Lagu ‘Ayam Den Lapeh’ Berkisarkan Tentang Kehilangan Seseorang
Bercakap sahaja tentang lagu ‘Ayam Den Lapeh’, pastinya lagu ini sering menjadi siulan masyarakat Minangkabau yang meniti di bibir mereka. Bukan itu sahaja, bahkan lagu ini turut menjadi ikutan penduduk tempatan yang menetap di Negeri Sembilan.
Namun, tahukah anda lagu ‘Ayam Den Lapeh’ ini merupakan lagu yang bertemakan kesedihan dan berkisarkan tentang kehilangan seseorang?
‘Ayam Den Lapeh’ merupakan sebuah lagu yang dicipta oleh Abdul Hamid di sekitar tahun 50-an dan dinyanyikan oleh beberapa artis tanah air terkenal seperti kumpulan Orkes Gumarang, Elly Kassim dan Anita Sarawak. Meskipun melodi lagunya kedengaran agak menarik, namun bait lirik yang terdiri dari syair dan pantun lama ini mempunyai maksud yang tersirat tentang kehilangan seseorang.
Elly Kasim, penyanyi lagu ‘Ayam Den Lapeh’ sekitar tahun 1950-1960
Kumpulan Orkes Gumarang mendendangkan lagu ‘’Ayam Den Lapeh’’ di sekitar tahun 1995-1965
Menurut sumber sejarah Minangkabau, ayam merupakan simbolik harta yang sangat berharga dan hanya orang yang tertentu sahaja dapat memeliharanya. Justeru, lagu ini membawa maksud tentang kehilangan yang digambarkan melalui seekor ayam.
Lirik lagu ‘Ayam Den Lapeh’
Menelusuri di setiap bait liriknya yang berbunyi ‘di ma hati indak karusuah, ayam den lapeh’ membawa maksud, bagaimana hati tidak resah jika harta yang berharga sudah hilang.
Seterusnya, bait lirik yang kedua iaitu ‘di ma hati indak maupek, awak takicuah ai ai, ayam den lapeh’ menggambarkan bahawa kekesalan dirinya yang membiarkan kehilangan harta tersebut. Selain itu, bait lirik ‘sikucapang sikucapeh, saikua tabang saikua lapeh’ merupakan kata-kata nasihat supaya sentiasa bersyukur dan menghargai seseorang agar tidak kehilangan.
Manakala, pada bait lirik ‘tabanglah juo nan karimbo, oilah malang juo’, membawa pengertian bahawa seseorang yang dianggap berharga telah hilang dan tidak dapat dikembalikan lagi.
Bait lirik yang terakhir dalam lagu tersebut iaitu ‘duduak tamanung tiok sabanta, oi takana juo ai ai’ merupakan satu nasihat yang memberi makna jika kita sudah kehilangan seseorang, maka kita haruslah melepaskan ia pergi dengan seikhlas hati walau kadangkala sukar untuk melupakan.
Secara langsung, lagu ‘Ayam Den Lapeh’ ini telah menjelaskan bagaimana kekesalan dan kesedihan yang dialami akibat kehilangan seseorang yang disayangi. Di samping itu, lagu ini turut menyelitkan beberapa nasihat agar terus bangkit dan tidak dirudum perasaan sedih yang berpanjangan walaupun telah kehilangan seseorang.
Penulis
Nurul Naafizah Binti Ibrahim adalah pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi.
Prof. Madya Dr. Mohd Syuhaidi Bin Abu Bakar adalah Pensyarah Kanan, Fakulti Filem, Teater dan Animasi.