
Sherry Ibrahim meluahkan rasa gembira apabila berpeluang bertemu dengan adik kepada bekas kekasihnya, pelakon Fattah Amin, iaitu Raihan, di sebuah majlis agama yang berlangsung pada Mac lalu.
Ketika ditemui XTRA, Sherry atau nama penuhnya Syarizad Ibrahim berkata, pertemuan itu merupakan kali pertama mereka bersua kembali selepas sekian lama tidak bertemu sejak perpisahannya dengan Fattah.
“Soalan pertama yang saya tanya adalah kenapa dia menangis sewaktu bersalaman dengan saya. Sebenarnya saya tak perasan kehadirannya kerana lokasi itu bertingkat dan dia pula mengenakan tudung labuh.
“Saya sangka dia hanyalah peminat biasa, sehinggalah dia membisikkan dia adalah ‘adik Fattah’. Masya-Allah, kami terus berpelukan. Ia satu momen yang tak dijangka, semuanya berlaku secara kebetulan dan penuh hikmah,” katanya.
Sherry berkata demikian ketika ditemui di Balai Berita Bangsar, pada Khamis.
Mengulas lanjut mengenai pertemuan tersebut, aktres berusia 42 tahun itu berkata mereka sempat berborak termasuk bertanya khabar mengenai ibu Fattah.
“Saya gembira dapat jumpa dia. Kami berbual, saya tanya khabar ibu (mak Fattah). Raihan kata dia rindu saya… Ia adalah momen yang indah, hanya antara saya dan dia. Apa yang kami bualkan pun semuanya perkara yang baik-baik sahaja.
“Sudah terlalu lama saya tak bertemu dengannya. Bila kita dah ‘move on’, kita tak toleh ke belakang lagi. Bukan kerana tak mahu berhubung, tetapi demi menjaga hati dan perasaan orang-orang di sekeliling,” ujarnya.
Sherry turut menjelaskan hubungannya dengan keluarga Fattah tidak pernah terputus sepenuhnya, Namun demi menghormati perasaan pihak lain, dia memilih untuk tidak berkomunikasi secara langsung, meskipun tiada sebarang permusuhan berlaku.
“Kami tidak pernah putus hubungan sepenuhnya, cuma kami ada berinteraksi melalui media sosial.
“Saya pun sudah seperti kakak kepada mereka. Saya tak pernah bermusuh dengan sesiapa pun,” tambahnya.
Terdahulu, tular sebuah video di platform TikTok yang memaparkan momen menyentuh hati apabila Sherry dan Raihan berpelukan sambil mengalirkan air mata sewaktu bertemu semula di majlis tersebut.
Sumber: XTRA
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|