Bilik dipenuhi botol air kencing akibat ketagihan ketum
SYAJARATULHUDA MOHD ROSLISYAJARATULHUDA MOHD ROSLI
04 Mac 2026 06:03pm
Tindakan seorang lelaki berusia 22 tahun mengumpul air kencing di dalam botol minuman sehingga memenuhi ruang biliknya menjadi gambaran mengejutkan kesan ketagihan air ketum yang didakwa dialaminya sejak hampir setahun lalu. Foto AADK Pulau Pinang
BAYAN LEPAS – Tindakan seorang lelaki berusia 22 tahun mengumpul air kencing di dalam botol minuman sehingga memenuhi ruang biliknya menjadi gambaran mengejutkan kesan ketagihan air ketum yang didakwa dialaminya sejak hampir setahun lalu.
Walaupun tandas berada berhampiran, lelaki terbabit dipercayai membuang air kecil ke dalam botol dan menyimpannya di dalam bilik sehingga menimbulkan keadaan tidak selesa di kediaman berkenaan.
Difahamkan, lelaki itu pada awalnya hanya mencuba minuman berasaskan daun ketum sebelum didakwa semakin bergantung sehingga menjejaskan kehidupannya.
Menurut Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Pulau Pinang, ketagihan tersebut menyebabkan lelaki berkenaan tidak bekerja, kehidupan seharian tidak terurus selain bertindak agresif apabila gagal mendapatkan wang untuk membeli air ketum.
“Keadaannya semakin membimbangkan apabila dia menunjukkan perubahan sikap yang ketara dan sukar dikawal,” menurut kenyataan dalam satu hantaran Facebook AADK Pulau Pinang pada Rabu.
Tambah kenyataan itu, situasi berkenaan menggambarkan kesan serius ketagihan bahan tersebut yang bukan sahaja menjejaskan kesihatan mental dan fizikal malah merosakkan hubungan kekeluargaan.
“Ramai memandang ringan isu ketum kerana menganggap ia sekadar air rebusan daun. Hakikatnya, jika disalah guna dan diambil secara berlebihan, ia boleh membawa kepada ketagihan serta perubahan tingkah laku,” katanya lagi.
Sehubungan itu, AADK Pulau Pinang menasihatkan orang ramai agar tidak mengambil ringan bahaya penyalahgunaan ketum dan segera mendapatkan bantuan sekiranya terdapat ahli keluarga atau kenalan yang menunjukkan tanda-tanda ketagihan.
“Pendekatan sokongan dan bimbingan penting dalam membantu individu terlibat kembali ke landasan yang betul dan bukan secara kecaman,” ujarnya.
Ringkasan AI
- Lelaki berusia 22 tahun mengumpul air kencing dalam botol menunjukkan kesan ketagihan air ketum
- Sebelum menjadi ketagih, lelaki itu mencuba minuman berasaskan daun ketum
- Ketagihan membuat lelaki berkenaan tidak bekerja dan bertindak agresif bila tak dapat membeli air ketum
- Ketagihan air ketum merosakkan kesihatan mental dan fizikal serta hubungan kekeluargaan
- AADK Pulau Pinang menasihatkan pendekatan sokongan dan bimbingan untuk membantu individu terlibat
|