|
Jelebu: Setiap kali menjelang Aidilfitri, peti surat di rumah Abdullah Mohd, 52, di Taman Mawar di sini, tidak pernah sunyi daripada kiriman kad ucapan hari raya.
Bukan sahaja daripada kenalan di seluruh negara, malah turut diterimanya daripada pemimpin dan pembesar negara, sekali gus menjadikan tradisi itu sesuatu yang cukup bermakna buat dirinya. Namun, menurutnya, amalan yang bermula sejak awal 1990-an ketika dia masih di bangku sekolah itu kini semakin dilupakan apabila teknologi moden mengambil alih peranan kad fizikal sehingga tradisi berkenaan hampir pupus. "Kedai yang menjual kad ucapan hari raya kini semakin sukar ditemui sehingga boleh dianggap hampir tiada, sekali gus menyebabkan tradisi mengirim kad semakin dilupakan. "Sekitar tahun 2000 ke atas, kad ucapan semakin susah didapati di kedai dan kemeriahan Aidilfitri seolah-olah hilang serinya. "Dulu bila musim raya, pejabat pos jadi tumpuan. Orang ramai beratur beli setem dan kirim kad, tapi sekarang suasana itu sudah tiada," katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Mawar di sini. Menurutnya, antara kad paling bermakna diterima adalah daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Pahang, Sultan Johor, Tengku Mahkota Pahang, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan serta Sultan Brunei. Katanya, dia juga pernah menerima kiriman kad daripada bekas dan pemimpin negara termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad. "Minat mengirim kad ini saya hidupkan semula pada 2019 dan semakin rancak ketika negara berdepan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). "Semua kad yang diterima saya simpan dengan baik kerana ia mempunyai nilai sentimental tersendiri," katanya. Abdullah yang juga datuk kepada enam cucu berkata, menunggu ketibaan posmen satu ketika dulu menjadi rutin wajib setiap kali menjelang Aidilfitri. "Malah, kerana terlalu banyak kad untuk diuruskan, ada kalanya kad hanya diterima selepas hari raya. Dari situlah terjalin hubungan rapat dengan posmen, sesuatu yang sukar dirasai sekarang," katanya Beliau berkata, kad ucapan yang diterima daripada kekasihnya pada 1995 sebelum mereka mendirikan rumah tangga setahun kemudian turut disimpan rapi sebagai kenangan terindah. "Anak-anak seronok membaca setiap ucapan yang ditulis. Kad ini boleh disimpan lama berbanding ucapan diaWhatsApp. Sebelum ini pun kita pernah lalui zaman MMS (Multimedia Messaging Service), tetapi semuanya tidak sama seperti kad fizikal," katanya. Menurutnya, semua kad disimpan dalam sebuah beg khas dan akan dikeluarkan setiap kali menjelang hari raya untuk dibaca semula serta ditunjukkan kepada rakan yang berkunjung ke rumah. "Tahun ini sahaja saya sudah terima kira-kira 30 kad pelbagai jenis dan saiz. Di Kuala Klawang masih ada kedai alat tulis yang menjual stok lama kad pada harga asal. "Malah ada rakan yang kreatif menghasilkan sendiri kad sebelum dikirim kepada kenalan bagi meneruskan tradisi ini," katanya. Sumber: Harian Metro
|


ADVERTISEMENT
© 1996-2026 Cari Internet Sdn Bhd (483575-W)|Hosted By IPSERVERONE|Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy
5-3-2026 04:46 PM GMT+8 , Processed in 0.155613 second(s), 21 queries , Gzip On, Redis On.
Powered by Discuz! X3.4
Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.