|
Rita Rudaini
Pelakon mengaku cuba didekati lelaki hidung belang selepas bergelar janda
Nyata tidak mudah bergelar selebriti, apatah lagi dikurniakan dengan pakej menawan. Rita Rudaini Mokthar, 37, umpamanya mengakui sejak rumah tangga dengan pemain bola sepak, Aidil Zafuan Abd Radzak, 26, dilanda badai lebih setahun lalu, ada lelaki hidung belang cuba mendekati.
Namun, hasrat itu tidak diluahkan secara langsung , sebaliknya khidmat orang tengah digunakan bagi ‘membeli’ jiwanya. Bagaimanapun, tiada satu pun yang berjaya mendekati disebabkan sifat tegasnya.
“Memang tidak dinafikan ada yang cuba mendekati, lebih-lebih lagi setelah saya sah bercerai. Biasanya, rakan yang menjadi ‘posmen’ kerana mereka digunakan sebagai orang tengah. Saya hanya mampu ketawa apabila ada yang berusaha mendekati.
“Setakat ini, tiada seorang pun yang berani berdepan atau berhubung terus dengan saya, mungkin kerana mereka tahu saya seorang yang tegas. Saya pun tidak suka melayan. Selepas habis perjumpaan dengan mana-mana wakil urusan perniagaan, saya lebih suka untuk terus saja balik ke rumah.
“Buat masa ini saya malas hendak fikir mengenai pengganti. Tumpuan saya kini hanyalah kepada anak dan perniagaan produk kecantikan yang baru diusahakan bersama seorang rakan kongsi,” kata Rita yang sah menjanda kali kedua pada 5 September lalu.
|
|