
Selepas pemergian suami pada 1 April lalu, pelakon dan pengacara Kiah Propa nekad meneruskan usaha mencari rezeki bagi membesarkan dua anak perempuannya yang sedang membesar.
Kiah atau Siti Rokhaida Abdul Khalil, 46, berkata, tidak hanya fokus kepada anak-anak tetapi perlu memikirkan nasib pekerjanya selain banyak tanggungjawab lain yang perlu diberi perhatian.
“Fokus saya hendak berniaga, cari rezeki untuk anak-anak. Pekerja pun hendak diberi makan (gaji).
“Banyak tanggungjawab, jadi malas hendak cakap benda lain dan tak suka hendak bersedih lama-lama, nanti mudarat.
“Lebih baik kita tenang dan teruskan kehidupan,” katanya.
Kiah berkongsi perkara itu menerusi sebuah hantaran video yang dimuat naik di Instagram miliknya pada Jumaat.
Menerusi perkongsian tersebut, Kiah memberitahu selain mengusahakan kedai makanan di Teluk Intan, Perak, dia juga sedang dalam perancangan meluaskan perniagaan dengan membuka cawangan di Selangor.
Dalam pada itu, Kiah memberitahu sekarang bukan lagi masa meratapi pemergian Allahyarham suami sebaliknya ingin meneruskan kehidupan seperti biasa.
Kiah berkata, dia enggan perasaan sedih memudaratkan diri sehingga tidak mampu melakukan perkara lain.
“Masa bersedih sudah tamat. Biarlah bersedih di dalam hati sahaja. Usah di bawa meleret-leret, kalau tidak nanti memudaratkan diri.
“Kiah kena bekerja, dulu ibu tunggal sekarang balu pula... Lain rasanya tapi tak mengapa, kehidupan perlu diteruskan,” ujarnya.
Pada 1 April lalu, suaminya iaitu Allahyarham Mohamad Nazri Ismail menghembuskan nafas terakhir di Institut Kanser Negara (IKN) Putrajaya kira-kira pukul 5 pagi.
Untuk rekod, Kiah dan Nazri mendirikan rumah tangga pada 2011 namun pasangan itu bercerai pada 2016.
Pasangan itu kembali berkahwin pada 16 November 2024 selepas Nazri disahkan menghidap kanser leher.
Kiah bertindak melamar Nazri kerana mahu menjaganya.
Sumber: mStar
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|