Soalan: Apakah hukumnya seseorang itu menyembunyikan pertunangannya dari diketahui oleh masyarakat disekelilingnya? Jawapan: Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW. Pertunangan adalah janji bagi kedua belah pihak iaitu bakal suami dan isteri dalam mengikat tali perkahwinan dan selalunya ia melibatkan waktu-waktu yang telah ditetapkan dan dipersetujui oleh kedua belah pihak. Antara persoalan yang selalu timbul di dalam pertunangan ini, adakah dibenarkan syarak untuk mengiklankan atau dihebahkan pertunangan tersebut sepertimana diiklankan majlis perkahwinan atau pun tidak. Sebahagian ulama’ melihat bahawa menyembunyikan pertunangan adalah suatu yang digalakkan. Ini kerana terdapat sebuah hadis daripada Ummu Salamah R.Anha yang mana Rasulullah SAW telah bersabda: أظهروا النكاح، وأخفوا الخطبة Maksudnya:Zahirkan (iklankan) pernikahan dan sembunyikan pertunangan. Riwayat al-Imam al-Dailami di dalam Musnad al-Firdaus (1/1/27)
Disebabkan itu, sebahagian al-Malikiyyah berpendapat bahawa menyembunyikan pertunangan adalah digalakkan. Ini sepertimana yang terdapat di dalam kitab Syarh Mukhtasar al-Khalil yang mana al-Kharasyi Rahimahullah (wafat 1101H) menyebutkan: وَأَمَّا الْخِطْبَةُ بِالْكَسْرِ فَيُنْدَبُ إخْفَاؤُهَا كَالْخِتَانِ وَإِنَّمَا نُدِبَ الْإِخْفَاءُ خَوْفًا مِنْ الْحَسَدَةِ فَيَسْعَوْنَ بِالْإِفْسَادِ بَيْنَهُ وَبَيْنَ أَهْلِ الْمَخْطُوبَةِ
Maksudnya: Adapun al-Khitbah (pertunangan), maka digalakkan untuk menyembunyikannya seperti al-Khitan. Digalakkan untuk menyembunyikannya kerana takut akan hasad yang mana boleh membantu merosakkan diantara orang yang bertunang dan ahli yang ditunangnya. Adapun sebahagian pendapat yang lain menyatakan bahawa tiada masalah iaitu dibolehkan untuk mengiklan serta menghebahkan perihal pertunangan seseorang itu kerana tiada nas yang sahih di dalam larangan berbuat demikian. Hadis Ummu Salamah R.Anha yang disebutkan sebelum ini, di nilai dhaif (lemah) oleh sebahagian muhaddis. Ini kerana terdapat perawi yang majhul (tidak dikenali) di dalam sanad hadis tersebut dan al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani Rahimahullah juga tidak memberikan apa-apa komentar di dalam Mukhtasarnya (ringkasannya) terhadap Musnad al-Firdaus tersebut. Al-Syeikh ‘Atiyyah al-Saqr Rahimahullah (wafat 1427H), mantan Ketua Lajnah al-Ifta’ al-Azhar di dalam satu soal jawab agama yang dikendalikan oleh beliau juga berpendapat bahawa tidak mengapa untuk menghebahkan pertunangan dan menurut beliau tiada nas yang sahih di dalam larangan berbuat demikian. Menurut al-Syeikh lagi, jika sahih sekalipun, yang dimaksudkan melaluinya adalah larangan untuk berlebih-lebihan dalam menghebahkan pertunangan. Kesimpulan: Kami lebih cenderung untuk mengatakan bahawa perlunya agar pertunangan itu dihebahkan. Ini bagi mengelakkan berlakunya pinangan atas pinangan yang mana ianya jelas dilarang di dalam Islam. Dengan mengiklankan pertunangan, sedikit sebanyak boleh mengelakkan dari berlakunya perkara tersebut. Dalam sebuah hadis daripada Ibn ‘Umar R.Anhuma, Rasulullah SAW telah bersabda: لاَ يَبِعِ الرَّجُلُ عَلَى بَيْعِ أَخِيهِ وَلاَ يَخْطُبْ عَلَى خِطْبَةِ أَخِيهِ إِلاَّ أَنْ يَأْذَنَ لَهُ Maksudnya:Janganlah seseorang itu membeli atas pembelian saudaranya dan janganlah meminang atas pinangan saudaranya yang lain kecuali jika diizinkan. Riwayat Muslim (1412)
Al-Imam al-Nawawi Rahimahullah (wafat 676H) mengatakan bahawa hadis di atas secara zahirnya menunjukkan haramnya meminang atas pinangan orang lain sekiranya pinangan itu telah diterima dan tidak mendapat keizinan dari orang yang meminang tersebut. Jika berlaku perkahwinan, maka sah perkahwinan tersebut namun perbuatan meminang atas pinangan orang lain itu adalah berdosa. Tiada masalah untuk seseorang itu menghebahkan pertunagannya. Namun janganlah berlebih-lebihan dalam menghebahkannya serta menyambutnya seolah-olah seperti berlangsungnya majlis perkahwinan kerana pertunangan itu adalah perjanjian menuju perkahwinan dan boleh sahaja sesuatu pertunangan itu dibatalkan. Oleh yang demikian itu, bersederhanalah dalam pertunangan itu adalah lebih dituntut dan boleh juga sekiranya seseorang itu untuk merahsiakan pertunangannya untuk aman dari berlakunya hasad dengki dan sebagainya selagi mana tidak timbulnya fitnah. Wallahu a’lam
|