Sujan Mapo, Sebauh, sebagai kesinambungan Projek Penjagaan Penglihatan di kawasan tersebut.

Majlis penyerahan itu disempurnakan wakil SOP Foundation, sekali gus mengukuhkan komitmen yayasan tersebut dalam menyokong kesejahteraan masyarakat dan meningkatkan akses terhadap perkhidmatan kesihatan asas.

Wakil Miri Specvision Optometry turut hadir untuk melakukan padanan dan pengesahan akhir bagi memastikan setiap cermin mata yang diterima tepat mengikut preskripsi serta selesa digunakan oleh penerima.

Seramai 56 penduduk telah dikenal pasti memerlukan cermin mata selepas penilaian terperinci susulan program saringan penglihatan dan pemeriksaan kesihatan pada 17 Oktober lalu yang menyaksikan lebih 70 penduduk menerima manfaat pemeriksaan percuma.

"Inisiatif ini menonjolkan dedikasi Yayasan SOP dalam meningkatkan tahap kesihatan penglihatan serta kualiti hidup masyarakat luar bandar," jelas kenyataan medianya.

Projek Penjagaan Penglihatan seterusnya akan diadakan di Rumah Buli, Sungai Semanok, Tatau sebagai sebahagian daripada usaha berterusan membawa perkhidmatan penjagaan penglihatan ke kawasan pedalaman.

"Yayasan SOP kekal komited melaksanakan program berterusan dalam bidang kesihatan, pendidikan dan kebajikan sosial, dengan matlamat memberi impak positif dan berkekalan kepada komuniti setempat," tambah kenyataan itu.
Reply

Use magic Report

Follow Us
 Author| Post time 18-11-2025 03:02 PM | Show all posts
PBPM Sarikei sempurnakan ziarah kebajikan ke atas dua ahli
November 17, 2025, Isnin - 4:25pm

SARIKEI: Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM) Cawangan Sarikei telah mengadakan ziarah kebajikan ke atas dua orang ahli di sini, hari ini.

Setiausaha PBPM Cawangan Sarikei SM (B) George Tigang berkata, dua pesara terbabit ialah Sarjan Mejar Francis Kasis Tungem dan Sarjan Kapok Nyumbang.

“PBPM telah menyantuni dua ahli tersebut di rumah masing-masing.

“Lawatan ini diadakan untuk memberi semangat dan mengeratkan lagi hubungan silaturahim serta menyampaikan sedikit sumbangan daripada Tabung PBPM Cawangan Sarikei.

“Inisiatif ini adalah sebahagian daripada tanggungjawab PBPM Cawangan Sarikei kepada ahli-ahlinya yang memerlukan bantuan,” kata George kepada media di sini, hari ini.

PBPM Cawangan Sarikei menyantuni dua ahlinya yang telah bersara.
PBPM Cawangan Sarikei menyantuni dua ahlinya yang telah bersara.
George yang mewakili PBPM seterusnya menyeru kepada semua anggota polis yang telah bersara supaya mendaftar sebagai ahli PBPM.

“Langkah ini amat penting agar ahli-ahli mendapat manfaat yang disediakan walaupun jumlah tidak seberapa.

“Sekurang-kurangnya ia dapat membantu meringankan beban keluarga yang masih ada.

“Sehubungan itu, kita berharap ahli-ahli PBPM Cawangan Sarikei sentiasa bekerjasama dan memberi sokongan penuh kepada persatuan agar ia dapat bergerak aktif dalam memperjuangkan kebajikan, hak dan keperluan ahli,” jelasnya.

Hadir sama dalam lawatan tersebut ialah Pengerusi Mohd Ibrahim Abdullah, Bendahari Lee Ah Khiun serta ahli jawatankuasa Lim Kim Leong dan Musa Md Arof.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 18-11-2025 03:03 PM | Show all posts
Ambulans dalam perjalanan ambil pesakit kemalangan dengan kereta
November 17, 2025, Isnin - 4:43pm

KUCHING: Sebuah ambulans yang dalam perjalanan mengambil pesakit terlibat kemalangan jalan raya dengan kereta di lampu isyarat berhampiran Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) di Kota Samarahan, hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 12.55 tengah hari, seterusnya mengarahkan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Samarahan ke lokasi.

Katanya, kemalangan itu melibatkan sebuah ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan sebuah kereta jenis sedan.

“Terdapat tiga mangsa di dalam ambulans ketika kejadian, seorang pemandu dan dua lagi petugas KKM yang dalam perjalanan mengambil pesakit.

"Kesemua mangsa daripada ambulans tersebut dan kereta berada dalam keadaan selamat," katanya sambil menambah pasukan keluaran operasi (PKO) bertindak mengeluarkan mangsa dari ambulans dengan membuka pintu bahagian penumpang, kemudian ketiga-tiga mangsa turun menggunakan tangga dengan selamat.

Operasi ditamatkan jam 1.19 petang setelah memastikan keadaan terkawal dan selamat.
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 18-11-2025 03:03 PM | Show all posts
SDEC bekerjasama dengan UC perkasa penyelidikan dan inovasi rentas negara
November 17, 2025, Isnin - 4:50pm

KUCHING: Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC) telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan University of Canterbury (UC), New Zealand bagi memacu peluang kerjasama dalam bidang penyelidikan, inovasi digital dan keusahawanan antara Sarawak dan New Zealand hari ini.

Majlis menandatangani MoU yang berlangsung di Ibu Pejabat Korporat SDEC di Kuching itu menghimpunkan wakil kedua-dua pihak untuk membincangkan potensi kerjasama merangkumi penyelidikan digital, pertukaran teknologi dan inisiatif pemacu inovasi.

“Kerjasama strategik ini selaras dengan aspirasi Sarawak di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 dan Pelan Induk Ekonomi Digital Sarawak 2030 yang memberi tumpuan kepada pembangunan penyelidikan, inovasi serta keusahawanan,” katanya.

Menerusi MoU berkenaan SDEC dan UC bersetuju untuk meneroka peluang kerjasama dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta inovasi bagi memperkasa ekonomi digital, memupuk dan memperluas inovasi digital di Sarawak dan New Zealand serta membangunkan model perkongsian inovatif untuk memperkukuh ekosistem penyelidikan teknologi dan ‘deep tech’.

Eksekutif Dekan UC Business School Profesor Paul Ballantine berkata, kerjasama tersebut membuka lembaran baharu dalam hubungan jangka panjang antara UC dan Malaysia.

“UC percaya hubungan antarabangsa yang kukuh memberi impak besar di peringkat tempatan. Dengan bekerjasama dalam inovasi digital dan pendidikan, kita dapat membina keupayaan serta mewujudkan peluang bermakna kepada pelajar, penyelidik dan komuniti di kedua-dua negara,” tambahnya.

Ketua Pegawai Eksekutif SDEC Dato Sudarnoto Osman pula menyifatkan pemeteraian MoU itu sebagai langkah penting dalam memperkukuh jaringan ekosistem digital yang lebih berdaya saing.

“MoU ini mencerminkan visi bersama untuk menghubungkan ekosistem dan mempercepat pertumbuhan digital melalui penyelidikan dan inovasi.

“Kami berharap dapat bertukar kepakaran, membangunkan bakat dan mencipta penyelesaian berimpak tinggi demi memajukan ekonomi digital Sarawak,” ujarnya.

Delegasi New Zealand terdiri daripada Ballantine, Pengarah Pembangunan Thea Kleiber, Penolong Pengarah Pembangunan Charu Uppal serta Pengarah Urusan WTS Konsultant Sdn Bhd merangkap UC Alumni Lead Sarawak Dato Alex Ting.

Kerjasama ini menjadi satu lagi langkah signifikan dalam usaha menjadikan Sarawak sebagai hab serantau bagi inovasi digital dan pembangunan bakat, sekali gus mengukuhkan hubungan global yang menyokong matlamat negeri untuk muncul sebagai ekonomi digital maju menjelang 2030.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 18-11-2025 03:04 PM | Show all posts
Edited by Vellfire at 18-11-2025 03:05 PM

91 orang ditahan, dadah bernilai RM6,164.70 dirampas sepanjang Ops Tapis Khas Narkotik
November 17, 2025, Isnin - 5:07pm

KUCHING: Polis menahan 91 individu serta merampas beberapa jenis dadah dengan anggaran berat keseluruhan 60.62 gram bernilai kira-kira RM6,164.70 sepanjang Ops Tapis Khas Narkotik yang dijalankan Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Samarahan bermula 10 Oktober 2025 hingga 15 November 2025.

Ketua Polis Daerah Kota Samarahan Superintenden Damataries Lutin dalam satu kenyataan berkata, 91 individu berkenaan ditahan atas pelbagai kesalahan dadah.

"Seorang telah ditahan di bawah Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB)1952, enam di bawa Seksyen 39A(1) akta sama, 18 orang lagi ditahan di bawah Seksyen 12(12) ( ADB 1952), seorang ditangkap di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun Berbahaya dan 65 orang ditahan di bawah Seksyen 15(1) (a) ADB 1952.

"Beberapa jenis dadah berjaya dirampas dalam operasi tersebut iaitu 55.77 gram dadah jenis Methamphetamine, 2.85 Erimin 5 dan 2 gram pil jenis Nospan. Nilai keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM6,164.70," jelasnya.

Menurut Damataries kejayaan tersebut adalah hasil risikan berterusan serta kerjasama orang awam dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam pengedaran dadah.

Katanya memiliki, mengedar atau melindungi aktiviti-aktiviti dadah merupakan kesalahan serius di sisi undang-undang.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 18-11-2025 03:08 PM | Show all posts
Lima penganggur, seorang pekerja ladang ditahan
November 17, 2025, Isnin - 5:28pm

SARATOK: Lima penganggur dan seorang pekerja ladang kelapa sawit telah ditahan polis dalam satu serbuan di sebuah rumah di Roban, dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Saratok DSP Mathew Manggie berkata, seorang daripada lima yang ditahan itu adalah wanita.

“Hasil pemeriksaan dalam serbuan tersebut, pihak polis telah menemui satu beg yang mengandungi satu peket plastik lutsinar bersaiz besar dan satu peket plastik lutsinar bersaiz kecil mengandungi ketulan-ketulan kristal disyaki dadah syabu.

“Rampasan tersebut dianggarkan seberat 24.86 gram dengan nilai sekitar RM2,734.60.

“Keenam-enam suspek tersebut telah ditahan dan dibawa ke Balai Polis Saratok untuk proses siasatan,” kata Mathew kepada media hari ini.

Kesemua suspek masing-masing dua berusia 40 tahun manakala yang lain berumur 45, 41, 26 dan 15 tahun.

Menurut Mathew, hasil siasatan pihak polis mendapati suspek yang berusia 45 tahun mempunyai lapan rekod lampau.

MATHEW
MATHEW
“Sementara itu, suspek yang berusia 41 tahun mempunyai tiga rekod lampau manakala suspek yang berusia 26 tahun mempunyai dua rekod lampau.

“Tiga yang lain pula tidak mempunyai rekod lampau.

“Hasil ujian air kencing telah mendapati lelaki yang berusia 45, 40 dan 26 tahun serta wanita, 40, positif dadah manakala dua lagi yang berusia 41 dan 15 tahun negatif,” jelas Mathew.

Melalui proses siasatan itu juga kata Mathew, lelaki yang berusia 45 tahun telah mengaku kali terakhir terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah di kawasan Roban, Saratok pada Mei lalu.

Katanya, suspek juga memberitahu bahawa dia mendapatkan bekalan dadah daripada seorang lelaki tempatan dari Kabong.

“Suspek juga mengaku telah terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah sejak 2023,” kata Mathew.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 18-11-2025 03:08 PM | Show all posts
Makanan, persembahan, jualan ramuan kejayaan acara
November 17, 2025, Isnin - 7:36pm

KOTA SAMARAHAN: Makanan, persembahan dan jualan merupakan ramuan utama dalam memastikan kejayaan sesuatu acara di Sarawak, kata Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Beliau berkata, ketiga-tiga elemen ini mampu menarik kehadiran ramai pengunjung, mewujudkan suasana meriah serta menyediakan peluang ekonomi kepada peniaga tempatan sekali gus menyumbang kepada kejayaan sesebuah penganjuran festival.

“Seperti gula yang menarik semut, apabila ada makanan, hiburan dan aktiviti jualan, orang ramai pasti akan datang.

“Semakin ramai pengunjung, semakin rancak jualan dan semakin meriah program tersebut,” katanya ketika bercakap kepada pemberita pada sidang media di Perpustakaan Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) di sini hari ini.

Sehubungan itu, beliau berpendapat bahawa Festival Makanan dan Kebudayaan Samarahan 2025 (SFCF2025) yang akan berlangsung dari 21 hingga 29 November di Tapak Pasar Tamu MPKS, Desa Ilmu mempunyai formula tepat untuk menarik penyertaan orang ramai kerana Samarahan sendiri mempunyai keunikan yang tersendiri.

Menurutnya, keunikan Samarahan terletak pada peranannya sebagai hab pendidikan dan kawasan perumahan yang pesat membangun selain kepelbagaian etnik serta budaya yang jelas tergambar dalam kepelbagaian makanan dan seni masyarakatnya.

“Dengan populasi pelajar dan keluarga yang besar di sini, program seperti ini membawa keceriaan dan memberikan pilihan makanan di luar rumah.

"Samarahan didiami pelbagai kaum termasuk Melayu, Iban, Bidayuh, Bugis dan Jawa serta masyarakat Cina,” katanya.

Beliau menambah, kepelbagaian ini memberi kelebihan kepada Samarahan untuk memperkenalkan hidangan serta warisan budaya yang mungkin jarang ditemui di Kuching atau kawasan lain.

Festival yang mula diperkenalkan pada 2017 di bawah Pejabat Residen ketika itu dan diteruskan MPKS sejak 2019 ini, bertujuan mempromosikan Samarahan sebagai destinasi pelancongan sekali gus mengeratkan perpaduan melalui pertukaran budaya.

Abdul Karim berkata, penganjuran kali ini akan menampilkan 72 lot jualan berkanopi merangkumi 46 lot makanan dan minuman, 10 lot makanan kering dan kraf tangan, enam lot pameran serta 10 lot trak makanan dengan keutamaan kepada usahawan dari Samarahan.

“Persembahan kebudayaan setiap malam akan menampilkan bermukun dan kompang Melayu, gendang pampat Iban, persembahan Bugis serta seni tradisional Cina.

"Persembahan artis seperti Winnie Albert, Ricky Andrewson, Baby Shima dan ramai lagi juga akan memeriahkan festival ini.

“Kumpulan kebudayaan dari Semenanjung Malaysia, Indonesia dan Thailand melalui penglibatan pelajar universiti dengan kerjasama Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) juga akan turut serta bagi menambah keserian festival,” jelasnya.

Antara aktiviti sampingan lain termasuk Samarahan Idol, Fun Run, pertandingan memasak, pertandingan gubahan nanas, cabaran aerobaton, Pertandingan Battle of the Bands dan sesi zumba tiga jam tanpa henti.

Selain itu, Abdul Karim berkata MPKS merancang memasukkan festival ini dalam kalendar pelancongannya bermula tahun depan sempena ulang tahun ke-10 majlis tersebut dengan harapan kementerian dapat memberi peruntukan lebih besar bagi penganjuran yang lebih meriah.

“Kita mahu festival ini berkembang menjadi acara signatur bagi Samarahan. Jika Majlis Bandaraya Kuching Selatan boleh menganjurkan festival selama sebulan pada Ogos, tidak mustahil Samarahan juga boleh menuju ke arah yang sama pada masa depan,” katanya.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 18-11-2025 03:10 PM | Show all posts
Medan selera My Selera dibuka di Lapangan Terbang Bintulu
November 17, 2025, Isnin - 8:00pm

BINTULU: Premis makan My Selera kini dibuka di Lapangan Terbang Bintulu (LTB) sekali gus menjadi satu lagi medan selera bagi setiap pengunjung yang datang di lapangan terbang berkenaan, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Murum Kennedy Chukpai Ugon.

Jelasnya, premis makan yang baharu ini bukan sahaja menjadi satu lambang kemajuan, malah perpaduan dan semangat keusahawanan yang membara dalam kalangan semua pihak.

"Sebagai sebuah premis makan yang beroperasi di lapangan terbang, pengusaha premis harus sentiasa menekankan aspek kebersihan serta keselamatan dalam penyediaan makanan," jelasnya semasa berucap merasmikan My Selera di sini, hari ini.

Premis makan ini tidak hanya sekadar menyediakan makanan, tetapi juga ruang untuk semua pihak beramah mesra, bertukar idea dan merapatkan lagi tali persaudaraan dalam komuniti.

Kennedy dalam ucapannya turut menzahirkan rasa penghargaan serta terima kasih kepada pemilik premis iaitu Dannis Abit dan isterinya yang mana kedua-duanya berasal dari Murum, Belaga atas keberanian dan komitmen mereka untuk menceburkan diri dalam industri makanan.

"Keberanian untuk memulakan sesuatu yang baharu tidak mudah, tetapi mereka membuktikan bahawa visi, kerja keras dan ketelitian dalam perkhidmatan boleh membawa pulangan yang bermakna kepada komuniti," ujarnya.

Oleh yang demikian katanya, adalah diharapkan bahawa kejayaan pembukaan premis itu bakal menjadi inspirasi kepada semua usahawan muda lain di sini agar berani mencuba sesuatu yang baharu seperti industri penyediaan makanan.

Pembangunan ekonomi setempat ujarnya, memerlukan langkah-langkah realistik dan komited yang mana premis seperti My Selera adalah contoh bagaimana seseorang individu boleh mengangkat nama daerah masing-masing melalui pelbagai usaha perniagaan yang berdaya maju, menyediakan peluang pekerjaan, serta memberi kemudahan kepada pelancong dan pengunjung tempatan.

"Dengan adanya premis ini, saya berharap dapat menarik lebih banyak pelancong dan pengunjung untuk berhenti dan menikmati hidangan yang autentik, sambil menjalin hubungan yang lebih erat antara peniaga, pelanggan dan pihak berkuasa tempatan," tambahnya.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 18-11-2025 03:12 PM | Show all posts
Awang Tengah hadiri Mesyuarat Majlis Tanah Negara di Putrajaya
November 17, 2025, Isnin - 8:05pm

KUCHING: Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan menghadiri Mesyuarat Majlis Tanah Negara (MTN) Ke-82 hari ini di Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya.

Menurut kenyataan akhbar dikeluarkan pejabatnya, kehadiran Awang Tengah yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Kedua ke mesyuarat tersebut bagi mewakili Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Hadir sama Setiausaha Tetap Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Datu Abdullah  Julaihi dan Pengarah Jabatan Tanah dan Survei Sarawak Datu Awang Zamhari Awang Mahmood.

Mesyuarat MTN kali ini telah membentangkan sebanyak lima kertas pertimbangan dan tiga kertas makluman, antara lainnya berkaitan Pindaan Akta Pengambilan Tanah (1960) dan Pemerkasaan Tatakelola Pengambilan Tanah, Status Keluasan Kawasan Berhutan Nasional 2022 dan Status Komitmen Malaysia Untuk Mengekalkan Liputan Kawasan Berhutan serta Dasar Landskap Negara.

Mesyuarat ini juga dihadiri oleh Menteri Besar dan Ketua Menteri yang mewakili negeri masing-masing antaranya Menteri Besar Perlis Mohd Shukri  Ramli, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Utama Abdul Rauf Yusoh dan Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Utama Aminuddin Harun.

Antara Menteri-Menteri Kabinet Persekutuan yang turut menghadiri mesyuarat tersebut adalah Menteri Kerja Raya Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Ekonomi, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan serta Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 18-11-2025 03:12 PM | Show all posts
Pesta Adet Tulat Apu memartabatkan adat, budaya Penan
November 17, 2025, Isnin - 8:42pm

BELAGA: Pesta Adet Tulat Apu merupakan antara platform terbaik bagi memartabatkan adat serta kebudayaan kaum Penan di bahagian ini, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Murum Kennedy Chukpai Ugon.

Jelasnya, pesta tersebut merupakan salah satu pesta kebudayaan suku Penan di Murum yang merupakan simbolik berbahagi berkat hasil yang diusahakan bersama daripada pokok rumbia atau 'nangah' sebagai makanan tradisi suku kaum Penan.

"Acara ini amat unik kerana ia menjadi salah satu cara bagi komuniti setempat berkumpul melalui penganjuran pelbagai aktiviti kesenian termasuk mengetengahkan budaya suku kaum Penan melalui aktiviti sukan yang merapatkan hubungan silaturahim dan perpaduan komuniti," ujarnya.

Kennedy berkata demikian semasa berucap merasmikan Majlis Penangguhan Pesta Adet Tulat Apu 2025 di Long Tangau, Metalun di Murum semalam.

Jelasnya, aktiviti sebegini wajar diteruskan serta dilestarikan sebagai warisan adat, seni dan budaya Penan Murum, sekali gus menjadi identiti yang bermakna yang diwarisi kepada generasi akan datang.

Dalam ucapannya, Kennedy turut menzahirkan rasa penghargaan serta terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam penganjuran pesta ini khususnya Komuniti Pembangunan Penan Murum (MPDC), Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Uma Penan Long Tangau serta Sarawak Energy Berhad (SEB) yang telah banyak menyumbang dalam menjayakan program yang amat bermakna ini.

Hadir sama ialah Pengerusi MPDC Labang Paneh, wakil SEB Eli Havit dan Guru Besar SK Mentalun George Silek.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 18-11-2025 03:15 PM | Show all posts
PBB Telang Usan serah bantuan Dennis, Uggah, NGO kepada mangsa kebakaran
November 17, 2025, Isnin - 8:48pm

MIRI: Pejabat PBB Cawangan Telang Usan yang mewakili ADUN Telang Usan Datuk Dennis Ngau hari ini menyampaikan bantuan daripada beberapa organisasi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), untuk mangsa kebakaran Long Loyang.

Setiausaha Politik Premier Sarawak Dominic Nyurang yang mengetuai rombongan itu memberitahu, bantuan tersebut termasuk bantuan kewangan daripada Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berjumlah RM1,000 untuk setiap bilik yang terjejas dalam kebakaran.

“Bantuan ini dihulurkan sebagai tanda keprihatinan kita kepada mangsa kebakaran.

"Semoga sedikit sebanyak dapat meringankan beban dan memberi kekuatan kepada mereka untuk bangkit kembali. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.

“Kami merakamkan simpati yang mendalam dan mendoakan agar semua mangsa terus diberikan ketabahan serta perlindungan Tuhan dalam menghadapi dugaan ini,” katanya.

Dominic memberitahu, selain daripada Uggah dan Dennis serta Pejabat PBB Telang Usan dan beberapa NGO, bantuan yang disampaikan turut meliputi sumbangan daripada WSL Xiang Xiang Sdn Bhd dan Pembinaan SSE Sdn Bhd.

Hadir sama ialah Naib Ketua Pemuda PBB Sarawak Nathan, Ketua Kaum Pius Balan, bekas kaunselor Jarau Braim dan ahli-ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Long Loyang, yang menerima bantuan bagi pihak penduduk kampung untuk diagihkan.
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 18-11-2025 03:16 PM | Show all posts
Ibu Timbalan Premier Dr Sim meninggal dunia
November 18, 2025, Selasa - 8:14am

KUCHING: Puan Sri Datin Amar Lim Su Kheng (gambar), ibu kepada Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, meninggal dunia petang Isnin pada usia 83 tahun.

Dr Sim berkongsi berita sedih itu di halaman Facebook beliau malam Isnin, memaklumkan bahawa ibunya meninggal dunia di rumah keluarga dan dikelilingi oleh orang tersayang.

“Saya kehilangan seorang ibu yang telah memberikan saya kasih sayang tanpa syarat sepanjang hidup saya.

“Berjimat untuk dirinya sendiri (selalu mengingatkan kami bahawa beliau berjalan kaki tanpa kasut ke sekolah semasa Perang Dunia Kedua) namun pemurah serta penuh kasih sayang keibuan terhadap saudara-mara, rakan-rakan, komuniti dan badan amal NGO yang dekat di hatinya,” tulisnya.

Lim, isteri kepada mendiang Tan Sri Datuk Amar Sim Kheng Hong, memegang jawatan naib presiden pertama Badan Amal Tenaga Isteri-Isteri Sarawak (SABATI) dan berkhidmat dalam pelbagai jawatan dalam Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) serta pertubuhan bukan kerajaan yang lain.

“(Beliau) seorang nenek yang memberikan kasih sayang tanpa syarat kepada cucu-cucunya, bukan sahaja meluangkan banyak masa untuk membesarkan dan bersekolah Enson dan Simson tetapi juga menanamkan nilai-nilai kekeluargaan dan kecintaan terhadap Sarawak dalam diri mereka.

“Ibu, anda akan sangat dirindui oleh kami semua,” titip Dr Sim.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 18-11-2025 03:17 PM | Show all posts
Abang Johari galak kontraktor pilih kayu sintetik untuk pembinaan lestari
November 18, 2025, Selasa - 9:08am

KUCHING: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menggesa kontraktor pembinaan di negeri ini meneroka penggunaan kayu sintetik sebagai sebahagian daripada peralihan Sarawak ke arah ekonomi hijau serta strategi jangka panjang pengurusan hutan secara mampan.

Beliau berkata bahan alternatif ini berpotensi memenuhi keperluan industri pembinaan sambil menyokong komitmen Sarawak terhadap kelestarian alam sekitar.

“Jika anda memerlukan kayu untuk membina rumah, terdapat juga alternatif iaitu kayu sintetik bercampur fiber. Ini boleh digunakan sebagai pilihan dalam pembinaan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Persidangan Antarabangsa Penyelidikan dan Inovasi Ladang Hutan Industri 2025 di sini malam tadi.

Menurutnya, walaupun kayu sintetik dihasilkan daripada gabungan fiber kayu dan produk kimia lain, yang masih menghasilkan sedikit pelepasan karbon, ia tetap merupakan pilihan yang mempunyai intensiti karbon lebih rendah berbanding bahan tradisional.

“Memang ada sedikit pelepasan karbon, sama seperti sektor pembinaan industri lain dan pengangkutan awam, namun tahap pengeluaran karbon boleh dikurangkan. Tambahan pula, karbon masih boleh diserap melalui proses semula jadi dan kaedah saintifik, termasuk menggunakan Kecerdasan Buatan (AI) serta teknologi lain,” katanya.

Abang Johari menekankan bahawa strategi perhutanan Sarawak berfokus kepada pemuliharaan hutan hujan semula jadi sambil memperkukuh program perladangan bagi memastikan bekalan bahan mentah yang mampan.

“Sarawak ketika ini mengekalkan 62 peratus keluasan tanahnya atau kira-kira 7.65 juta hektar, sebagai kawasan berhutan. Daripada jumlah itu, 3.95 juta hektar digazetkan sebagai hutan simpan kekal, manakala lebih 874,000 hektar tanah dan 1.2 juta hektar kawasan marin digazetkan sebagai Kawasan Dilindungi Sepenuhnya,” katanya.

Beliau berkata bergantung sepenuhnya kepada hutan semula jadi tidak mampu memenuhi keperluan tanpa risiko kemerosotan yang serius, justeru menekankan kepentingan ladang hutan yang diurus dengan baik dalam mengurangkan tekanan ke atas hutan semula jadi serta menyumbang kepada inovasi, ketahanan iklim, dan pertumbuhan ekonomi.

“Ya, kita mempunyai hutan semula jadi, tetapi kita perlu memperkayakan hutan dengan menanam lebih banyak pokok. Di sinilah peranan sains. Kita mesti melabur dalam penyelidikan untuk menanam lebih banyak pokok dalam tempoh singkat serta membina kawasan simpanan untuk menyerap karbon, sambil pada masa sama menghasilkan lebih banyak oksigen,” katanya.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 18-11-2025 03:17 PM | Show all posts
Warga asing dicekup bersama dadah di Lawas
November 18, 2025, Selasa - 10:02am

LAWAS: Seorang lelaki warga asing dicekup bersama dadah disyaki jenis syabu di dalam kereta semasa operasi di tepi Jalan Sundar, di sini Sabtu lepas.

Ketua Polis Daerah Lawas DSP Liong Tindan berkata suspek, 42, ditahan kerana disyaki terlibat di dalam aktiviti penyalahgunaan dadah dalam operasi jam 3.40 petang.

“Hasil pemeriksaan tubuh badan suspek, kita menemui satu keratan tiub straw mengandungi kristal disyaki dadah jenis syabu anggaran kasar 0.21 gram.

“Hasil ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine, methamphetamine,” katanya dalam satu kenyataan.

Kata Liong semakan kesalahan lampau mendapati suspek tiada kesalahan lampau.

Kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 serta siasatan di bawah Akta Imigresen 1953/63.

Dalam operasi berasingan, dua lelaki tempatan berusia 32 dan 44 tahun ditahan di tepi Jalan Sundar dan Trusan, di sini kerana disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah.

Jelasnya, hasil ujian air kencing terhadap kedua-dua suspek mendapati mereka  positif dadah jenis amphetamine, methamphetamine.

Hasil semakan turut mendapati kedua-dua mereka mempunyai rekod lampau berkaitan dadah.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 18-11-2025 03:18 PM | Show all posts
Ratusan hadir raikan kecemerlangan pelajar SMK Lundu
November 18, 2025, Selasa - 10:13am

LUNDU: Majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar Aliran Perdana Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lundu 2025 berlangsung meriah di Dewan Sri Pakma, baru-baru ini apabila ratusan pelajar, ibu bapa dan warga pendidik hadir bagi meraikan kejayaan pelajar sepanjang tahun.

Majlis yang bermula pada jam 8.30 pagi hingga 12 tengah hari itu turut diserikan dengan kehadiran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar Billy Sujang yang berbesar hati merasmikan program berprestij tersebut.

Dalam ucapan perasmiannya, Billy menegaskan bahawa pendidikan merupakan asas penting dalam pembentukan modal insan berdaya saing, selain menjadi kunci kepada masa depan yang lebih cerah.

Semua penerima anugerah khas Majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar Aliran Pendana 2025 SMK Lundu bersama ibu bapa masing-masing.
Semua penerima anugerah khas Majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar Aliran Pendana 2025 SMK Lundu bersama ibu bapa masing-masing.
Beliau turut menyeru para pelajar agar terus gigih berusaha, memanfaatkan peluang pembelajaran serta mengekalkan kecemerlangan dalam pelbagai bidang.

Turut memeriahkan majlis ialah kehadiran ibu bapa, guru besar dari sekolah-sekolah tadahan, ketua masyarakat dan ketua kaum.

Penganjuran majlis itu bertujuan mengiktiraf kecemerlangan pelajar dalam bidang akademik, ko-akademik dan kokurikulum, di samping menghargai komitmen barisan pemimpin murid seperti ketua kelas, pengawas, Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) dan Kumpulan Suara Murid (SVG).

Sesi foto bersama semua penerima dan ibu bapa yang hadir dalam Majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar Aliran Pendant SMK Lundu 2025.
Sesi foto bersama semua penerima dan ibu bapa yang hadir dalam Majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar Aliran Pendant SMK Lundu 2025.
Antara penerima utama yang diraikan termasuk Javien Vince Jeferiyo dan Kelly Vun Khai Lee, masing-masing penerima Anugerah Kokurikulum Terbaik kategori lelaki dan perempuan.

Julius Mikhael Jackson serta Izzabella Iris Dolin pula muncul penerima Anugerah Ko-Akademik Terbaik.

Majlis turut menyaksikan Javien Vince Jeferiyo menerima Anugerah Khas Kokurikulum, manakala Ivyonnie Grace Namhin diumumkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Sahsiah Terpuji.

Persembahan selamat datang oleh Kumpulan Anak Dalam Gading SMK Lundu.
Persembahan selamat datang oleh Kumpulan Anak Dalam Gading SMK Lundu.
Goh Khai Juin pula dinobatkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Akademik serta Anugerah Khas Pengetua atas kecemerlangan beliau sepanjang tahun.

Majlis ditutup dengan penyampaian sijil kepada semua penerima anugerah sebelum diikuti sesi fotografi dan jamuan ringkas.

Tiga persembahan tarian oleh kumpulan anak dalam gading SMK Lundu turut menyerikan suasana.
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT


Forum Hot Topic
SATURO GOJO TAVEL TIPS
saturo1gojoSATURO GOJO TAVEL TIPS
Views : 303 Replies : 0
akku
kukukud56akku
Views : 303 Replies : 0
Quiz : Personality Test [Who is the biggest fool?]
gekkouQuiz : Personality Test [Who is the bigg
Views : 5741 Replies : 28
Orang Inggeris Takut Hilang Di Dunia. Takkan Inggeris Hilang Di Dunia.
B40tastePoshOrang Inggeris Takut Hilang Di Dunia. Ta
Views : 2297 Replies : 19
Brother Kat Threads Ni Heboh Pasal Bau "Bunga Orked" Rakan Ofis
tumpanglalu74Brother Kat Threads Ni Heboh Pasal Bau
Views : 2559 Replies : 69
"Ku Sangkakan Dua, Rupanya Tiga"  - Isteri Ketiga Bekas Panglima Darat Muncul Dengan Bisul Kronik
Mahathirina"Ku Sangkakan Dua, Rupanya Tiga" - Iste
Views : 59283 Replies : 35
travel to chicago
kukukud56travel to chicago
Views : 5658 Replies : 0
Langsung tak ada job, Daí Syed spend time dengan anak bini je-hanya terima watak ustaz je
RalineLangsung tak ada job, Daí Syed spend ti
Views : 25303 Replies : 101
TRAVEL WITH GOJO
saturo1gojoTRAVEL WITH GOJO
Views : 6264 Replies : 0
SATURO GOJO TRAVEL
saturo1gojoSATURO GOJO TRAVEL
Views : 6366 Replies : 0

 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

24-1-2026 04:58 AM GMT+8 , Processed in 0.403218 second(s), 31 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list