CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 1810|Reply: 1

Jom jadi hamba dikasihi-Nya

[Copy link]
Post time 16-7-2021 12:24 AM | Show all posts |Read mode
Jom jadi hamba dikasihi-Nya



JADILAH hamba Allah yang sentiasa bersyukur dengan segala nikmat yang dikurniakan. FOTO Arkib NSTP

Cuba kita bayangkan betapa ramai manusia yang Allah SWT ciptakan di atas muka bumi ini. Bukan sahaja jumlah yang berada di dunia sekarang ini, tetapi sejak manusia diciptakan dan menjadi penghuni alam. Semuanya tanpa terkecuali akan dihitung amalan masing-masing serta dikurniakan nikmat syurga bagi yang beriman dan diberi azab neraka bagi yang kufur. Kehidupan di dunia adalah tempat untuk manusia mencari keredaan Allah SWT dengan beriman kepada-Nya dan melaksanakan amal kebaikan.

Firman Allah SWT dalam al-Quran bermaksud: "Dialah (Allah) yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu, siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang yang bertaubat)." (Surah al-Mulk, ayat 2)

Untuk mencapai kebahagiaan kehidupan di akhirat, peluang berada di dunia perlu dimanfaatkan sebaiknya. Tidak ada istilah tunggu masa tua baru ingin bertaubat dan mendekatkan diri kepada Allah. Ini kerana kita tidak tahu tentang pengakhiran kehidupan di dunia ini. Apa yang boleh dilakukan ialah sentiasa bersedia menghadapi kematian dan menggandakan amalan.

Syurga Allah SWT sangat luas dan ia terbuka untuk sesiapa sahaja menjadi penghuninya asalkan seseorang insan patuh terhadap ketetapan Allah SWT. Keluasan syurga telah dinyatakan oleh Allah SWT menerusi firman-Nya: "Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal yang baik untuk mendapat) keampunan daripada Tuhan kamu dan (mendapat) syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi yang disediakan bagi orang yang bertakwa." (Surah Ali 'Imran, ayat 133)

Meskipun semua orang ingin merasai nikmat syurga, hakikatnya tidak semua orang menunjukkan minat untuk mendapatkannya. Buktinya masih ramai yang tidak akur dengan ketetapan Allah SWT sepertimana yang termaktub dalam al-Quran dan sunah Rasulullah SAW.

Hal ini sehinggakan Allah SWT menjelaskan dalam al-Quran perihal manusia yang bilangannya sedikit sahaja berusaha untuk menjadi golongan yang dikasihi-Nya. Contohnya manusia diperintahkan agar mensyukuri segala nikmat kurniaan Allah SWT kepada mereka. Manusia dikurniakan terlalu banyak nikmat kehidupan termasuk nikmat mendengar dan melihat.

Dengan kurniaan pendengaran dan penglihatan, manusia sebenarnya dapat menyaksikan keagungan Allah SWT serta boleh meraih ganjaran pahala sekiranya mereka mendengar dan melihat perkara baik. Namun, meskipun sedar bahawa diri dikurniakan nikmat oleh Allah SWT, hanya sedikit yang mensyukurinya. Pendek kata, tidak ramai daripada kalangan manusia yang mensyukuri nikmat kurniaan Allah SWT berdasarkan firman-Nya: "Katakanlah (wahai Muhammad): Allah yang menciptakan kamu (daripada tiada kepada ada) dan mengadakan bagi kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (untuk kamu bersyukur, tetapi) amatlah sedikit daripada kamu bersyukur." (Surah al-Mulk, ayat 23)

Betapa ramai orang yang sebenarnya dapat membezakan antara perkara yang baik dengan buruk. Fitrah manusia dapat merasai perbezaan perkara yang makruf dengan mungkar. Ini kerana mereka dikurniakan akal fikiran untuk membezakannya serta panduan daripada al-Quran dan sunah. Namun hanya sedikit yang mampu beringat dan menginsafi hakikat ini. Meskipun manusia tahu bahawa kemungkaran akan membinasakan mereka, tetapi tetap tewas dengan godaan nafsu.

Firman Allah SWT dalam al-Quran bermaksud: "Dan sememangnya tidaklah sama orang yang buta dan orang yang melihat, dan juga tidaklah sama orang yang beriman serta beramal soleh dengan orang yang melakukan kejahatan. (Meskipun hakikat ini jelas nyata, tetapi) sedikit sangat daripada kamu beringat dan insaf." (Surah Ghafir, ayat 58)

Terlalu banyak peringatan yang dinyatakan dalam al-Quran yang semuanya sebagai panduan untuk kebaikan hidup manusia. Namun sedikit sahaja yang mengambil peringatan. Firman Allah SWT bermaksud: "(Katakanlah kepada mereka wahai Muhammad): Turutlah apa yang telah diturunkan kepada kamu daripada Tuhan kamu dan janganlah kamu menurut para pemimpin yang lain daripada Allah; (tetapi sayang) amatlah sedikit daripada kamu mengambil peringatan." (Surah al-A'raf, ayat 3)

Golongan yang tidak menerima perintah agar mentauhidkan Allah SWT juga ramai. Dengan kata lain, hanya sedikit yang beriman kepada-Nya jika dibandingkan dengan manusia seluruhnya. Hal ini perlu diinsafi oleh setiap umat Islam yang terpilih untuk menjadi hamba Allah SWT dengan mengakui keesaan-Nya. Justeru, usah persiakan nikmat iman yang telah dikecapi, sebaliknya perlu memperbanyakkan syukur dengan melaksanakan amalan yang dapat mendekatkan diri kepada-Nya.

Allah SWT menjelaskan perihal sedikitnya manusia daripada kalangan Yahudi yang beriman menerusi firman-Nya bermaksud: "Dan mereka (kaum Yahudi) berkata pula: "Hati kami tertutup (tidak dapat menerima Islam)." (Sebenarnya hati mereka tidak tertutup) bahkan Allah telah melaknat mereka disebabkan kekufuran mereka, oleh itu maka sedikit benar mereka yang beriman." (Surah al-Baqarah, ayat 88)

Dalam banyak ayat al-Quran, Allah SWT menjelaskan betapa ramai orang yang tidak mengetahui. Sekali lagi, penjelasan ini membawa maksud sedikit sahaja daripada kalangan manusia yang mengetahui hakikat kebenaran. Maka beruntunglah jika kita termasuk dalam kalangan orang yang sedikit tersebut. Firman Allah SWT bermaksud: "Ingatlah! Sesungguhnya segala yang ada di langit dan di bumi adalah kepunyaan Allah. Awaslah! Sesungguhnya janji Allah itu adalah benar, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui." (Surah Yunus, ayat 55)

Firman Allah SWT lagi tentang kebanyakan orang yang tidak mengetahui, manakala hanya sedikit yang sebaliknya. "Dan mereka bersumpah dengan nama Allah dengan bersungguh-sungguh (sambil berkata): "Allah tidak akan membangkitkan semula orang yang telah mati." (Itu tidak benar), bahkan janji Allah membangkitkan orang yang telah mati) tetap benar, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui." (Surah al-Nahl, ayat 38)

Begitu juga firman Allah SWT dalam al-Quran bermaksud: "…Itulah agama yang betul lurus (Islam), tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui." (Surah ar-Rum, ayat 30)

Banyak lagi ayat Allah SWT dalam al-Quran yang menunjukkan tidak ramai manusia yang termasuk dalam golongan yang dikasihi-Nya. Sama ada Allah SWT secara jelas menyatakan bahawa golongan tersebut adalah sedikit ataupun Allah SWT menyatakan golongan yang tidak berada pada jalan-Nya itu dalam kuantiti yang ramai atau kebanyakan manusia.

Marilah kita menginsafi hakikat ini dan berdoa agar kita termasuk dalam kalangan hamba Allah SWT yang dinyatakan sebagai sedikit berada pada jalan yang benar. Malah Rasulullah SAW sendiri pernah memberi penjelasan tentang kelompok umatnya yang akan berpecah dengan hanya satu berada pada jalan kebenaran. Bukankah satu kelompok ini termasuk dalam kategori sedikit?

"Dan akan berpecah umatku kepada 73 golongan atau kumpulan. Semuanya akan dimasukkan ke dalam neraka melainkan satu kumpulan sahaja." Sahabat bertanya: "Wahai Rasulullah SAW, siapakah mereka?" Nabi SAW menjawab: "Apa yang aku berada di atasnya dan juga para sahabatku (golongan yang mengikut ajaran Rasulullah SAW)." (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Penulis Pensyarah  Pusat Pengajian Bahasa Arab,  Fakulti Bahasa Dan Komunikasi,  Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)
Sumber:https://www.hmetro.com.my

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 17-7-2021 12:16 AM From the mobile phone | Show all posts
Edited by Zazama at 17-7-2021 05:28 AM

Ye! Pinggan mangkuk yg bertingkat2, baju2 ratusan helai, sepatu yg berderet, puluhan beg2 bergayut dlm almari, kereta2 yg menjalar bawah garaj, semua itu Allah akan tanyakan! Kenapa tak guna? Kenapa membazir? Kenapa tak dimanfaatkan? Sumber dari mana? Halal or  haram? Bersedialah memasing termasuklah diri ku sendiri..
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

27-11-2024 03:02 PM GMT+8 , Processed in 0.208908 second(s), 14 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list