|

Oleh: Editorial MH
Tarikh: 17 Disember 2014
Sebelum ini, Erma Fatima selaku pengarah supertele dan teater 'Takhta 3 Ratu' sudah bercakap berkenaan isu berkemban yang dipertikai sesetengah pihak. Antara lain Erma mahu karya terbarunya itu tidak dipandang negatif hanya kerana wujudnya watak pelakon berkemban.
Menerusi teater 'Takhta 3 Ratu' yang mula dipentaskan pada 14 Disember lalu, Izreen Azminda yang membawakan watak Galuh Chenderai Kirana iaitu puteri dari kerajaan Majapahit perlu tampil dengan imej berkemban.
"Dari awal lagi saya sudah tahu watak tersebut memerlukan saya berkemban. Malah Erma juga bertanya sama ada saya bersedia atau tidak untuk tampil sedemikian. Apabila saya menerima tawaran membawakan watak Galuh, saya tahu ia akan jadi isu. Tapi saya anggap ia normal apatah lagi setelah dipentaskan.
"Segala komen dan kritikan adalah di luar kawalan saya. Lagi pula saya bukannya nak sangat berkemban, cuma sekadar menjayakan tuntutan watak tersebut. Saya buat berdasarkan logik cerita. Seandainya penampilan Galuh itu dipersembahkan seperti Tun Teja, memang tidak kena. Jadi saya harap isu ini tidak dipandang negatif," jelas Izreen.
Meski ini penampilan sulungnya di pentas teater, Izreen bertuah kerana bekerja di samping nama-nama besar. Selain pengarahnya, Izreen bersama pelakon-pelakon lain turut mendapat tunjuk ajar lakonan daripada Ellie Suriaty.
"Tak rugi saya berlakon teater sebab tawaran bukannya selalu datang. Dalam erti kata lain memang berbaloi. Meski selalu dimarah dan dijerit oleh Erma ekoran lontaran dialog Jawa yang kurang tepat, tapi itu membuatkan saya belajar untuk terus memperbaiki. Para pelakon, Erma dan Ellie banyak membantu," kata Izreen lagi.
Selain Izreen, 'Takhta 3 Ratu' membariskan pelakon-pelakon hebat lain seperti Erra Fazira, Soo Wincci, Awie, Remy Ishak, Beto Kusyairy, Azree Iskandar, Datuk Rahim Razali, Tasha Shilla dan ramai lagi.
Tiket untuk menonton teater ini masih boleh dibeli di kaunter Istana Budaya atau melayari laman www.airasiaredpix.com dengan RM50 hingga RM350.
Kredit: Media Hiburan
p/s:
|
|