CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 1645|Reply: 0

Berasaskan wahyu, bukan akal

[Copy link]
Post time 20-7-2021 11:25 PM | Show all posts |Read mode
Berasaskan wahyu, bukan akal


AL-QURAN dan as-Sunnah terlebih dahulu menceritakan perihal kiamat.

SETIAP ilmu yang diturunkan oleh Allah SWT pasti mempunyai manfaat yang besar buat manusia. Setiap apa yang dipelajari oleh manusia juga pasti akan memberi kesan yang cukup mendalam kepada pengetahuan sehingga membawa kepada pengukuhan iman dan takwa kepada sang Pencipta. Ilmu-ilmu ini tersebar luas sehingga menjadikan manusia hebat dan mampu merumus dan mengolah sesuatu yang di luar daripada batas pemikiran seperti peristiwa masa hadapan dan perkara ghaib.

Oleh itu, adakah dengan berbicara dan memahami tentang tanda-tanda kiamat ini akan memberi kesan kepada jiwa manusia? Ataupun sekadar maklumat biasa yang diperoleh tanpa memberi kesan apa-apa?

Jawapannya pasti memberi kesan kerana al-Quran dan as-Sunnah terlebih dahulu menceritakan tentang perihal kiamat ini. Umat Islam pula berpegang dengan al-Quran dan As-Sunnah, maka sudah tentu setiap perkhabaran ini akan dijadikan panduan yang utama dalam kehidupan.

Perbahasan berkaitan kiamat ini, tidak hanya terhenti kepada tanda-tanda kiamat sahaja, bahkan melangkaui akal pemikiran manusia secara keseluruhan khususnya melibatkan lafaz tertentu. Jika dilihat kepada situasi ini, ternyata kiamat semakin mendekati manusia.

Perkara ini dinyatakan Baginda Nabi SAW yang bermaksud:  "Jarak antara aku diutuskan dengan tibanya Hari Kiamat adalah seperti ini (Anas RA berkata: "Rasulullah SAW menggabungkan antara jari telunjuk dengan jari tengah." (Hadis Riwayat al-Bukhari).

Jika disoroti, ilmu berkaitan Hari Kiamat khususnya melibatkan tanda-tanda kiamat adalah sesuatu yang cukup berbeza dengan ilmu yang lain. Ini kerana, ilmu ini berasaskan situasi masa akan datang yang tidak diketahui bagaimana keadaan yang sebenarnya.

Maka, Allah SWT menjadikan faedah untuk memahami ilmu secara mutlak menerusi firman-Nya yang bermaksud:  "Iaitu orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib dan mendirikan solat serta membelanjakan sebahagian daripada rezeki yang kami berikan kepada mereka." (Surah al-Baqarah ayat 3)

Dalam al-Quran, Allah SWT menurunkan sejumlah lafaz berkaitan kiamat yang merupakan antara lafaz yang paling banyak dijelaskan dalam pelbagai ayat dan surah yang berbeza. Imam Al-Qurtṭubiy dalam kitab Tazkirah menjelaskan bahawa, setiap lafaz yang diulang dan dinyatakan dalam pelbagai bentuk menunjukkan kepentingan untuk memahaminya dengan kadar yang tinggi. Jika disoroti dengan terperinci, Allah SWT telah menurunkan beberapa surah yang dinamakan khusus dengan lafaz kiamat.

Kepentingan memahami dan mengenali lafaz berkaitan kiamat ini adalah bertitik tolak daripada firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan Dia telah mengajarkan Nabi Adam AS akan segala nama benda-benda dan gunanya, kemudian ditunjukkannya kepada malaikat lalu Dia berfirman: "Terangkanlah kepada-Ku nama benda-benda ini semuanya jika kamu golongan yang benar." (Surah al-Baqarah ayat 31)

Dalam hal ini, setiap lafaz yang terdapat dalam al-Quran pasti memberi makna yang tertentu. Apabila diteliti dari sudut bahasa, pasti makna satu-satu lafaz tersebut berbeza dengan makna dalam ayat. Oleh itu, pemahaman tentang lafaz dalam al-Quran khususnya melibatkan peristiwa masa akan datang perlu dipelajari dengan teliti supaya makna yang sebenar dapat diperoleh.

Dari sudut lafaz berkaitan kiamat dalam al-Quran, terdapat lafaz yang jelas dinyatakan seperti al-Qiyamah, yaum al-Akhirah, yaum al-Diin, yaum al-Saah dan lain-lain. Manakala terdapat juga lafaz yang dinyatakan secara umum tetapi merujuk kepada keadaan kiamat seperti lafaz dakka, bassa, rajja, syaqqa dan lain-lain.

Secara umumya terdapat beberapa surah yang dinamakan khusus dengan nama kiamat iaitu, al-Waqiah, al-Ghasiah, al-Haaqah, al-Taghabun, al-Zalzalah, al-Qiyamah dan al-Qariah. Semua surah ini mempunyai variasi penceritaan tentang kiamat dalam konteks yang berbeza-beza berdasarkan asbab penurunannya. Pada setiap permulaan surah tersebut, Allah SWT melemparkan persoalan dan penegasan yang khusus iaitu berkaitan Hari Kiamat. Perkara ini menunjukkan sesuatu yang penting perlu difahami oleh semua manusia tentang satu peristiwa yang besar akan berlaku kelak.

Sayyid Qutṭb dalam kitab Masyahid al-Qiyamah fi al-Quran menukilkan bahawa, al-Quran secara jelas meletakkan beberapa perkara penting berkaitan Hari Kiamat. Skop perbincangan yang dikemukakan ini merangkumi dua perkara utama iaitu, hari kebangkitan dan pembalasan dan (nikmat dan azab). Oleh itu, pemahaman terhadap sesuatu ayat tentang keadaan Hari Kiamat adalah penting dalam menjelaskan sesuatu peristiwa yang berlaku.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "(Kiranya golongan yang ingkar masih tidak mahu menerima peringatan yang diberi kepadanya) maka tidak ada lagi yang mereka tunggu melainkan saat kiamat yang akan datang kepada mereka secara mengejut kerana sesungguhnya telah lahirlah tanda-tanda kedatangannya. Kalaulah demikian, maka bagaimanakah mereka dapat menerima peringatan yang diberi kepada mereka apabila saat kiamat itu datang kepada mereka?" (surah Muhammad ayat 18)

Maka, ilmu berkaitan hari kiamat ini akan memberi galakan kepada seseorang untuk mematuhi segala perintah Allah SWT dan bersedia menghadapi hari kebangkitan kelak. Peringatan ini adalah besar khususnya kepada mereka yang lalai dan tidak mempedulikan perintah Allah SWT melalui Rasul utusan-Nya.

Firman Allah SWT yang bermaksud:  "(Dia) Maha mengetahui perkara yang tersembunyi dan tiada diterangkan-Nya rahsia-Nya itu kepada sesiapapun. Melainkan kepada Rasul yang diredai-Nya (untuk mengetahui sebahagian perkara ghaib yang berkaitan dengan tugasnya; apabila Tuhan hendak melakukan yang demikian) maka Dia mengadakan di hadapan dan di belakang Rasul itu malaikat-malaikat yang menjaga dan mengawasnya (sehingga perkara ghaib itu sampai kepada yang berkenaan)."  (Surah al-Jinn ayat 26-27)

Justeru, ilmu Hari Kiamat yang disampaikan oleh Baginda Nabi SAW adalah satu gambaran berdasarkan wahyu dan bukan berasaskan akal semata-mata. Setiap tanda-tanda kiamat yang sudah disampaikan kepada kita berasaskan hadis yang sahih adalah perlu dipercayai. Namun setiap hadis tersebut perlu difahami dengan sebaik mungkin dengan merujuk kepada pakar supaya penafsiran terhadap hadis tersebut tidak terpesong yang membawa kepada penyebaran maklumat yang salah dan menyesatkan.

Allah SWT berfirman:  "Dan kami tidak mengutus rasul-rasul sebelummu (wahai Muhammad) melainkan orang-orang lelaki yang Kami wahyukan kepada mereka, maka bertanyalah kamu kepada 'Ahlua al-Zikr' jika kamu tidak mengetahui." (Surah al-Anbiya' ayat 7)

Penulis Pensyarah Kanan,  Fakulti Pengajian Bahasa Utama,  Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)

Sumber:https://www.hmetro.com.my/addin/ ... an-wahyu-bukan-akal

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

27-11-2024 03:14 PM GMT+8 , Processed in 0.597877 second(s), 12 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list