KUALA LUMPUR: Era gemilangan bintang Formula Satu (F1), Lewis Hamilton bersama pasukan Mercedes AMG PETRONAS, berakhir dengan penuh emosi apabila menyatakan akan sangat merindui peminatnya di Malaysia serta keenakan roti canai - hidangan yang menjadi tradisi setiap kali mengunjungi negara ini. Selama 12 musim bersama Mercedes, Hamilton mencipta sejarah dengan enam gelaran juara dunia dan kini mengucapkan selamat tinggal dalam perlumbaan penutup tirai F1 di Grand Prix (GP) Abu Dhabi kelmarin sebelum menyertai Ferrari tahun depan. Pelumba warga Britain berusia 39 tahun itu bagaimanapun tetap optimis dan menyatakan bahawa beliau pasti akan kembali ke Malaysia jika GP Malaysia suatu hari nanti kembali ke Litar Antarabangsa Sepang (SIC). "Pertama sekali, saya akan merindui mereka. Sememangnya salah satu faedah atau perkara baik dalam hubungan itu adalah PETRONAS akan membawa saya ke sini dan saya akan dapat berinteraksi dengan orang ramai di Kuala Lumpur, dan itu adalah sesuatu yang saya akan rindui.
"Saya berharap GP Malaysia suatu hari nanti akan kembali semula semasa saya masih berlumba. Saya akan sentiasa mengingati roti canai. Ini adalah hidangan kegemaran saya di sini sejak dahulu. Saya akan cuba menikmatinya malam ini," katanya ketika ditemui dalam Wawancara Kumpulan Media Eksklusif di Menara PETRONAS di sini hari ini. Dalam sesi lain, pertemuan dengan peminat di Dewan 6A-6C, KLCC menyaksikan 3,000 pemenang bertuah kempen PETRONAS berpeluang berinteraksi dengan 'The Greatest of All Time (GOAT)' dalam F1. Hamilton, yang menyertai Mercedes pada 2013 untuk memenangi enam kejuaraan dunia, akan meninggalkan pasukan Silver Arrows yang pernah dominan itu pada akhir musim ini, yang mempunyai format 24 perlumbaan, untuk menyertai Ferrari pada 2025. Juara dunia tujuh kali (2008, 2014, 2015, 2017, 2018, 2019, 2020) itu berkongsi penghormatan dengan pelumba legenda Michael Schumacher sebagai pemenang gelaran kejuaraan dunia F1 terbanyak serta berazam untuk merebut rekod kejuaraan dunia kelapan. Di pentas, Hamilton menyatakan bahawa peminat Malaysia sentiasa mesra dan memberi sokongan sambil menggalakkan mereka agar tidak membiarkan sesiapa pun menghalang matlamat mereka kerana hanya mereka yang tahu apa yang terbaik untuk diri sendiri. Sementara itu, salah seorang peminat, Har Gobind Singh, 22, yang cuba menghadiri setiap acara melibatkan idolanya dan sanggup membelanjakan wang untuk menyaksikan F1 jika ia diadakan di Singapura bersama tujuh rakan lain, berkata ia adalah detik bersejarah sebelum Hamilton mengucapkan selamat tinggal dan beralih ke Ferrari. "Kami sentiasa lapan orang. Ia bermula dari 2015, kami sentiasa cuba berada di sana untuk Hamilton dan kami berharap yang terbaik untuknya selepas ini," katanya. SUMBER: - BERNAMA |
ADVERTISEMENT