Lagu ciptaan 20 minit untuk Siti Nurhaliza Sebagai seorang penyanyi berpengalaman, Datuk Siti Nurhaliza tidak berhadapan dengan masalah untuk memberikan penghayatan luar biasa untuk lagu Menatap Dalam Mimpi ciptaan Aubrey Suwito sewaktu proses rakaman lagu itu yang berlangsung di Ara Damansara, Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini. - Foto TRP/Arif Kartono
[size=100%]KUALA LUMPUR, 7 Jun:Mengenali penyanyi nombor satu negara ini, dia tidak betah duduk diam untuk menghasilkan album mahupun lagu baharu demi untuk peminatnya yang tidak pernah henti menyokongnya sejak dua dekad lalu. Bagi Datuk Siti Nurhaliza Tarudin, sebagai seorang penghibur, dia mengakui perlu untuk terus menghasilkan produk seni baharu untuk terus mengukuhkan portfolio seninya. Terbaharu, selepas hampir setahun album solo Melayunya yang ke-15, Fragmen berada di pasaran dengan penjualan melebihi 50,000 unit, kini penyanyi yang mesra disapa Siti itu memberitahu dia akan muncul dengan sebuah album pada bulan Ramadan ini. Meskipun ia hanyalah sekadar sebuah album rakaman live Konsert Unplugged yang berlangsung di Istana Budaya pada bulan April lalu, namun, Siti tidak mahu menghampakan peminat setianya apabila album itu juga akan memuatkan tiga lagu baharu termasuk lagu Mikraj Cinta yang merupakan ciptaan Hafiz Hamidun. Dua buah lagu lain termasuklah lagu Engkau yang merupakan lagu komposer dari Indonesia, Ade Govinda yang mencipta lagu Terbaik Bagimu yang dimuatkan di dalam album Fragmen selain sebuah lagu balada indah ciptaan Aubrey Suwito, Menatap Dalam Mimpi. Jelas Siti, dia mengambil inisiatif untuk merakamkan tiga lagu itu adalah sebagai salah satu cara untuk menghargai peminatnya selain untuk mempelbagaikan repertoire muziknya. “Saya mengambil contoh lagu Menatap Dalam Mimpi ciptaan Aubrey ini yang saya sifatkan sebagai sebuah lagu balada yang berbeza daripada apa yang pernah saya rakamkan sebelum ini. “Kali pertama mendengar melodinya, saya jatuh cinta pandang pertama dan tekad untuk merakamkannya (ketawa kecil).
Aubrey Suwito (kanan) dan Siti Nurhaliza serius mendengar dan meneliti hasil proses rakaman lagu Menatap Dalam Mimpi yang akan dimuatkan dalam album rakaman live Konsert Unplugged yang akan dipasarkan dalam sedikit masa sahaja lagi. – Foto TRP/Arif Kartono
“Ia memiliki elemen muzikal yang memerlukan saya mempelbagaikan penggunaan julat vokal (vokal range) saya. Tidak salah kalau saya katakan, ia seperti sebuah lagu muzikal yang sering kita dengar dalam filem-filem Walt Disney,” ulas Siti panjang lebar sewaktu ditemui The Rakyat Post usai rakaman lagu tersebut di studio milik Aubrey di Ara Damansara, Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.
Sebelum ini, Aubrey pernah menghasilkan lagu-lagu untuk penyanyi yang diberi jolokan Biduanita Muda Negara itu iaitu Beradu Di Khayalan, Bisakah, Sutramaya, Lebih Indah dan Jaga Dia Untukku.
Bagi Siti yang merupakan pemenang Vokal Wanita Terbaik Anugerah Industri Muzik sebanyak 12 kali itu, dia cukup selesa untuk bekerjasama dengan Aubrey kerana kreativiti yang dimiliki oleh komposer dan penerbit berusia 49 tahun itu. “Jika diperhatikan, lagu-lagu Aubrey semuanya berbeza terutama lagu-lagu baladanya yang semuanya lain daripada yang lain. Justeru, apabila lagu Menatap Dalam Mimpi diperdengarkan kepada saya, adalah sesuatu yang merugikan seandainya saya tidak merakamkannya,” kata penghibur kelahiran Kampung Awah, Temerloh, Pahang yang berusia 36 tahun ini lagi.
Sementara itu, bagi Aubrey pula, ideanya untuk menghasilkan melodi Menatap Dalam Mimpi timbul apabila dia terbaca satu sajak yang dimuat naik ke laman Twitter oleh penulis lirik lagu itu, Rozi SangDewi atau Rozi Abdul Razak yang juga kakak ipar dan pengurus peribadi Siti.
Melihatkan kepada sajak itu, dengan pantas dan sekelip mata sahaja dia sudah mencipta melodinya hanya dalam tempoh 20 minit sahaja.
“Tidak menunggu lama, saya meminta Rozi untuk menulis liriknya yang bercerita tentang kehilangan seseorang yang sangat kita sayang. Untuk saya, lagu ini adalah mengenai bagaimana perasaan saya yang kehilangan mendiang bapa saya.
“Saya percaya pendengar yang berhadapan dengan kisah seperti ini mampu untuk mengaitkan lagu ini dengan mereka dan menjadi dekat dengannya. Apatah lagi dinyanyikan oleh seorang penyanyi hebat dan terbaik seperti Siti, ia menjadi lebih indah untuk didengari,” ujar Aubrey tanpa selindung.
|