|
Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memandang serius kegagalan dua anak kepada Allahyarham Tun Daim Zainuddin untuk hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.
SPRM berkata, Muhammed Amir Zainuddin Daim dan Muhammed Amin Zainuddin Daim gagal hadir sebagaimana yang diperintahkan melalui tiga Perintah Menghadiri Pemeriksaan bertarikh 13 Februari, 11 Mac dan hari ini. Menurutnya, sebelum ini, wakil peguam yang mewakili mereka menyatakan komitmen dan persetujuan untuk hadir pada hari ini, namun mereka sekali lagi gagal berbuat demikian tanpa sebarang alasan yang munasabah. "Turut gagal hadir tanpa alasan yang memuaskan ialah Josephine Premla, walaupun diarahkan berbuat demikian oleh SPRM," katanya dalam kenyataan hari ini. Bagaimanapun, menurut SPRM, Asnida Abdul Daim hadir dan memberikan kerjasama kepada SPRM, manakala Md Wira Dani Daim memaklumkan lebih awal mengenai ketidakhadirannya. "Susulan ketidakpatuhan ini, SPRM tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas selanjutnya dengan menggerakkan Notis Merah (Red Notice) melalui INTERPOL dan berkolaborasi dengan Jabatan Imigresen bagi menyekat serta memantau pergerakan keluar masuk dan status pasport individu terbabit. "Penama-penama berkenaan juga akan berdepan tindakan undang-undang mengikut Seksyen 48(c) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 kerana ingkar mematuhi Perintah Menghadiri Pemeriksaan di bawah Seksyen 30(1)(a) akta yang sama," katanya. Sementara itu, SPRM berkata, Asnida akan dituduh mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur esok. "SPRM menegaskan bahawa sebarang kegagalan mematuhi arahan sah agensi ini tidak akan dilayan dengan toleransi, dan tindakan penguatkuasaan akan dilaksanakan tanpa pengecualian," katanya. Sumber : Harian Metro
|
ADVERTISEMENT
© 1996-2026 Cari Internet Sdn Bhd (483575-W)|Hosted By IPSERVERONE|Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy
21-4-2026 12:04 PM GMT+8 , Processed in 0.036335 second(s), 22 queries , Gzip On, Redis On.
Powered by Discuz! X3.4
Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.