Setiap negara pasti mempunyai budaya yang berbeza, mulai dari bentuk seni, sehingga kegiatan seharian seperti bercakap dan makan. Apa yang kita lakukan di sini, tidak semestinya dilakukan di negara lain. Begitu juga sebaliknya, anda mesti terpegun dengan etika unik di negara Korea.
Korea mungkin telah lama dikenali sebagai salah satu negara yang mempunyai banyak makanan yang lazat. Sajian seperti kimbab, ramyeon dan kimchi sudah diketahui oleh pelbagai negara. Namun, terdapat beberapa tradisi dan etika yang perlu dipatuhi ketika mengisi perut. Etika ini perlu dipatuhi terutamanya ketika makan bersama di restoran.
Berikut adalah etika yang perlu dipatuhi ketika makan di Korea.
1. Kedudukan tempat duduk mengikut pangkat
Walaupun kedengaran luar biasa, orang Korea sangat prihatin terhadap kedudukan tempat duduk terutamanya apabila membuat jamuan makan bersama. Setiap kerusi diatur berdasarkan pangkat dan kedudukan di dalam syarikat.
Semakin rendah pangkat seseorang, maka kedudukan tempat duduknya akan lebih dekat dengan pintu keluar. Etika ini juga digunakan ketika makan bersama keluarga atau perjumpaan semula antara senior dan junior.
2. Menunggu orang lebih tua mula makan dahulu
Korea terkenal sebagai sebuah negara yang sangat menitik beratkan tentang kesopanan yang tidak terkecuali apabila makan bersama orang yang lebih tua.
Apabila makan bersama orang Korea, orang muda tidak dibenarkan makan dahulu sebelum ibu bapa mereka. Selain bersikap sopan, ia juga dianggap sebagai menghormati orang tua.
3. Menghargai dan berterima kasih dengan makanan yang disajikan
Sebelum makan, orang Korea akan berkata Jalmeokgesseumnida yang bermaksud ‘saya akan menikmati makanan ini’. Ucapan ini adalah salah satu cara untuk berterima kasih kepada tukang masak yang telah menghidangkan makanan yang lazat. Selepas selesai makan, jangan lupa untuk berkata Jalmeogeogeosseumnida yang bermaksud ‘terima kasih atas makanan yang telah dihidangkan’.
4. Makan menggunakan penyepit dan sudu
Tidak seperti negara-negara lain di Asia Timur, penduduk di Korea menggunakan penyepit hanya untuk mengambil makanan dan makan hidangan sampingan dan mi. Bagi makanan seperti nasi, bubur atau sup pula, mereka akan menggunakan sudu bagi menikmati makanan dengan lebih selera.
Di samping itu, jangan gunakan penyepit yang sama untuk mengambil makanan yang dihidangkan. Selain bersikap sopan, penyepit yang digunakan untuk makan juga tidak menjamin kebersihan kerana mereka boleh mencemarkan dan menjejaskan rasa dan kualiti makanan.
5. Elakkan mengambil makanan bermula dari bekas hidangan yang terbesar
Apabila berada di Korea, anda akan dihidangkan dengan makanan dalam pelbagai saiz pinggan dan mangkuk. Apabila makan bersama, elakkan bermula dengan makan dari bekas hidangan terbesar kerana hidangan itu disediakan untuk makan bersama-sama. Anda boleh mengambil makanan tersebut, namun perlu meletakkannya di pinggan yang lebih kecil dahulu sebelum mula makan.
Bukan hanya tempat pelancongan, ternyata budaya dan etika makan di Korea juga sangat menarik dan penuh dengan makna. Setelah mengetahui etika semasa makan di negara ini, anda boleh makan dengan tenang tanpa berasa risau dan dianggap tidak sopan.
Lain bangsa lain negara lain adat dan budayanya. Bagi kita agak kurang hormat tapi bagi mereka itu macam satu pujian akan makanan yang dihidangkan. Kalau tak caya cuba makan cara tu dikedai mereka kalau nasib baik tokey dengar pasti dapat discount.