Hari Ini Dalam Sejarah (5 September)
Viewed 1221 times5-9-2013 02:21 PM
PERASMIAN PUSAT KESIHATAN LUAR BANDAR YANG PERTAMA DI PERAK
Tarikh peristiwa: 5 September 1956
Pada hari ini
5.9.1956, sebuah Pusat Kesihatan Luar Bandar yang pertama bagi Negeri
Perak telah dibuka dengan rasminya oleh D.Y.M.M. Raja Perempuan Perak.
Turut hadir di upacara tersebut ialah Pengarah Perkhidmatan Persekutuan
Tanah Melayu, Dr. R.E. Anderson, Menteri Besar Perak, pegawai perubatan
dan kesihatan, Baba Leong Yew Koh. Pembinaan Pusat Kesihatan yang
berharga RM 200,000 itu adalah hasil kutipan derma Kemajuan dan
Kebajikan Tanah Jajahan, sementara alat-alat kelengkapan perubatan
diperolehi dari UNISEF. Pusat kesihatan yang dibina di Daerah Parit ini
dijangka dapat memberi perkhidmatan perubatan kepada penduduk-penduduk
di Daerah Parit dan kawasan-kawasan sekitarnya. Selain itu, kerajaan
juga merancang membina sebanyak 4 buah pusat kesihatan kecil di bawahnya
dan diandaikan boleh memberi perkhidmatan perubatan kepada kira-kira
50,000 orang penduduk. Pegawai Perubatan dan Kesihatan Negeri Perak,
Baba Leong Yew Koh dalam ucapannya berkata bahawa Pusat Kesihatan luar
bandar ini akan memberi tumpuan khusus kepada usaha-usaha menghindari
pelbagai jenis penyakit serta perkhidmatan seperti Klinik Ibu dan
Kanak-Kanak. Menteri Besar Perak dalam ucapan beliau menyeru masyarakat
luar bandar supaya menggunakan sepenuhnya perkhidmatan yang diberikan
oleh pusat kesihatan ini. Beliau menyatakan kerajaan juga bercadang
untuk membina sebanyak 8 buah lagi pusat kesihatan luar bandar
di seluruh daerah negeri Perak. Pusat Kesihatan Luar Bandar amat penting
bagi menampung keperluan perkhidmatan perubatan kepada
penduduk-penduduk yang jauh dari bandar. Langkah ini adalah sejajar
dengan usaha kerajaan untuk meningkatkan lagi taraf kesihatan rakyat.
sumber: http://hids.arkib.gov.my/readarticle.php?article_id=1878