|
SELEPAS Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, perhatian politik kini beralih pula kepada PRN Negeri Sembilan. Ia bakal menjadi satu lagi medan menguji kemungkinan kerjasama antara parti yang saling berlawanan.
Perkembangan pada PRN Johor memperlihatkan bagaimana pendekatan politik bersifat anjal apabila PAS mengambil pendirian menyokong calon Barisan Nasional (BN) dan UMNO di beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). PAS turut mengarahkan ahlinya tidak mengundi calon Pakatan Harapan (PH) yang menentang calon BN dan paling mengejutkan tidak membantu kempen calon BERSATU walaupun kedua-duanya menggunakan lambang Perikatan Nasional (PN). Episod itu mungkin salah satu daripada strategi pilihan raya, tetapi pada masa sama menjentik persoalan lebih luas mengenai masa depan kerjasama politik Melayu-Islam. Meneliti sejarah kepartian negara, kerjasama politik walaupun parti berbeza ideologi sangat penting kerana menjadi asas pembinaan negara. Lihat sahaja pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 2022. Kerajaan Perpaduan dibentuk melalui kerjasama antara parti bermusuhan, khasnya antara PH dan BN bagi mengelak Parlimen tergantung akibat tiada parti menang majoriti bagi membentuk kerajaan. Perkembangan itu menunjukkan politik moden membuka ruang kepada bentuk kerjasama baharu apabila keadaan memerlukan. Begitu juga dalam konteks penyatuan politik Melayu, khususnya antara UMNO dan PAS. Usaha besar ini memerlukan kebijaksanaan, keberanian dan tekad politik. Penyatuan tidak boleh digerakkan melalui kenyataan media atau perang mulut secara terbuka, sebaliknya harus dirunding menerusi prinsip diplomasi halus dan rundingan tertutup. Perundingan bagi membentuk kerjasama politik Melayu-Islam tidak harus diperdebat secara terbuka kerana hanya akan mengeruhkan keadaan, menyentuh ego politik yang akhirnya berisiko menggagalkan usaha kerjasama sebelum sempat direalisasikan. Kerjasama politik Melayu-Islam ini perlu dilihat dalam kerangka besar, iaitu mempertahan perkara teras Perlembagaan Persekutuan khususnya agenda membela Melayu, Islam serta Bumiputera. Justeru, pemimpin politik tidak boleh 'menjual mahal' apabila cadangan kerjasama politik dan penyatuan Melayu-Islam dibangkitkan. Muafakat Nasional (MN) adalah contoh murni bagaimana penyatuan parti Melayu bukan satu utopia atau misi mustahil. Dalam era norma baharu politik, kesediaan membina persefahaman dan kerjasama ini penting demi kestabilan dan masa depan negara. Yang penting, sebarang perbincangan tidak wajar berlangsung di gelanggang terbuka. Banyak kejayaan politik sebelum ini sebenarnya bermula melalui rundingan tertutup banyak parti dan merentas pemimpin sebelum diumumkan kepada masyarakat. Perbezaan pendapat tetap wujud kerana setiap parti mempunyai sejarah, ideologi dan kepentingan tersendiri. Apa yang penting adalah perbezaan itu tidak menutup peluang untuk bekerjasama dalam perkara mempunyai kepentingan bersama. Pengalaman penubuhan Kerajaan Perpaduan membuktikan kerjasama politik rentas ideologi bukan perkara mustahil. PRN Johor sudah membuktikan dan PRN Negeri Sembilan mungkin bakal menggarap sejarah baharu kerjasama politik hingga ke peringkat nasional.
|
ADVERTISEMENT
© 1996-2026 Cari Internet Sdn Bhd (483575-W)|Hosted By IPSERVERONE|Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy
8-8-2026 03:38 AM GMT+8 , Processed in 0.026323 second(s), 14 queries , Gzip On, Redis On.
Powered by Discuz! X3.4
Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.