|
KUALA LUMPUR – Pemuda AMANAH Nasional mencadangkan supaya satu mekanisme potongan gaji atau elaun diperkenalkan terhadap Ahli Parlimen yang gagal menghadiri sidang Dewan Rakyat tanpa alasan munasabah.
Naib Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Ammar Atan berkata, cadangan itu adalah antara langkah yang boleh memperkukuh integriti dan tanggungjawab wakil rakyat. Jelasnya, sistem sedia ada yang hanya memberi insentif melalui elaun kehadiran dilihat tidak memadai kerana tiada hukuman tegas terhadap wakil rakyat yang berulang kali tidak hadir ke Parlimen. Ammar berkata, mandat utama Ahli Parlimen adalah untuk hadir bersidang bagi membawa suara rakyat, berbahas, menyemak dasar kerajaan serta menawarkan penyelesaian terhadap isu negara. “Pemuda AMANAH berpandangan sekurang-kurangnya kadar kehadiran minimum Ahli Parlimen perlu mencapai 50 peratus daripada keseluruhan hari sidang dalam tempoh setahun, kecuali atas faktor kecemasan atau urusan rasmi yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini. Beliau berkata, meskipun Perkara 52(1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kekosongan kerusi sekiranya Ahli Parlimen tidak hadir selama enam bulan berturut-turut tanpa kebenaran Dewan, peruntukan itu dilihat tidak lagi mencukupi. Katanya, keadaan itu masih membenarkan Ahli Parlimen mengelak tindakan disiplin dengan hanya hadir secara minimum sebelum kembali tidak hadir untuk tempoh panjang. Sehubungan itu, Pemuda AMANAH mencadangkan reformasi termasuk potongan elaun atau gaji secara berkadar berdasarkan kadar kehadiran tahunan serta penetapan syarat kehadiran minimum yang lebih tegas dan boleh dikuatkuasakan. Dalam masa sama, beliau turut mendakwa data kehadiran Parlimen menunjukkan terdapat Ahli Parlimen dengan rekod ketidakhadiran tinggi daripada blok pembangkang. Katanya lagi, kehadiran Perdana Menteri pula dilihat lebih baik walaupun memikul tanggungjawab besar dalam pentadbiran negara dan hubungan antarabangsa. “Anak muda mahu politik negara dipimpin dengan amanah dan rasa tanggungjawab, bukan budaya ponteng dan ambil mudah mandat rakyat,” katanya. Sumber – MalaysiaGazette
|

ADVERTISEMENT
© 1996-2026 Cari Internet Sdn Bhd (483575-W)|Hosted By IPSERVERONE|Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy
11-5-2026 04:47 PM GMT+8 , Processed in 0.045773 second(s), 18 queries , Gzip On, Redis On.
Powered by Discuz! X3.4
Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.