|
KUALA LUMPUR – Kerajaan Madani tidak perlu malu menggunakan pendekatan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini termasuk dalam langkah membantu mengurangkan beban perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, beliau sebelum ini pernah membangkitkan berkenaan ketiadaan pendekatan menyeluruh oleh kerajaan dalam membantu PMKS susulan konflik di Asia Barat. Menurutnya, beliau ketika itu turut mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan langkah-langkah yang pernah dilaksanakan oleh kerajaan PN ketika menangani kesan pandemik Covid-19 terhadap ekonomi. Ujarnya, antara yang disentuh adalah pemberian diskaun atau pengecualian sewa kepada peniaga kecil yang menyewa premis milik kerajaan yang mana langkah itu pernah dilaksanakan ketika Covid-19 dan terbukti membantu kelangsungan perniagaan. “Dalam situasi yang tidak menentu ini, ramai dalam kalangan peniaga di premis kerajaan, termasuklah di sekolah, bertanya mengapa kerajaan hari ini tidak menggunakan pendekatan pemberian diskaun atau pengecualian sewa sebagaimana yang pernah digunakan oleh Kerajaan Perikatan Nasional sebelum ini?” katanya menerusi Facebook hari ini. Namun, ujar Radzi, hari ini, baru kedengaran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan agensi kerajaan seperti MARA dan UDA akan menurunkan kadar sewa premis bermula bulan ini bagi meringankan beban peniaga. Selain itu, katanya, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kerajaan negeri turut digesa untuk mempertimbangkan langkah yang sama. “Selepas 67 hari konflik perang di Timur Tengah berlangsung, akhirnya Perdana Menteri umumkan. Orang putih kata, “better late than never“,” katanya. Dalam masa sama, beliau yang juga Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berharap pendekatan itu turut merangkumi pengusaha kantin sekolah di seluruh negara yang juga berdepan tekanan kos operasi. Tegas beliau, tekanan demi tekanan yang dihadapi oleh peniaga khususnya PMKS akibat konflik perang di Asia Barat termasuk kenaikan mendadak kos operasi tidak boleh dipandang ringan. “Nasihat saya kepada Kerajaan, jangan rasa malu untuk menggunakan pendekatan Kerajaan Perikatan Nasional sebelum ini. “Setiap langkah yang dibuat oleh Kerajaan Perikatan Nasional dalam membantu peniaga, khususnya PMKS, sewaktu COVID-19 dibuat bagi memastikan peniaga di pelbagai peringkat terus dapat bertahan dalam situasi ekonomi yang sukar,” katanya. Sumber – MalaysiaGazette
|
ADVERTISEMENT
© 1996-2026 Cari Internet Sdn Bhd (483575-W)|Hosted By IPSERVERONE|Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy
11-5-2026 04:49 PM GMT+8 , Processed in 0.036894 second(s), 18 queries , Gzip On, Redis On.
Powered by Discuz! X3.4
Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.