PETALING JAYA – Aktivis kontroversi, Fahmi Reza mendakwa dihalang untuk ke luar negara selepas disenarai hitam dari memasuki Sabah baru-baru ini. Fahmi Reza menerusi hantaran di Facebook berkata, dia baru mengetahui mengenai perkara itu selepas dimaklumkan pegawai imigresen ketika berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk berlepas ke Singapura. “Saya hendak ke Singapura untuk menyaksikan persembahan kumpulan yang saya gemari Slant dari Korea dan Sial dari Singapura. “Saya ke sana dua hari satu malam dan sampai KLIA pukul 9.35 pagi. Seperti biasa, saya ditahan di kaunter imigresen perlepasan antarabangsa dan diminta duduk di pejabat sementara pegawai periksa dengan TCO (Pejabat Kawalan Perjalanan),” katanya. Dakwanya, selepas selesai urusan berkaitan termasuk pemerolehan salinan pas kebenaran berlepas serta tiket penerbangan, pegawai imigresen memaklumkan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman tidak memberi kebenaran kepadanya untuk ke luar negara.
“Saya tanya sebab apa? Dia jawab, perlu tanya Bukit Aman sebelum saya dibawa keluar dari kawasan perlepasan antarabangsa. “Tak bagi saya naik kapal terbang, tak benarkan saya ke luar negara, apa kesalahan saya? Hanya polis Bukit Aman dan Kerajaan Madani yang boleh jawab. “Saya hanya buat lukisan yang mengkritik pelantikan TYT Musa Aman dan kritik Kerajaan Madani. “Terima kasih Bukit Aman dan Kerajaan Madani untuk hadiah hari jadi yang aku tak akan lupakan. Selamat Hari Raya Aidiladha,” katanya. Sumber – KOSMO! ONLINE |
ADVERTISEMENT