|
|
[Borneo]
Rumah Borak Borneo~Boleh bah, kalau kau
[Copy link]
|
|
|
Ketua Pemuda PRS Tamin sangkal dakwaan kawasan Ulu Oya diabaikan
November 18, 2025, Selasa - 10:44am
SELANGAU: Ketua Pemuda Parti Rakyat Sarawak (PRS) Bahagian Tamin Nyireng Saleh (gambar) tampil menyangkal dakwaan seorang Tuai Rumah dari kawasan Ulu Oya yang mendakwa kawasan tersebut tidak menerima perhatian pembangunan daripada kerajaan.
Dakwaan dalam sebuah video, yang dimuat naik oleh seorang pencipta kandungan tempatan di TikTok sebelum tular di Facebook dan WhatsApp, memaparkan keluhan mengenai keadaan jalan, ketiadaan liputan rangkaian komunikasi serta pelbagai kesukaran harian yang dialami oleh penduduk rumah panjang tersebut.
Menurut Nyireng, tuduhan bahawa kawasan tersebut diabaikan adalah tidak tepat dan tidak mencerminkan keseluruhan rekod pembangunan yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri dan persekutuan melalui Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin Ir. Christopher Gira Sambang serta Ahli Parlimen Selangau Edwin Banta.
Beliau berkata beberapa projek utama telah dilaksanakan dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, termasuk peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) bernilai RM500,000 bagi menaik taraf jalan masuk ke Rumah Seliau Biju.
Selain itu, katanya, pembinaan Tadika SeDidik Rumah Seliau yang menelan belanja RM60,000 telah disiapkan pada 2023 dan mula beroperasi sepenuhnya pada 2024, sekali gus menyediakan akses pendidikan awal kepada kanak-kanak di kawasan pedalaman.
Nyireng turut menjelaskan bahawa Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) rumah panjang tersebut menerima peruntukan Projek Mesra Rakyat (MRP) Parlimen Selangau untuk membangunkan sistem bekalan air graviti serta pemasangan paip HDPE bagi meningkatkan kestabilan bekalan air bersih kepada penduduk.
Mengulas mengenai isu liputan Internet seperti dibangkitkan dalam video tular itu, beliau berkata rakaman video boleh dibuat secara luar talian dan dimuat naik kemudian di kawasan lain yang mempunyai capaian Internet.
Justeru, katanya, perkara itu tidak wajar dijadikan ukuran tahap pembangunan sebenar di lokasi terbabit.
Beliau menambah bahawa dakwaan kononnya kerajaan tidak mengambil peduli kebajikan penduduk rumah panjang adalah tidak berasas memandangkan pelbagai program dan projek telah dilaksanakan.
Ia termasuk kerja baik pulih rumah panjang melalui Projek Penambahbaikan Rumah Miskin Sarawak (PPRMS) serta projek pertanian Agensi Pembangunan Wilayah Tengah Rajang (MiRRDA) yang kini berada pada fasa akhir.
Tambahnya lagi, salah satu perancangan besar kerajaan negeri iaitu pembinaan Jalan Ulu Oya di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) dengan anggaran kos RM204 juta kini berada dalam fasa reka bentuk dan telah menjadi agenda utama Gira sejak beliau menjadi ADUN pada 2016.
Katanya, pembangunan bukan dilaksanakan untuk paparan kamera di media sosial sebaliknya berorientasikan kepentingan jangka panjang demi kesejahteraan rakyat di kawasan tersebut.
“Pandangan masyarakat kami hargai, tetapi biarlah ia berlandaskan fakta agar tidak menimbulkan persepsi yang salah terhadap usaha kerajaan negeri dan wakil rakyat,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook rasminya hari ini.
Beliau turut menegaskan bahawa kedua-dua wakil rakyat di kawasan Selangau sentiasa peka terhadap keperluan penduduk Ulu Oya dan komited memastikan pembangunan terus disalurkan secara berterusan. |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Lelaki cedera nahas kereta, bas di Kuching
November 18, 2025, Selasa - 11:19am
KUCHING: Seorang lelaki cedera dalam kemalangan melibatkan sebuah kereta dan sebuah bas di Jalan Tabuan Jaya di sini, awal pagi tadi.
Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.43 pagi.
Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tabuan Jaya dikejarkan ke lokasi kejadian untuk operasi menyelamat.
“Setibanya di lokasi kejadian, pasukan operasi mendapati seorang mangsa masih berada di dalam kenderaan, namun tidak tersepit,” katanya menerusi satu kenyataan.
Tambahnya, pihak bomba menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan mangsa sebelum menyerahkannya kepada patugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan lanjut.
“Setelah memastikan kawasan kejadian selamat serta selesai kerja-kerja pembersihan, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 7.19 pagi,” tambahnya.
Agensi lain yang terlibat ialah KKM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM). |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Tentera patahkan cubaan seludup rokok dan bawang, empat warga Indonesia ditahan
November 18, 2025, Selasa - 11:27am
BAU: Tentera Darat Malaysia (TDM) melalui Batalion Ke-11 Rejimen Askar Melayu Diraja (11 RAMD) berjaya menggagalkan cubaan menyeludup rokok dan bawang bernilai keseluruhan kira-kira RM832,500 di sempadan Serikin, Bau pada Isnin.
Menurut Sel Operasi Media Markas Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat (MK PMTTD), pasukan 11 RAMD yang bertugas di bawah Operasi Keris Parang mengesan pergerakan mencurigakan beberapa lori yang menggunakan laluan tidak diwartakan dari arah Indonesia menuju ke kawasan kampung berhampiran.
“Hasil kecekapan anggota kami di lapangan, kesemua kenderaan berjaya dipintas dan empat lelaki yang dipercayai terlibat dalam aktiviti penyeludupan berjaya ditahan tanpa sebarang ancaman keselamatan,” katanya menerusi satu kenyataan.
Menurut kenyataan itu lagi, mereka yang ditahan terdiri daripada seorang lelaki warga tempatan dan tiga lelaki warga Indonesia.
Pemeriksaan lanjut membawa kepada rampasan pelbagai barangan seludup bernilai tinggi.
“Kami berjaya merampas 21,600 karton rokok, 900 guni bawang serta empat lori yang digunakan sindiket.
“Rampasan seperti ini membuktikan bahawa TDM sentiasa bersedia mematahkan cubaan penyeludupan di sempadan,” katanya.
Nilai rampasan meliputi rokok dianggarkan bernilai RM648,000, bawang (RM31,500) dan empat buah lori (RM153,000).
Kesemua suspek dan barangan rampasan diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Ibu Pejabat Polis Daerah Bau untuk tindakan lanjut.
“Kejayaan ini adalah bukti kesungguhan anggota kami yang terus meningkatkan kesiapsiagaan di kawasan operasi bagi menutup ruang eksploitasi sindiket penyeludupan,” ujarnya. |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
SWSB perlu tangani segera masalah air keruh
November 18, 2025, Selasa - 2:39pm
Masalah ini membelenggu penduduk beberapa kawasan di bandar raya Kuching sejak beberapa bulan lalu
Wong menunjukkan sampel air yang keruh diambil dari kawasan yang dilaporkan baru-baru ini.
Wong menunjukkan sampel air yang keruh diambil dari kawasan yang dilaporkan, baru-baru ini.
KUCHING: Sarawak Water Sdn Bhd (SWSB) digesa mengambil tindakan segera dan lebih proaktif dalam menangani masalah bekalan air keruh yang terus membelenggu penduduk di beberapa kawasan di bandar raya ini sejak beberapa bulan lalu.
Demikian kata Bendahari Pemuda Sosialis Parti Tindakan Demokratik (DAPSY) Sarawak Wong King Yii sambil menambah, masalah paling ketara dilaporkan berlaku di Green Road, Tabuan Jaya dan Jalan Song, di mana penduduk mendakwa air paip mereka sering bertukar keruh secara tiba-tiba sebelum kembali jernih buat sementara waktu.
"Sejak isu ini mula timbul pada awal Jun, penduduk telah mengemukakan banyak aduan, termasuk melalui platform Talikhidmat kami.
"Namun sehingga kini tiada penyelesaian konkrit diberikan. Lebih membimbangkan, tiada maklumat rasmi atau penjelasan jelas dikeluarkan oleh SWSB mengenai punca sebenar masalah atau tindakan pembaikan yang sedang atau telah dijalankan," katanya dalam satu kenyataan.
“Isu ini tidak boleh dipandang ringan kerana ia bukan lagi masalah terpencil.
“Ia menjejaskan kesihatan, kebersihan dan kualiti hidup penduduk. Apa yang lebih mengecewakan sikap berdiam diri SWSB tanpa sebarang maklum balas yang meyakinkan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya lagi, keadaan itu turut menyebabkan ramai penduduk terpaksa memasang penapis air tambahan di rumah masing-masing bagi memastikan bekalan air selamat digunakan, satu kos tambahan yang tidak sepatutnya ditanggung di tengah-tengah kenaikan kos sara hidup.
Justeru katanya, SWSB perlu segera menjelaskan hasil siasatan terhadap masalah air keruh yang berlarutan selain mendedahkan punca sebenar gangguan kualiti air di kawasan terjejas serta mengemukakan pelan tindakan segera serta perancangan jangka panjang.
Beliau turut meminta pihak SWSB memberikan garis masa yang jelas untuk menyelesaikan perkara terbabit.
Beliau menambah, para penduduk tidak meminta layanan istimewa, sebaliknya hanya mahu menikmati bekalan air bersih dan selamat, keperluan asas yang sepatutnya dijamin oleh pihak berkuasa.
“Mereka berharap SWSB tidak lagi berdiam diri sebaliknya tampil memberi penjelasan serta tindakan yang meyakinkan demi kepentingan orang ramai,” tambah Wong. |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
50 peserta hadiri Simposium Antarabangsa Inovasi Terkini Untuk Pembangunan Mampan di UTS
November 18, 2025, Selasa - 2:43pm
SIBU: Kira-kira 50 peserta menghadiri Simposium Antarabangsa Inovasi Terkini Untuk Pembangunan Mampan (RISD25) di Universiti Teknologi Sarawak (UTS) hari ini.
Naib Canselor UTS Profesor Emeritus Datuk Dr Khairuddin Abdul Hamid berkata, penganjuran simposium itu menjadi platform penting menghimpunkan penyelidik, pengamal industri, pembuat dasar serta komuniti untuk berkongsi idea dalam memacu agenda pembangunan mampan berasaskan inovasi.
“Sepanjang dua hari simposium yang bertemakan ‘Memperkasa Penyelesaian Mampan Melalui Inovasi’ ini, kita mendengar, berinteraksi dan bertukar pandangan antara satu sama lain,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian acara berkenaan.
Menurut beliau, RISD25 bukan sekadar perhimpunan akademik, sebaliknya berfungsi sebagai wadah perhubungan antara pelbagai pihak, ahli akademik, industri dan masyarakat, antara idea dan tindakan serta antara penyelidikan masa kini dengan realiti masa depan.
Khairuddin berkata, para peserta turut berpeluang mengikuti pembentangan oleh pakar tempatan dan antarabangsa yang memberi tumpuan kepada enam bidang utama.
“Ini merangkumi Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), kelestarian alam sekitar, urbanisasi dan infrastruktur mampan, teknologi maju untuk kelestarian, pendidikan dan inovasi sosial serta kesihatan dan kesejahteraan,” katanya.
Terdahulu, pengerusi penganjur RISD25 Profesor Dr Ling Jen Hua dalam ucapannya berkata, RISD25 menyediakan platform yang tepat pada masanya untuk menghubungkan pelbagai disiplin dan wilayah dalam usaha menuju masa depan yang lebih berdaya tahan dan bertanggungjawab.
Menerusi pembentangan utama dan sesi soal jawab interaktif, simposium itu membuka peluang kepada peserta untuk bertukar idea, berkongsi pengalaman dan meneroka pendekatan kolaboratif bagi menangani pelbagai cabaran mendesak berkaitan kemampanan, katanya.
“Merangkumi pelbagai tema seperti infrastruktur mampan, inovasi bahan, tenaga, penjagaan kesihatan dan pengurusan pembinaan, RISD25 bertujuan menghasilkan penyelesaian yang praktikal, berasaskan sains dan relevan kepada masyarakat.
“Kami berbesar hati menyambut sembilan penceramah utama terkemuka dari Malaysia, Singapura dan Brunei.
“Penyertaan mereka menzahirkan kepentingan kerjasama serantau dan antarabangsa dalam memajukan agenda pembangunan mampan,” tambahnya. |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Penantian penduduk sahkan pemilikan NCR bakal jadi kenyataan
November 18, 2025, Selasa - 2:58pm
KUCHING: Penantian penduduk Lempaong Anyut di kawasan Paku, Betong untuk mengesahkan pemilikan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) bakal menjadi kenyataan selepas 2,110 hektar tanah milik mereka telah diluluskan untuk proses penyukatan.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas dalam laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) berkata, kelulusan tersebut melibatkan permohonan di bawah Seksyen 6 sebelum diteruskan kepada pemberi milikan individu di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri.
“Jabatan Tanah dan Survei telah memberi taklimat mengenai permohonan mereka di bawah Seksyen 6. Dengan sukacita kita umumkan ia telah diluluskan.
“Proses penyukatan akan bermula menggunakan Seksyen 6 dan kemudian diteruskan ke Seksyen 18,” katanya semasa menghadiri Taklimat Inisiatif Baharu Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) di Rumah Lempaong Anyut, Paku, Spaoh pada Ahad.
Uggah disambut sebaik tiba di Rumah Lempaong Anyut, Paku, Betong, merasmikan Taklimat Inisiatif Baharu NCR. - Gambar UKAS
Uggah disambut sebaik tiba di Rumah Lempaong Anyut, Paku, Betong, merasmikan Taklimat Inisiatif Baharu NCR. - Gambar UKAS
Menurut Jabatan Tanah dan Survei (JTS), taklimat libat urus tersebut turut memberi penerangan terperinci mengenai proses baharu penyukatan tanah NCR yang menekankan peralihan daripada Seksyen 6 ke Seksyen 18, sekali gus mempercepatkan pengeluaran hak milik individu kepada pemilik sah.
Inisiatif ini merupakan kesinambungan projek perintis di Ulu Paku dan kini diperluas melibatkan tujuh rumah panjang di kawasan Anyut, iaitu Lempaong Anyut, Lingit, Engkerebai, Jitu, Nanam, Udau dan Sungai Rian.
Dalam sesi dialog bersama penduduk, para ketua kaum serta komuniti setempat turut diberi peluang mengemukakan soalan dan mendapatkan penjelasan berkaitan tatacara baharu penyukatan tanah NCR.
Uggah menegaskan bahawa usaha itu membuktikan keikhlasan dan kesungguhan Kerajaan Sarawak dalam memperkasa pemilik tanah adat.
“Kerajaan GPS sentiasa membantu tuan punya tanah NCR. Tanah adat yang belum ada ‘title’ akan diberi ‘title’. Inilah bukti kesungguhan kerajaan,” ujarnya.
Pada masa sama, beliau menggesa penduduk memastikan kerjasama erat dalam komuniti bagi mengelakkan pertikaian yang boleh melambatkan proses penyukatan dan penukaran status hak milik.
“Saya berharap penduduk dapat bekerjasama dan mengelakkan pertikaian supaya penyukatan dan proses penukaran tanah dapat dijalankan dengan licin dan lancar,” katanya.
Hadir sama Ahli Parlimen Betong Dato Dr Richard Rapu, Penguasa Tanah dan Survei Bahagian Betong Moris Nayup, Setiausaha Politik Premier Sarawak Roseline Mapong Sabai serta beberapa pegawai kanan peringkat bahagian dan daerah. |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
TYT adakan pertemuan dengan Premier di Astana Negeri
November 18, 2025, Selasa - 3:10pm
KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar telah mengadakan Perjumpaan Pra-Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Pre-Council) bersama Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Astana Negeri, hari ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan pihak Astana Negeri, pertemuan tersebut telah berlangsung selama hampir sejam sebagai sesi persediaan menjelang Mesyuarat Kabinet Negeri yang akan datang.
“Selaras dengan peruntukan Perlembagaan Sarawak, Abang Johari telah mempersembahkan dan membentangkan beberapa perkara penting untuk makluman serta pertimbangan Tun Wan Junaidi selaku Ketua Negeri,” katanya.
Pada masa yang sama, Tun Wan Junaidi turut mengambil kesempatan menyampaikan pandangan dan penekanan beliau mengenai beberapa perkara dasar kepada Abang Johari dalam suasana yang harmoni dan penuh profesionalisme.
Beliau menzahirkan keyakinan bahawa di bawah kepimpinan Abang Johari, Sarawak akan terus melangkah maju melalui pelbagai inisiatif strategik yang berfokus kepada kesejahteraan rakyat, pembangunan berkualiti dan kemakmuran wilayah secara menyeluruh. |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Lelaki salah guna dadah dipenjara tujuh bulan
November 17, 2025, Isnin - 5:45pm
MIRI: Padah menggunakan dadah berbahaya tanpa kebenaran pihak berkuasa, seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara tujuh bulan oleh Mahkamah Majistret.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani pengawasan pihak polis selama dua tahun mengikut Seksyen 38B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
Tertuduh, Mohd Haikal Omar, 34, dari Kampung Pujut Adong di sini, didapati menggunakan dadah berbahaya jenis Amphetamine dan Methamphetamine yang tersenarai di dalam Jadual Pertama ADB 1952 (Akta 234), dengan cara memasukkan dadah tersebut ke tubuh sendiri tanpa kebenaran pihak berkuasa.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 11.10 pagi, 13 Mac lalu di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Miri.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (a) ADB 1952 dan dihukum di bawah Seksyen 15 (1) akta yang sama.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda sehingga RM5,000 atau penjara hingga dua tahun dan serta-merta dikehendaki menjalani pengawasan oleh pegawai sebagaimana ditakrifkan di bawah Seksyen 2 Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 selama tempoh tidak kurang daripada dua tahun dan tidak melebihi tiga tahun mengikut Seksyen 38B ADB 1952.
Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Shafiq Samry di hadapan Majistret Ashok Linggam manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela. |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Salah guna dadah, lelaki didenda dan diawasi dua tahun
November 17, 2025, Isnin - 5:43pm
MIRI: Seorang lelaki didenda RM2,000 atau tiga bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menggunakan dadah berbahaya tanpa kebenaran pihak berkuasa.
Selain itu, tertuduh turut diperintahkan supaya menjalani pengawasan oleh pihak polis selama dua tahun.
Tertuduh, Keri Mureng, 49, dari Kuala Baram dekat sini, didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan dihukum di bawah Seksyen 15 (1) akta sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda sehingga RM5,000 atau penjara hingga dua tahun dan serta-merta dikehendaki menjalani pengawasan oleh pegawai sebagaimana ditakrifkan di bawah Seksyen 2 Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 selama tempoh tidak kurang daripada dua tahun dan tidak melebihi tiga tahun mengikut Seksyen 38B ADB 1952.
Menurut keterangan kes, tertuduh didapati menggunakan dadah jenis Methamphetamine yang tersenarai dalam Jadual Pertama ADB 1952 (Akta 234), dengan cara memasukkan dadah tersebut ke dalam tubuh sendiri tanpa kebenaran pihak berkuasa.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 5.40 petang, 23 Jun lalu di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Miri.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Syafiq Samry di hadapan Majistret Ashok Linggam manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela. |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Dua pemilik premis didenda gara-gara gagal dapatkan Sijil Perakuan Bomba
November 17, 2025, Isnin - 5:38pm
MIRI: Dua pemilik premis di Piasau didenda masing-masing RM5,000 dan RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini kerana kesalahan gagal memiliki Sijil Perakuan Bomba dalam tempoh ditetapkan.
Hukuman itu dijatuhkan Hakim Afidah Abdul Rahman setelah wakil dari kedua-dua premis terbabit mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan terhadap mereka mengikut Seksyen 33 Akta Perkhidmatan Bomba 1988 (Akta 341).
Mengikut kesalahan ini, mereka boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara hingga lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Berdasarkan keterangan kes, pada 12 Ogos lalu satu surat peringatan bagi tujuan Penguatkuasaan Akta Perkhidmatan Bomba 1988-Bahagian V: Perakuan Bomba telah diserahkan kepada kedua-dua tertuduh selaku pemilik premis bagi melakukan permohonan untuk mendapatkan Sijil Perakuan Bomba dalam tempoh diberikan.
Pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua premis itu, satu daripadanya dijadikan bangunan stor serta kegunaan am dan sebuah lagi digunakan sebagai pejabat dan kilang, masih gagal memiliki Sijil Perakuan Bomba dalam tempoh ditetapkan sebagaimana dikehendaki di bawah Seksyen 28 Akta Perkhidmatan Bomba 1988 (Akta 341).
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu masing-masing pada jam 2 petang, 17 September dan 19 September lalu di dua lokasi berasingan di Piasau di sini.
Pertuduhan kes dibacakan secara berasingan kepada kedua-dua tertuduh.
Pendakwaan kes dikendalikan Penguasa Bomba Hafizul Abdul Kadir dan Penguasa Kanan Bomba II Awangku Mohd Hazmin Awang Zainal dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak.
Turut hadir ialah pegawai penyiasat kes Penolong Kanan Penguasa Bomba Deday Kipli dan Timbalan Penguasa Bomba II Zakaria Aini. |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Tumbuk muka orang, lelaki didenda RM2,000
November 17, 2025, Isnin - 5:21pm
SIBU: Seorang lelaki didenda RM2,000 atau penjara sebulan jika gagal membayar denda oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas kesalahan dengan sengaja menyebabkan kecederaan dengan menumbuk seorang lelaki di bahagian muka.
Mikai Gasing, 34, dari Kanowit, mengaku bersalah di hadapan Majistret Oon Kork Chern atas pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
Kesalahan itu dilakukan pada 1 November sekitar jam 5.30 petang di simpang Bukong Jagoi, Kanowit.
Tertuduh dibenarkan bebas setelah membayar denda tersebut.
Menurut fakta kes, pengadu, 43, sedang memandu pulang dari Hospital Kanowit apabila membrek secara mengejut untuk mengelak daripada melanggar sebuah kenderaan yang masuk ke simpang Bukong Jagoi tanpa memberi isyarat.
Mikai yang menunggang motosikal di belakang pengadu mengalami kemalangan ketika cuba mengelak daripada melanggar kereta tersebut.
Dia kemudian mengejar dan menumbuk muka pengadu, menyebabkan kecederaan pada kanan dahi, tisu lembut periorbital kanan dan kanan bibir atas pengadu.
Tertuduh ditangkap pada hari yang sama pada jam 11.56 malam.
Siasatan mendapati kecederaan pengadu berpunca daripada tumbukan tersebut dan kejadian berpunca daripada tindakan pengadu membrek secara mengejut sehingga menyebabkan tertuduh terjatuh dari motosikal.
Tertuduh juga patah tangan kanan dalam kemalangan itu.
Dalam kes berasingan di mahkamah yang sama, seorang buruh didenda RM2,500 atau penjara enam minggu selepas mengaku bersalah melakukan perbuatan khianat.
Ambrose William, 37, didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kerosakan pada pintu kaca milik seorang jurulatih gim sehingga mengakibatkan kerugian sebanyak RM380 pada 3 November sekitar jam 12.30 tengah hari di bandar Kanowit.
Dia diarah menjalani hukuman penjara setelah gagal membayar denda tersebut.
Berdasarkan fakta kes, pengadu melihat dua lelaki sedang bertengkar apabila salah seorang daripada mereka mengambil seketul batu konkrit dan membalingnya ke arah seorang lagi lelaki.
Batu tersebut terkena pintu kaca premis milik pengadu sehingga pecah.
Pengadu membuat laporan polis selepas usahanya mendapatkan ganti rugi daripada individu terlibat tidak berjaya.
Susulan itu, tertuduh ditangkap pada hari yang sama jam 3 petang dan dia menunjukkan batu konkrit yang digunakan semasa kejadian kepada pihak polis.
Siasatan mendapati Ambrose mengaku membaling batu tersebut kerana percaya lelaki terbabit telah mengejeknya.
Timbalan Pendakwa Raya Keshava Rao Tharma Raja mengendalikan kedua-dua kes manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam bela. |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Lelaki warga Indonesia miliki wang palsu dipenjara tiga tahun
November 17, 2025, Isnin - 1:23pm
KUCHING: Padah memiliki sejumlah 1,836 keping wang kertas Ringgit Malaysia palsu bernilai keseluruhan RM138,920, seorang lelaki Indonesia dijatuhi hukuman penjara tiga tahun di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.
Hakim Musli Ab Hamid memerintahkan hukuman penjara bagi tertuduh, Hendera, 32, untuk dikuatkuasakan mulai dari tarikh dia ditangkap iaitu pada 8 Oktober 2025, selain mengarahkan tertuduh dirujuk ke Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) selesai menjalani hukuman.
Hendera yang berasal dari Balai Karangan, Kalimantan Barat di Indonesia, menukar pengakuannya kepada bersalah dalam sebutan kes hari ini dengan pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 489C Kanun Keseksaan.
Pertuduhan tersebut memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, jika sabit kesalahan.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa memiliki wang palsu iaitu mata wang kertas Ringgit Malaysia sebanyak 1,200 keping RM100, 240 keping RM50, 296 keping RM20 dan 100 keping RM10, yang mana Hendera tahu bahawa kesemua wang tersebut adalah palsu.
Kesalahan itu didakwa dilakukannya sekitar jam 4.45 petang di Jalan Serian-Tebedu di Serian pada 8 Oktober 2025.
Fakta kes mendedahkan, polis menahan dua orang lelaki iaitu Abang Mohammad Firdaus Abang Abdul Malek, 29, dan Wawan Riduanto, 31, yang menunggang motosikal dan berhenti di tepi jalan serta berada dalam keadaan mencurigakan ketika menuju ke sempadan Malaysia-Indonesia pada hari kejadian.
Apabila disoal, mereka memberitahu polis bahawa mereka dalam perjalanan untuk berjumpa Hendera di kawasan hutan berdekatan.
Mereka kemudiannya membawa polis ke lokasi tersebut, dengan Hendera turut berada di sana sedang memegang sebuah beg berwarna biru gelap dan merah.
Hasil pemeriksaan terhadap Hendera seterusnya membawa kepada penemuan 1,836 keping wang kertas palsu terdiri daripada pelbagai denominasi termasuk RM100, RM50, RM20 dan RM10, dengan nilai keseluruhan RM138,920.
Berikutan itu, ketiga-tiga mereka termasuk Hendera ditahan bagi membantu siasatan.
Hasil siasatan seterusnya membawa kepada penangkapan seorang lagi wanita Indonesia bernama Emi Diansari, 37, yang disyaki terlibat sama dalam kes ini.
Siasatan lanjut polis mendapati semasa serbuan, pemeriksaan, tangkapan dan rampasan dilakukan, Hendera mempunyai pemilikan terhadap wang kertas Ringgit Malaysia palsu tersebut.
Difahamkan, Wawan dan Emi bersama Firdaus dan Hendera terlibat serta bersekongkol memiliki wang kertas palsu yang ditemui dalam milikan Hendera.
Dalam pada itu, Wawan dan Emi masing-masing dijatuhi hukuman penjara dua tahun di Mahkamah Sesyen di sini pada 15 Oktober 2025 selepas mengaku bersalah terlibat dalam kes sama, dengan pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 489C Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.
Sementara Abang Mohammad Firdaus, seorang lelaki tempatan yang bekerja sebagai penghantar barang, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sama dan mahkamah seterusnya menetapkan sebutan semula kes pada 4 Disember 2025.
Difahamkan, pada 15 Oktober 2025, Abang Mohammad Firdaus telah dibenarkan bebas dengan ikat jamin RM20,000 dengan dua penjamin tempatan.
Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Asmawi Nur Haqim Mokhtar sementara Hendera tidak diwakili peguam. |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Pengawal keselamatan cederakan rakan setugas dipenjara 11 bulan
November 14, 2025, Jumaat - 4:40pm
KUCHING: Mahkamah Majistret di sini, hari ini menjatuhkan hukuman penjara 11 bulan terhadap seorang pengawal keselamatan berusia 29 tahun yang mencederakan rakan setugasnya di Hospital Umum Sarawak (HUS) menggunakan sebatang cota kayu.
Nur Fikri Hakimi Sadrin yang tidak diwakili peguam, mengaku bersalah di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Mohammad Fauzi Acho sebaik didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
Seksyen berkenaan membawa hukuman penjara maksimum sepuluh tahun, denda, sebatan, atau mana-mana gabungan dua hukuman ini, jika sabit kesalahan.
Kesalahan itu didakwa dilakukannya di pos lobi Day Care Centre (DCC) HUS sekitar jam 4 pagi pada 10 November 2025.
Mengikut fakta kes, mangsa berusia 55 tahun itu diserang dari belakang dengan senjata tumpul, mengakibatkan kecederaan di kepala yang memerlukan lapan jahitan sementara ibu jari kanannya patah, seperti yang disahkan oleh pegawai perubatan.
Setelah mendapatkan rawatan, mangsa membuat laporan polis yang kemudiannya membawa kepada penangkapan Nur Fikri pada lewat malam itu.
Polis turut merampas sehelai baju hud hitam, sepasang selipar, sebatang cota kayu, serta sekeping kad pengenalan.
Hasil siasatan mendapati terdapat rakaman kamera litar tertutup yang mengesahkan bahawa Nur Fikri, rakan sekerja mangsa, adalah pelaku.
Ketika kejadian, dia sedang bertugas namun telah meninggalkan posnya di tingkat lima kira-kira 20 minit sebelum insiden tanpa memaklumkan kepada penyelianya, dan hanya kembali kira-kira 10 minit selepas serangan berlaku.
Nur Fikri juga didapati positif Amphetamine dan Metamphetamine dan mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kesalahan dadah (tarikh tidak dinyatakan).
Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Aidil Akmal Sharidan. |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
yeay!! setuju sangat Vell.
Dah post 
|
|
|
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|