Los Angeles: Badan induk ragbi Kanada, Rugby Kanada memecah salah seorang jurulatih pembangunan mereka kerana mengkritik prestasi skuad tujuh sebelah (s) wanita di Olimpik Tokyo 2020 di media sosial. Jamie Cudmore memainkan peranan penting bersama Rugby Kanada apabila ditugaskan untuk mengembangkan bakat generasi seterusnya. Dia adalah jurulatih untuk skuad 15s kebangsaan dan bertanggungjawab terhadap Akademi Pembangunan. Bagaimanapun, Rugby Canada menganggap hantaran yang dilakukan di media sosial tidak boleh diterima dan melanggar polisi organisasi berkenaan. "Rugby Canada melucutkan jawatan Jamie Cudmore yang berperanan mengetuai Akademi Pembangunan Ragbi Kanada dan pasukan ragbi lelaki, berkuastkuasa serta-merta. "Keputusan ini hadir selepas hasil tinjauan dari hantaran di media sosial baru-baru ini yang tidak dapat diterima dan melanggar polisi organisasi. "Nilai organisasi Rugby Canada tetap penting sejajar dengan pekerjaan yang kami lakukan. Seperti yang diumumkan sebelumnya, Rugby Canada tetap komited untuk mengkaji secara bebas dan terperinci mengenai semua prestasi program ragbi mulai bulan depan," kata ketua eksekutif, Allen Vansen. Cudmore mengkritik skuad wanita Kanada yang tewas kepada Fiji dan Perancis selepas mengetepikan Brazil, sekali gus gagal mara ke suku akhir. Pasukan berkenaan menamatkan aksi di Tokyo dengan menduduki tempat kesembilan. Cudmore bagaimanapun meminta maaf di atas kritikan yang dilakukannya di media sosial. "Saya sentiasa beraksi/melatih dengan sepenuh jiwa untuk negara ini. Saya minta maaf jika menyinggung perasaan sesiapa saja," katanya di Twitter. Cudmore beraksi 43 kali dengan Kanada, dengan menyertai kedua-dua Piala Dunia pada 2003 dan 2007. sumber : Hmetro
|