Kuala Lumpur: Polis akan memanggil beberapa individu termasuk pihak hospital berhubung isu mayat bayi lelaki 'disimpan' dalam peti sejuk di sebuah hospital swasta di Klang, kerana ibu bapanya tidak menjelaskan bayaran bil. Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, polis menerima satu laporan daripada bapa kepada bayi terbabit, hari ini. Beliau berkata, laporan itu diklasifikasikan sebagai Kertas Enkuiri Polis (KEP). "Pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan sedang menjalankan siasatan secara mendalam untuk menentukan sekiranya terdapat sebarang unsur jenayah dalam isu ini serta menanganinya dengan sebaik mungkin. "Mereka yang berkaitan termasuk pihak hospital akan dipanggil untuk dirakam percakapan," katanya dalam kenyataan hari ini. Terdahulu, Harian Metro melaporkan bapa kepada bayi lelaki dinamakan Adham, Safwan Roshdy kecewa dan sedih dengan tindakan hospital 'menahan' mayat bayi lelakinya itu selama 16 hari.
Pekerja kilang itu berkata, anak sulungnya yang dilahirkan tidak sempurna tanpa sebelah mata, hidung dan lubang dubur meninggal dunia beberapa minit selepas kelahiran. Bagaimanapun, dia mendakwa pihak hospital tidak membenarkan dia menuntut jenazah bayinya itu sehingga bil rawatan dijelaskan. Mengulas lanjut, Hussein berkata, polis menegaskan bahawa dakwaan tidak disahkan boleh berpotensi menimbulkan kekeliruan di kalangan masyarakat. Beliau memberi peringatan kepada pengguna media sosial supaya mengelak diri daripada menyalahgunakan platform berkenaan untuk menyebar kandungan tidak sahih sehingga mengakibatkan kegusaran awam. Beliau juga berharap semua pihak bersabar menunggu hasil siasatan sebenar. Sebelum ini tular perkongsian Unit Khas Van Jenazah (UKVJ) di Facebook mengenai pengurusan jenazah bayi lelaki yang dilahirkan tidak sempurna dan mengundang pelbagai reaksi masyarakat. Pengasasnya berkongsi di FB Mr Wan Cai Official, memaklumkan pihaknya terpaksa menggunakan air panas bercampur air paip untuk memandikan jenazah bayi lelaki yang dinamakan Adham apabila mayat didakwa disimpan di peti sejuk mayat sebuah hospital swasta selama dua minggu, hanya disebabkan ibu bapa arwah gagal menjelaskan bil hospital lebih awal. SUMBER : – KOSMO! ONLINE |
ADVERTISEMENT