Bila nama sudah gah, pasti ada yang cuba ambil kesempatan. Bagaimanapun, sungguh malang jika yang ambil kesempatan itu ahli keluarga sendiri. Itu yang berlaku kepada seorang selebriti terkenal. CAK tidak pasti sama ada dia sedar atau tidak perkara ini, tetapi apa dilakukan darah dagingnya memang tidak patut. Khabarnya, abang selebriti ini sering menggunakan namanya dalam usaha memikat hati wanita diminatinya.
Masalahnya, abang selebriti ini kaki perempuan. Sekejap tabur janji di sana kemudian di sini, esok lusa di tempat lain. Pendek kata, dia yang berstatus duda spesies pantang nampak wanita berdahi licin.
Modalnya tidak lain perkenalkan diri sebagai abang selebriti popular ini dan apabila mendengar perkara itu, ramailah yang lembut hati.
Disebabkan taktik itu menjadi, dia semakin seronok menjaja nama adiknya. Dia langsung tidak rasa bersalah, walhal sudah terang lagi bersuluh tindakan itu boleh menjejaskan nama baik adiknya.
Perkara ini sudah mula diperkatakan dan menjadi buah mulut mereka yang rapat dengan pasangan adik-beradik ini. Masing-masing simpati dengan selebriti itu, apatah lagi dia sangat memandang tinggi abangnya.
Mungkin bagi si abang, pendekatan digunakan tidak salah kerana memang adiknya selebriti. Ia fakta, bukan rekaan, tetapi sebagai abang, dia sepatutnya sedar taktik itu boleh beri kesan buruk kepada nama baik adiknya.
Bayangkan kalau apa-apa berlaku dalam hubungan singkatnya, tentu nama si adik terpalit sama. Tak pasal-pasal terjebak, walhal selebriti ini langsung tidak tahu menahu. Ibaratnya si abang sedap mengorat, si adik tanggung akibat.
Perempuan zaman sekarang pun panjang akal. Malah, ada antara mereka yang psiko hingga sanggup buat apa saja asalkan hajatnya kesampaian.
Dibuatnya kejar sampai lubang cacing, tak cukup tanahlah jawabnya si abang selebriti ini. Jangan sampai selebriti ini pun kena kejar sudah. Ngeri!
|