CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 1318|Reply: 0

Pembina generasi baharu

[Copy link]
Post time 16-6-2021 07:20 PM | Show all posts |Read mode
Pembina generasi baharu


Gambar hiasan

PERANAN wanita bukan sekadar melahirkan generasi baharu bahkan bertanggungjawab mendidik menjadi generasi produktif dan bermanfaat.
Islam adalah agama yang sempurna dan lengkap dengan segala pedoman dan panduan hidup untuk umat manusia sejagat. Islam menyediakan segala peraturan dan undang-undang yang menyeluruh dalam semua lapangan hidup untuk mengemudi perjalanan manusia ke arah kesejahteraan dan kebahagiaan hidup.

Salah satu aspek yang diberi perhatian serius oleh Islam ialah aspek wanita sebagai golongan yang mendapat pelbagai keistimewaan di sisi Islam. Wanita juga adalah antara makhluk yang diciptakan Allah untuk menemani kaum lelaki demi meneruskan kelangsungan hidup di pentas alam maya ini. Islam memuliakan wanita dengan berbagai-bagai hak dan keistimewaan sebagaimana yang terdapat pada kaum lelaki dan makhluk lain.  

Sebelum kedatangan Islam, kaum wanita tidak mempunyai kedudukan, bahkan mereka juga tidak dipedulikan sama sekali. Mereka hanyalah berperanan untuk menguruskan hal ehwal rumah tangga atau penerus keturunan manusia. Selain itu, mereka dijadikan sebagai kuli atau khadam oleh sesetengah bangsa dan ada juga bangsa yang menganggap kaum wanita sebagai barang dagangan yang boleh dijual beli. Kadang-kadang wanita akan diwarisi secara turun temurun sebagai harta pesaka jika ayahnya tidak mepunyai anak lelaki.  

Oleh itu, Islam datang memberikan hak wanita untuk hidup di dunia ini dan seterusnya Islam menganggap perbuatan merampas hak wanita adalah satu perbuatan zalim yang tidak berperikemanusiaan. Maka Islam mengharamkan penanaman hidup-hidup anak perempuan di samping mengharamkan juga segala bentuk perbuatan provokasi atau manipulasi yang bertujuan merampas hak wanita dan juga yang menjatuhkan maruah seorang wanita.

Daripada satu sudut lain, Islam mengangkat wanita sebagai tenaga kerja yang berupaya memberikan sumbangan bermakna kepada masyarakat dengan kemuliaan, kedudukan, kepentingan dan wawasannya dalam meneruskan kelangsungan hidup ini. Islam memberikan kepada wanita hak untuk hidup, hak menerima harta pusaka, hak mahar, hak nafkah, hak tempat tinggal, makanan, pakaian dan lain-lain hak seperti menuntut ilmu, hak pemilikan, hak jual beli, bekerja berdasarkan kepada kemampuannya di samping memelihara kehormatannya dan kewanitaannya. Pendek kata, di bawah lembayung Islam wanita hidup dengan penuh kemuliaan dan penghormatan sebagai seorang ibu, isteri, anak, kakak, ibu saudara, nenek dan begitulah seterusnya.

Seorang wanita akan menjadi mulia dan terhormat dengan perhiasan Islam yang mewarnai setiap detik kehidupannya. Dia akan menjadi seorang anak yang solehah lagi taat kepada kedua ibu bapa, isteri yang taat kepada suami dan juga seorang hamba yang bertakwa kepada Allah SWT. Rasulullah SAW pernah bersabda maksudnya: "Mana-mana isteri yang mati dan suaminya telah reda ke atasnya, maka dia akan masuk syurga." (Hadis Riwayat Tirmizi)

Syeikh Mahmud Syaltut ada menyatakan dalam bukunya al Islam aqidah wa syariah bahawa al-Quran banyak membicarakan isu wanita lebih daripada 10 surah, antaranya surah al-Nisa' dan surah al-Talaq. Surah yang lainnya ialah surah al-Baqarah, al-Maidah, al-Nur, al-Ahzab, al-Mujadalah, al-Mumtahinah dan al-Tahrim.

Semuanya ini menunjukkan betapa perhatian yang sewajarnya diberikan tentang wanita dalam Islam, sekali gus menggambarkan bahawa kedudukan tersebut tidak pernah diberikan oleh mana-mana agama terdahulu dan juga mana-mana masyarakat yang dipatuhi oleh anggota masyarakat sesama mereka dan dijadikan perundangan dalam hidup mereka.

Biarpun terdapat banyak perbincangan dan perbahasan tentang kedudukan wanita dalam Islam yang menganggap Islam menghapuskan hak wanita dan wanita hanyalah sekadar barang perhiasan lelaki yang boleh diperlakukan sebegitu rupa, sedangkan al-Quran telah menegaskan melalui firman Allah maksudnya: "Dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama seperti kewajipan yang ditanggung oleh mereka (terhadap suami) dengan cara yang sepatutnya (dan tidak dilarang oleh syarak)." (Surah al-Baqarah, ayat 228)

Pada hakikatnya, persoalan yang timbul tentang wanita bukanlah kerana menegakkan kebenaran atau menghapuskan kebatilan, sebaliknya ia didorong oleh asabiah perkauman atau asabiah keagamaan atau terpengaruh dengan budaya asing melalui cara mengharuskan sesuatu yang dipandang baik oleh kuasa besar biarpun ia perkara yang mungkar lagi keji dan mengharamkan sesuatu yang dipandang baik oleh golongan yang lemah biarpun ia merupakan perkara yang sememangnya baik lagi terpuji. Inilah antara punca yang menyebabkan manusia tidak memandang baik apa yang dipandang baik dan juga tidak memandang buruk apa yang dipandang buruk. Inilah juga arus feminisme barat yang sedang membadai di pentas kehidupan ummah dewasa ini. Oleh itu, umat Islam sewajibnya berwaspada apabila berdepan dengan aliran feminisme barat tersebut yang banyak menimbulkan kekeliruan dan juga menggugah keharmoniaan masyarakat Islam selama ini.

Barangkali inilah maksud daripada amaran Rasulullah SAW kepada umatnya sebagaimana terungkap dalam sebuah hadis baginda yang bermaksud: "Tidak aku tinggalkan selepasku fitnah yang lebih membahayakan bagi lelaki daripada kalangan wanita." (Hadis Riwayat Tirmizi)

Berdasarkan kepada maksud hadis berkenaan, dapat disimpulkan betapa wanita berupaya mendatangkan bahaya yang besar kepada sesebuah masyarakat. Wanita juga boleh menimbulkan permusuhan dan perperangan antara satu bangsa dengan bangsa lain. Malah wanita berupaya mendorong seseorang lelaki untuk melakukan perkara haram yang ditegah Allah SWT. Demikianlah betapa besarnya fitnah yang dibawa oleh wanita jika mereka tidak berpegang teguh dengan ajaran Islam. Ini kerana Islam sememangnya memelihara maruah wanita dan menjaga mereka daripada terjerumus dalam kancah fitnah yang besar tersebut.

Perlu diinsafi bahawa wanita juga adalah antara punca utama kepada kehancuran sesuatu bangsa yang berdaulat. Dalam hal ini, Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud: "Berhati-hatilah kamu dengan wanita! Maka sesungguhnya fitnah yang pertama ditimpakan kepada Bani Israil ialah berpunca daripada wanita." (Hadis Riwayat Muslim)  

Maka, tidak perlu dipertikaikan lagi bahawa Islam yang diutuskan Allah SWT itu datang untuk menyelamatkan kaum wanita daripada penindasan dan kezaliman dan seterusnya memelihara maruah mereka sebagai insan yang mempunyai kepentingan dan hak kewajipan di dunia ini di samping mengembalikan keadilan yang sepatutnya dimiliki oleh mereka. Islam menegaskan lelaki dan wanita adalah sama di sisi Allah dari segi balasan pahala dan dosa, hak untuk hidup dan sebagainya.

Ciri-ciri perbezaannya antara lelaki dan wanita cuma berdasarkan dari segi fizikalnya dan juga peranan yang terpikul di bahu masing-masing. Sehubungan itu, Allah SWT berfirman maksudnya: "Maka Tuhan mereka perkenankan doa mereka (dengan firman-Nya): "Sesungguhnya Aku tidak akan mensia-siakan amal orang-orang yang  beramal daripada kalangan kamu sama ada lelaki atau perempuan (kerana) setengah kamu (adalah keturunan) daripada setengahnya yang lain." (Surah Ali Imran, ayat 195)

Jelas di sini peranan wanita yang sebenarnya bukan sekadar melahirkan generasi baru yang bakal mewarisi kesinambungan tamadun manusia, bahkan wanita bertanggungjawab sepenuhnya membina generasi baru, mendidik dan mengasuh mereka supaya menjadi generasi yang produktif dan bermanfaat kepada masyarakat di samping sebagai generasi yang bertakwa. Pendek kata, wanitalah yang sebenarnya pembina dan penjana generasi baru yang bakal mewarisi tampuk pemerintahan negara pada masa akan datang.  



Penulis profesor di Pusat Pengajian Usuluddin, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)
Sumber:https://www.hmetro.com.my

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

27-11-2024 05:41 PM GMT+8 , Processed in 0.696722 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list