|
KUALA LUMPUR – Seorang pegawai penyiasat memberitahu Mahkamah Sesyen hari ini, tiada jejak wang dikesan dalam kes rasuah terowong dasar laut Pulau Pinang melibatkan bekas Ketua Menterinya, Lim Guan Eng.
Penguasa Kanan Suruhanjaya Pencegahanan Rasuah Malaysia, (SPRM), Zulhilmi Ramli, 34, berkata, ketiadaan bukti mengenai jejak wang tidak menjejaskan kes yang disiasatnya. Jelas beliau, ini kerana wang RM3.3 juta kepada Guan Eng diberikan berperingkat-peringkat secara tunai, bukan dipindahkan ke dalam akaun bank tertuduh. “Kurang bijak jika tertuduh sendiri masukkan wang tunai yang diterimanya ke dalam akaun sendiri,” ujar pegawai penyiasat itu. Zulhilmi menyatakan demikian ketika menjawab soalan tambahan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin berhubung isu ketiadaan jejak wang dalam kes itu yang dibangkitkan oleh pengguna media sosial. Pendakwa: Awak ada baca dalam media sosial yang menyatakan tiada money trail (jejak wang) dalam kes ini? Saksi: Ya saya ada baca. Pendakwa: Ada money trail? Saksi: Tiada. Pendakwa: Adakah ia menjejaskan siasatan awak? Saksi: Tiada. Pada peringkat itu, peguam Ramkarpal Singh membantah jawapan tersebut atas alasan isu mengenai jejak wang sepatutnya diputuskan oleh mahkamah, bukan saksi tersebut. Pada prosiding itu, Zulhilmi turut ditanya mengapa pasukan siasatan masih memilih ahli perniagaan, Datuk Seri G. Gnanaraja sebagai saksi meskipun kredibilitinya diragui ekoran perbezaan keterangan. Ujar saksi, pihaknya mempertimbang keterangan Gnanaraja (saksi pendakwaan ke-37) berhubung pemberian wang RM2 juta kepada Guan Eng. Menurut pegawai penyiasat, keterangan Gnanaraja selari dengan keterangan seorang ahli perniagaan lain, Datuk Zarul Ahmad Mohd. Zulkifli yang mengaku memberi empat beg masing-masing berisi RM1 juta kepada beliau (Gnanaraja). Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung 14 Mei ini bagi pemeriksaan balas. Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Guan Eng didakwa sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang menggunakan kedudukannya untuk suapan RM3.3 juta bagi membantu syarikat milik Zarul Ahmad dilantik melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang bernilai RM6,341,383,702. Kesalahan itu didakwa dilakukan antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri negeri berkenaan. Bagi pertuduhan pindaan kedua, beliau dituduh meminta suapan 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh daripada Zarul Ahmad sebagai upah bagi projek sama, yang didakwa berlaku berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City antara 12.30 tengah malam dan 2 pagi pada Mac 2011. Beliau turut berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik Kerajaan Negeri Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek sama di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Komtar pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017. Sumber – MalaysiaGazette
|
ADVERTISEMENT
© 1996-2026 Cari Internet Sdn Bhd (483575-W)|Hosted By IPSERVERONE|Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy
11-5-2026 05:40 PM GMT+8 , Processed in 0.052657 second(s), 14 queries , Gzip On, Redis On.
Powered by Discuz! X3.4
Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.