Kuala Lumpur: Penyokong setia Lee Zii Jia berang selepas Persekutuan Badminton Dunia (BWF) membatalkan penyertaan pemain perseorangan utama negara itu hanya kerana dia menarik diri ketika aksi ketiga peringkat Kumpulan A berdepan wakil tuan rumah, Li Shi Feng di Jelajah Dunia Akhir BWF 2024 dekat Hangzhou, China, hari ini. Pada aksi di Gimnasium Olimpik Hangzhou itu, Zii Jia bermula baik apabila memenangi set pertama 22-20 dan sedang mendahului 13-5 di set kedua sebelum dia dihantui kecederaan buku lali kanan. Dia cuba untuk meneruskan permainan tetapi terpaksa membuat keputusan menarik diri ketika mendahului 15-11. Tindakan menarik diri itu menyaksikan kemenangannya dalam dua perlawanan awal sebelum ini ke atas jaguh Taiwan, Chou Tien Chen dan Anders Antonsen dari Denmark yang mana dia sudah pun mengesahkan tempatnya ke separuh akhir, turut dibatalkan.
"Semoga cepat sembuh LZJ (Lee Zii Jia), sayangnya dia betul-betul tengah 'on form'. peraturan BWF ke laut, dengan rawatan perubatan entah apa-apa," tulis Mohamad Shamsuri di media sosial. Manakala Noh Mohd Noh menulis: Kecederaaan menyebabkan dia dibatalkan (penyertaan) walaupun dah menang set pertama dan mendahului mata di set kedua. Semoga cepat sembuh." Seorang lagi penyokong Zii Jia menulis: "Peraturan itu mnjadikan perlawanan sangat boring. 'Game' tergantung," katanya. SUMBER : – KOSMO! ONLINE |
ADVERTISEMENT